Kehidupan Bagai Layang-layang Terputus Tali

Assalamualaikum buat para pembaca di IIUMC, aku Farah (bukan nama sebenar) nak menceritakan tentang kisah hidup aku yang penuh dengan kepahitan berbanding manis.

Memang bunyi agak cliche tapi aku cuba mengambarkan apa yang hendak aku sampaikan dengan sebaik mungkin kat sini dan aku harap para pembaca boleh faham sebab bak mengarang ni aku tak pandai sangat. (Sila baca sampai habis, aku tak pandai nak pendekkan cerita aku)

Aku berumur 18 tahun, ya baru habis SPM tahun lepas. Result aku? Tak secantik orang lain lah tapi aku sejujurnya bersyukur sangat kerana aku tahu ibu aku bangga dengan aku pada hari tu dan aku pun tak sangka aku boleh buat. Aku dapat 4A+ 1A 4B.

Aku dibesarkan dalam keluarga yang middle class, tak susah dan tak senang. Ibu ayah dua dua berkerja. Ada 4 orang adik beradik, aku nombor ke 3, aku ada seorang adik lelaki, seorang kakak dia setahun je tua dari aku dan seorang lagi.. Abang.

Aku pun tak tahu nak cakap mana sebab kalau diikutkan aku tak mahu langsung mention.. dan tak ingin pun nak ceritakan pasal dia sebab aku sakit bila aku bercerita atau ingat dia walaupun aku hanya menaip pasal ni. Aku bagi dia nama B lah.

B ni adalah salah satu sebab yang aku rasa menjadikan aku sakit pada hari ni, sakit yang dah bertahun tahun aku alami dan tak pernah hilang malah makin teruk kerana dia tinggal dalam rumah yang sama walaupun umur dia dah pun mencecah 26 tahun.

Dan ya dia juga paling sulung, dia berkerja dan merupakan kolej dropout aku pun malas nak ambil tahu pasal tu.

Aku dengan B memang tak rapat lah masa kecik dan hubungan aku dengan dia memang tak ok lansung sekarang disebabkan apa yang dia pernah buat kat aku yang buat aku memang tak suka dia lansung. Aku membesar dalam ketakutan sebab dia.

Ibu bapa aku ni jenis yang strict tapi tak lah tahap tiger parents dan jenis tak kisah B nak buat keputusan apa untuk adik2 lain sebab dia kan sulung dan tak kisah kalau B ni bersikap macam orang yang bertanggung jawab atau pun protective terhadap aku (sebelum ni je).

Disebabkan B ada power untuk jaga kami dia bersikap terlalu tegas, kuat memarahi, jenis suka nak redah privasi orang lain dan ingin tahu semua benda.

Konon “bertanggung jawab” jadi ibu bapa aku ni dulu pun jenis iyakan sahaja apa dia nak lapor dan percaya sangat dengan B. Kira B ni dah level mak bapak kepada parents aku. Tapi dia salah guna.

Nak jadi kan cerita adalah hari yang aku tak pernah lupa dan masih sakit bagi aku. Semasa umur aku dalam 14 tahun B telah memukul dan menerajang aku sehingga menyebabkan aku hampir patah tangan, muka serta mata lebam dan kembang dan seluruh badan aku biru hitam.

Dia seolah olah memang nak bvnvh aku iya bunyi mungkin lawak tapi korang bayangkan batang kayu yang tebal boleh patah sebab dia pukul dengan kuat sekali.

Di tampar nya muka dan badan aku bertalu-talu. Itu adalah kali pertama B bertindak sebegitu. Kenapa B bertindak macam tu? Sebab dia hilang sabar atas masalah kecil aku buat.

B kata aku ni semakin membesar semakin berubah dan yang trigger dia ketika itu sebab aku melawan dia. Aku terpaksa melawan sebab aku dah tak tahan kena kongkong sampai tahap aku rasa hidup aku tiada makna.

Parents aku? tahu pasal tu dan leraikan juga tapi mereka dalam masa yang sama seolah olah membenarkan dia buat macam tu.

Sejak dari hari tu aku dikawal seketat ketatnya, setiap hari B ni akan bagi aku threat dan selalu menakut nakutkan aku. Selalu terajang pintu aku, selalu tumbuk dinding rumah pecahkan barang dan bagitahu dia tak takut pun nak bvnvh aku.

Lagi hebat kalau tak ada orang kat rumah macam macam cara dia cari untuk takutkan aku sampai dia bawa parang sekeliling rumah just nak bagi aku gerun dan hormat dia.

Aku memang tak keluar lah dari bilik, jadi sangat pendiam dan numb, selalu menangis sorang sorang dan aku jadi lemah dan selalu berseorang sejak tu. B akan cari apa apa sahaja untuk nampakkan aku ni bermasalah.

Masa muka dan badan aku lebam teruk aku tak pergi pun sekolah sebab ibu aku tak benarkan, iya lah takut nanti ada orang lapor dan si B ni boleh kena siasat.

Ke Klinik pun Ibu aku tak nak bawa, bukannya tak mampu ya. Tapi beberapa orang cikgu sedar akan lebam aku walaupun dah pudar dekat muka aku waktu tu. Aku selalu tipu cakap jatuh basikal namun ada seorang cikgu ni dia tak percaya dan kata lebam aku macam orang kena pukul.

Dalam diam cikgu ni lapor dekat guru kaunseling. Aku kena panggil tapi aku berjaya menipu juga walaupun dalam hati aku sangat sakit dan teringin sangat nak lari dari rumah yang bagi aku macam kepompong neraka.

Sejak semua tu kehidupan aku sangat kucar kacir dan aku berubah. Aku selalu sangat bermimpi buruk kena pukul, kena marah sampai tahap aku tak mahu tidur. Bangun tidur pun boleh kena anxiety attack. Selalu takut kalau ada orang jalan berlakang aku dan kalau disergah aku boleh menangis.

Cubaan bvnvh diri tu memang banyak kali. Kiranya aku jadi sangat trauma dengan apa B telah buat tambahan tiada jalan keluar waktu tu nak bantu diri sendiri untuk pulih.

Lebih kurang dalam 8 bulan kehidupan aku tak berubah macam layang layang putus tali akibat ketakutan melampau akhirnya aku dapat tahu B ni akan keluar dari tempat aku tinggal sebab dia ada masalah dengan Ibu aku.

Mereka bergaduh sebab B ni masuk campur hal rumah tangga parents aku sampai Ayah aku pun mula benci dan sedar akan sikap ego B yang tinggi.

Itu malas lah aku nak cerita panjang hal mereka kan. Tahu je B ni keluar dari rumah boleh katakan hati aku terdetik perasaan yang amat menggembirakan dan sangat lega.

Aku bersyukur yang akhirnya aku tak akan dibelenggu dengan ancaman dan ketakutan dan aku mampu ada ruang untuk diri sendiri untuk berubah menjadi seperti remaja yang normal.

Tak lama sejak itu, parents aku decide untuk pindah dekat KL jadi B ni tiggal dekat JB je, kat mana pun tak tahu lah. Kami tak pernah ambil tahu sebab dia sendiri keluar dengan ego dia yang setinggi langit.

Aku pun mulakan kehidupan baru dekat KL, dapat masuk kelas aliran sains dan jadi salah seorang top students kat sekolah baru.

Aku merangkak-rangkak mengubati diri sendiri dan keluar dari kempompong tekanan akibat trauma yang aku alami. Aku mampu bercakap dan berinteraksi dan kira “nampak normal” lah dari sebelum ni tapi sayangnya aku memang tak sama macam dulu lagi.

Ibarat macam pinggan kaca yang pecah dan kemudian disambungkan balik. Aku jenis memang pendiam sangat-sangat, memang selalu bersendirian sebab dah terbiasa.

Orang lain nak jadi kawan pun aku tak layan sangat. Tapi ada lah kawan kawan kelas begitu tapi aku memang tak rapat dengan siapa siapa sampai habis sekolah.

Memang ada pun orang pelik dan sedar dengan tingkah laku aku. Sepanjang aku dalam process healing diri sendiri aku mampu berfikir dan aku percaya aku perlu masa yang banyak untuk betul betul pulih.

Aku masih juga dapat mimpi bukan bukan, selalu juga menangis seorang diri berjam jam tanpa sebab kalau bersebab tu selalu nya teringat dekat apa B buat dekat aku. Lemah memang lemah sebab aku selalu kena anxiety attack dan mudah down bila kena tegur.

Hati memang rapuh lah walaupun dah mula nak sembuh. Kadang kadang aku sedih juga yang aku sangat lah introvert sebab memang tak ada kawan, tapi nak buat macam mana kan dah aku yang pilih untuk ber “solitude”, salah sendiri.

Tapi aku ada la juga rasa gembira sebab aku tak takut macam dulu, aku pun selalu keluar jalan jalan tanpa rasa nak balik rumah sebab dulu aku memang takut nak jumpa orang.

Kisah aku tak sampai situ, suatu hari aku dapat tahu B ni dah mula berbaik dengan parents aku dan akan tinggal serumah lagi mungkin sebab dia tak mampu bayar sewa dan sebab lain.

Aku apa lagi aku menangis sepuas hati bila aku tahu, hati aku luluh sangat sangat macam aku dah tahu harapan aku untuk aku sembuh sangat tipis dan aku akan kembali menjadi diri lama aku yang jiwa selalu tak tenang dan takut dengan semua benda dan kehidupan sendiri.

Ibu tahu dan dia ada bagitahu aku yang aku perlu terima B dan cuba untuk meyakinkan aku bahawa si B ni dah tekad tak nak jadi macam dulu lagi. Tapi aku tetap tak pernah terima pun sebab aku rasa B hanyalah berpura pura semata mata untuk tinggal kat KL.

Mula lah kehidupan aku yang dibelenggu ketakutan walaupun tak se”intense” macam dulu. Bayangkan aku memang lah sangat jangal dengan dia, cakap sepatah perkataan pun tak.

Dia memang tak takut takut kan aku lagi tapi aku sedar dia ni macam ada yang tak kena, macam masih ada over controlling side. Aku pernah keluar untuk duduk luar rumah je dan dia boleh tanya aku tiba tiba dengan nada marah “kau nak pergi mana?”.

Aku hanya keluar bilik sekadar untuk makan dan minum je, kalau dia keluar rumah baru aku keluar duduk kat ruang tamu. Pernah sekali ibu suruh B ambil aku balik sekolah, bila aku nampak dia aku lari pergi tandas dan menangis sepuas hati.

Perasaan takut dan trauma tu membuak buak bila aku tahu Ibu ni sanggup suruh B ambil aku walaupun tahu aku cukup tak suka dengan dia. Ibu ayah memang tak pernah pun nak ambil tahu apa yang aku rasa.

Pernah juga aku dipanggil ke kaunseling kat sekolah tahun lepas sebab orang sekeliling memang sedar yang aku jadi semakin teruk, selalu tak hadir ke sekolah.

Boleh katakan aku datang sekolah sekurang kurangnya hanya 2 kali je seminggu sebab aku rasa sangat lemas dan rimas nak tengok dunia luar dan jumpa orang.

Aku dipaksa ambil test kesihatan mental macam tu dan cikgu kaunseling tu memang syak aku ni dah lama sangat kemurungan dan memang nak refer aku dekat pakar.

Aku tolak bukan sebab aku tak mahu pertolongan pakar sebabnya aku tak mahu parents aku terlibat sebab aku kan masih bawah umur lagi, tambahan parents aku ni jenis judgmental bab bab begitu dan suka endahkan perasaan aku.

Aku bagitahu cikgu tu untuk rahsiakan hal aku tapi dia tetap bagitahu ibu aku sampai lah ibu boleh bertanya soalan yang sangat menusuk jiwa aku sampai hari ini, “Kau ni betul betul d3pr3ss ke?” dengan nada yang seolah olah merendahkan aku.

Aku diam je dan akhirnya aku pun tak di refer ke doktor pakar sebab mereka memang fikir kemurungan ni benda yang memalukan dan hanya orang tua je boleh kena, aku akur walaupun aku merana setiap hari.

Kalau si B ni ada dalam rumah terutamanya bila parents aku memang keluar kerja, aku memang tak keluar pun bilik walaupun aku sangat lapar sebab aku memang tak sanggup melihat muka dia. Hati aku masih sakit dan aku sangat trauma.

Sepanjang tahun ni aku boleh kira dengan jari je beberapa kali aku keluar rumah lagi lagi dengan PKP dan parents aku yang jarang luangkan masa dengan aku. aku memang tak cakap dengan siapa siapa lah, kawan memang tak ada, parents pun tak tahu apa aku rasa sepanjang B kembali tinggal kat KL ni.

Rutin aku semakin teruk tambahan aku pun tak ada sekolah lagi, disebabkan aku kembali menjadi diri lama aku, sekarang aku hilang semangat nak terus kan kehidupan. Dapat tawaran masuk Uni pun aku tolak, sebab aku rasa aku sangat sakit dan tak dapat nak sembuh.

Aku ada terfikir juga kalau aku sambung belajar aku dapat lah keluar dari sini tapi bila fikir balik takkan lah aku nak pergi Uni semata mata nak lari dari kehidupan yang menyakitkan aku, aku tak mahu bazir masa dan duit ibu bapa aku, jadi aku tetap tolak.

Aku sekarang ni jadi makin teruk aku sedar tapi aku tak dapat nak buat apa apa dan tolong diri sendiri.

Apa yang aku sedar aku perlu keluar dari sini baru aku dapat pulihkan lagi diri sendiri dan mulakan titik kehidupan baru sebab memang tak ada yang dapat tolong. Ada hari aku tersangat lemah, macam mayat hidup hanya minta nyawa ditarik tuhan.

Ada hari aku mampu bangun dan senyum tapi aku dalam diam tetap tersiksa seorang diri. Aku pernah pitam berberapa kali akibat menangis dan sedih melampau seorang diri dalam bilik waktu PKP.

Kalau aku keluar rumah aku jadi macam rusa masuk kampung sebab gembira sangat dapat keluar rumah, kalau pergi ruang tamu bila B tiada kat rumah pun aku dah cukup bersyukur.

Sakit yang aku alami sekarang susah aku nak betul betul gambarkan, aku tak mahu nak sebut aku mengalami d3pr3ssi sebab yelah itu bukan benda yang boleh buat main dan perlukan diagnosis pakar. Fikiran aku pun tak tentu pasal, boleh katakan aku selalu fikir nak m4ti je tapi aku ingat Allah.

Tetap solat dan berdoa walaupun selalu tinggal dan terlalu lemah. Ibu ayah aku memang tak tahu lah yang aku ni sebenarnya sakit, aku pun taknak mereka tahu sebab kesian lagi lagi mereka dah cukup baik membesarkan aku walaupun sangat jarang untuk luangkan masa dengan aku.

Aku memang tak dapat nak maaafkan si B ni sebab dia dah rosakkan waktu di mana aku sepatutnya merasa keindahan serta pahitnya menjadi seorang remaja normal.

Tengok muka B pun aku sakit, aku akan teringat apa dia pernah buat dan peristiwa tu masih tergiang giang dan termimpi mimpi oleh aku setiap hari.

Mungkin bila aku dah cukup matang aku mampu jumpa pakar untuk dapat kan rawatan dan lain lain, aku pun masih tak tahu macam mana produser nak jumpa pakar. Jika anda seorang yang duduk kat tempat aku. Apa yang anda akan buat?

Terima kasih kalau pembaca dapat membaca habis walaupun tersangat panjