Kehendak Mereka Kehendak Dunia

“Kau okey tak?”

Sejujurnya, apabila soalan ini diaju… aku menjadi buntu. Mulutku terus diam membisu, tubuhku kaku seakan sebuah batu. Jujur, aku memang tak tahu.

Aku penat dengan hidup. Aku penat dengan ketidak adilan di dunia ini. Aku penat perlu menuruti segala kemahuan dan anggapan manusia terhadap aku. Aku bukan robot. Aku juga punya perasaan, kehendak sendiri dan hak untuk hidup sebagai manusia. Ya, aku pasti kalian tidak faham dengan apa yang aku katakan sekarang ini. Jadi biarlah aku cerita daripada permulaannya. Amaran: Confession ini agak panjang.

Assalamualaikum. Aku tidak mahu perkenalkan diri aku. Cukuplah kalian tahu aku merupakan seorang pelajar di sebuah institut pengajian yang mengfokuskan kos SAINS dan akaun. Aku tidak mahu menyebut nama tempat pengajian aku kerana takut terlalu jelas dengan identitiku. Namun, aku sudahpun meletakkan hint di dalam ayat aku itu.

Sejak kecil, aku tidak pernah suka dengan subjek Sains. Setiap kali peperiksaan sekolah rendah, aku sentiasa mendapat gred B atau C. A? Langsung tak pernah. Aku sentiasa merasakan subjek ini susah. Namun yang aku pelik, entah macam mana UPSR aku boleh dapat A untuk subjek Sains ini. Tapi apabila difikirkan balik, ah… ianya tidaklah pelik mana. Berbanding subjek lain, untuk subjek Sains sahaja aku perlu mengulang kaji sehingga 2-3 pagi dan bangun jam 5 pagi. Pada mulanya, aku menganggap perasaan benci aku itu normal. Normal untuk seorang pelajar untuk berasa benci dengan subjek yang tidak dapat dikuasai.

Sewaktu UPSR, aku mendapat keputusan 4A1B (B – English). Ya, aku sedikit kecewa namun aku cuba menyedapkan hati. Aku berharap ibubapaku akan menenangkanku saat melihat aku sedih dengan keputusanku itu. Aku silap. Abah menengking aku di hadapan orang ramai, mengatakan aku tidak cukup berusaha. Saat ini, self-esteemku semakin rendah. Sejujurnya, self-esteemku sememangnya sudah mula menurun sejak aku kecil disebabkan beberapa peristiwa hitam tetapi tidaklah perlu aku ceritakan. Aku mahu fokuskan cerita ini tentang pembelajaran aku dahulu.

Berbekalkan keputusan 4A1B sewaktu UPSR, aku diterima masuk ke sebuah sekolah kluster kecemerlangan yang berteraskan sains agama. Ya, aku tidak memohon ke mana-mana SBPI mahupun MRSM kerana ibubapaku mengatakan aku tidak layak. Menurut segala kehendak mereka, akupun mendaftar masuk ke sekolah tersebut.

Aku sangkakan apabila masuk ke alam sekolah menengah, perasaan benciku terhadap sains akan hilang dan pudar. Aku silap. Ianya kian menebal. Kebanyakan mereka yang masuk ke sekolah itu adalah budak-budak pandai jadi aku rasa tersisih. Setiap kali aku bertanyakan soalan kepada rakan, mereka seakan kurang senang denganku. Guru mata pelajaran sains juga sentiasa mengelak daripada menjawab persoalanku. Aku sedar aku tidak layak untuk bergaul dengan mereka.

Disebabkan keputusan yang tidak cemerlang di hujung tahun Tingkatan 1, aku dipindahkan ke sekolah harian. Alhamdulillah, aku akhirnya terlepas daripada hinaan dan pandangan rendah oleh mereka yang bijak-bijak. Maaf, tapi aku sudah mula melabel dan membenci mereka yang bijak.

Namun, entah mengapa subjek Sains seakan sengaja membuatkanku bertambah benci. Banyak insiden hitam yang berlaku yang menjadi luka kepada hati aku. Guru matapelajaran Sains sentiasa cuba mencari kesalahan yang aku lakukan. Sama seperti sekolah rendah, aku tidak pernah mendapat gred A bagi subjek sains. Aku mula penat mental. Setiap kali waktu subjek Sains, aku mula risau dan takut. Setiap kali tiba musim peperiksaan, aku WAJIB berjaga sehingga pukul 2-3 pagi dan bangun jam 5. Namun untuk PT3, nasib tidak menyebelahiku. Aku mendapat gred C bagi subjek sains. Keputusan keseluruhan PT3 ku tidaklah berapa cemerlang. Hanyalah 8A 1B 1C. Sekadar cukup-cukup makan.

Seperti sebelum ini, aku tidak memohon ke mana-mana sekolah berprestasi tinggi. Aku tidak merasakan aku layak ke sana. Aku tahu lebih ramai lagi yang lebih berkelayakan. Maka, aku terus menyambung pelajaran untuk sesi Menengah Atas di sekolah harian yang sama.

Aku suka akan subjek seni dan sastera. Bagi aku, ianya seakan terapi minda. Seni tidak pernah mengklasifikasi sesebuah karya itu cemerlang atau gagal. Seni adalah luahan hati.

Namun aku tidak pernah mendapat pembelajaran seni mahupun sastera yang sebetulnya. Aku sudah meluahkan hasratku untuk belajar seni dan sastera di kelas yang sebetulnya. Namun reaksi mereka di sekelilingku cukup mengecewakan. Rakan-rakanku mengetawakanku. Keluargaku menegaskan aku supaya masuk ke kelas sains. Guru juga meminta aku masuk ke kelas sains. Kata mereka, ianya untuk ‘masa depan yang cemerlang’. Celaka.

Dua tahun pembelajaran aku merasakan seakan aku hidup di neraka yang tidak berkesudahan. Mental aku semakin tenat dengan segala tekanan dan expectation mereka. Sewaktu PT3, aku merupakan pelajar terbaik sekolah jadi mereka mengharapkanku melakukan perkara yang sama. Ternyata aku mengecewakan mereka.

Sepanjang belajar kimia selama dua tahun, aku hanya pernah lulus selama dua kali. Sewaktu awal tahun Tingkatan 4 dan awal tahun Tingkatan 5. Berapa markahku? 40+ dan juga 40. Ya, betul-betul di atas pagar.

Bagi subjek Fizik, aku masih boleh tahan sebab aku boleh dikatakan agak cekap dalam hal-hal pengiraan. Namun untuk subjek kimia, aku putus asa. Bayangkan, setiap kali aku masuk ke kelas aku langsung tak dapat faham tentang topik yang sedang diajar walaupun aku dah baca buku teks sebelum masuk kelas. Aku sangat stress dan aku rasa BODOH sangat sebab subtopik yang mudah bagi orang lain pun aku tak faham. Persamaan kimia, pengiraan mol, asid dan bes dan pentitratan dah macam mimpi seram buat aku.

Lebih teruk, aku rasa terdiskriminasi. Aku ingatkan aku seorang sahaja yang rasa begitu. Rupanya kawan-kawan akupun turut rasa benda yang sama. Cikgu itu sangat berat sebelah dan hanya fokus kepada mereka yang pandai. Kami dari golongan bodoh ni disisihkan. Kebiasaanya, aku akan terus bertanya kepada guru kalau ada yang tidak difahami. Tetapi, cikgu kimia aku selalu buat tak peduli.

Aku cemburu melihat mereka daripada kelas seni. Bagi aku, segala latihan dan ujian mereka seakan bukan ujian. Aku akan berasa gembira dan tenang jika aku berada di tempat mereka.

Sewaktu ini, aku sudah mula berada murung. Segala perkara terasa seakan tidak betul. Aku kerap menangis, menyalahkan diri dan mencederakan diri. Namun, tiada siapa tahu. Tiada siapa termasuklah keluargaku.

Namun aku cuba juga bertahan. Aku pujuk diri, hanya untuk dua tahun ini. Selepas habis sekolah, kau akan boleh belajar apa yang kau kehendakkan. Kau akan berasa senang dengan ‘masa depan yang cemerlang’ kau itu. Betulkah?

Tak. Tak ada ‘masa depan yang cemerlang’. Aku gagal. Keputusan SPM aku baru-baru ini sangat menyedihkan. Aku hanya mendapat 5A1B2C1D. Subjek apa yang mendapat D? Ya, sudah tentulah Kimia. Dapat D inipun aku sudah cukup bersyukur. Namun orang di sekelilingku? Aku tidaklah mengharapkan pujian atau apa-apa. Namun, reaksi mereka jelas bahawa mereka kecewa. Sekali lagi mental aku semakin terhakis. Aku penat. Aku sudah cuba sehabis baik untuk mereka. Tak bolehkah walau sekali mereka menghargai usaha aku?

Selepas SPM, aku mengisi masa cuti dengan kerja yang pelbagai. Semua jenis kerja aku cuba untuk mengelakkan diri daripada duduk di rumah. Memasang khemah majlis kahwin, tempat makan beradab dan segala kelengkapan di bawah khemah, bekerja di kedai makan, bekerja sebagai penjual buku di sebuah syarikat yang menjelajah negeri-negeri luar, bekerja sebagai mascot bagi sesuatu event, bekerja sebagai pembantu peribadi dan pengurus bagi penulis jemputan di acara tertentu, berniaga di pasar malam dan juga berniaga di bazaar Ramadhan.

Dan apa yang mula sedari, aku sangat suka bekerja. Sekurangnya, masalah di tempat kerja tidak perlu dibawa ke rumah. Setiap usaha dibalas dengan gaji yang jelas. Malah, Alhamdulillah aku telah menjadi pekerja terbaik dan disayangi oleh setiap majikan tempat kerjaku. Sebelum aku berhenti kerja kedai makan, sanggup bos tutup kedai awal untuk mengadakan majlis perpisahan antara pekerja-pekerja. Ketika aku bekerja di luar negeri juga, aku sentiasa dijaga dan dibawa keluar umpama keluarga majikan. Sekarang, setiap kali cuti, majikan-majikan sentiasa bertanya jika aku mahu bekerja kembali. Sejujurnya aku memang mahu sangat!

Aku tidak banyak menghabiskan masa di rumah. Ketika UPU diumumkan, aku mendapat university yang agak jauh. Keluargaku tidak mampu. Akhirnya aku terpaksa masuk ke institute pengajian yang aku cakap terlebih dahulu tadi. Untuk institusi ini, aku mendaoat kos sains selama dua tahun. Malah dua hari sebelum aku masuk mendaftar pun aku masih bekerja bazar Ramadhan. Ya, aku mendaftar masuk belajar di dalam bulan puasa.

Pada awalnya, aku cuba menanamkan azam dan cuba positifkan diri. Aku cuba gagahkan diri untuk meneruskan lagi pembelajaran. Namun, aku tidak nampak masa depanku. Aku tidak pernah ingin untuk mempunyai kerjaya di dalam bidang sains ini.

Aku faham sekiranya aku tidak minat tetapi aku mampu belajar semua subjek sains ini. Masalahnya adalah AKU TIDAK MAMPU. AKU BODOH. Aku rasa sangat tertekan kerana perlu belajar lebih lagi dengan subjek kimia fizik dan segala bagai ini. Aku berjanji dengan diri bahawa segala penderitaan ini akan berakhir sebaik aku tamat sekolah. Sekarang? Entahlah.

Aku datang dari broken family. Orang yang aku paling percaya sewaktu kecil mengkhianati institusi keluarga bahagia kami. Celaka. Kemudian sanggup dia berlakon tiada apa-apa di depan kami. Padahal begitu ramai orang di sekeliling yang menjadi saksi perhubungan maksiat makhluk bodoh dan makluk yang buta akan status seseorang itu. Aku tidak faham bagaimana seorang manusia sanggup mementingkan kepentingan diri tanpa kisah akan keluarga orang lain. Aku bersyukur bukan aku yang terserempak dengan mereka. Jikalau tidak, aku pasti penumbuk ini akan meninggalkan darah dan lebam yang besar di muka jantan dan betina tersebut.

Aku takut. Beberapa hari ini aku suka meluangkan masa di tandas. Ya, pelik. Tapi di situlah aku banyak menangis, meluahkan segala perasaan, marah dan sebagainya. Kadang-kadang aku bercakap seorang diri. Ada masa aku ketuk kepala aku dekat dinding atau tangan sendiri.

Aku cuba. Bukan aku tak cuba untuk bertahan. Tapi, aku sudah sampai ke garisan limitnya. Aku tiada rakan untuk menyokongku. Tiada siapa yang memahamiku. Aku pasti semua akan mengatakan aku bodoh dan tidak bersyukur bukan? Ya, aku sedar aku bodoh. Tapi aku sudah tidak tahan lagi. Aku penat. Kalau ada yang bertanya, apa yang aku mahukan sebenarnya? Aku tak kisah. Aku tak kisah asalkan aku dapat berhenti daripada segala penderitaan ini.

Doakan yang terbaik buatku. Aku sudah cuba untuk berbincang dengan keluargaku tetapi mereka sekadar berkata “Jangan layan stress tu.” “Teruskan je.” dan lain-lain. Aku mula memutuskan segala perhubungan media sosial dengan kenalanku untuk mendapatkan masa bersendiri bagi berfikir. Aku berharap sesuatu akan berlaku dalam tempoh terdekat ini. Aku berharap ahli keluargaku terbaca confession ini. Semoga kita berjiran di syurga kelak.

Sekian.

– Fair Settlement

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *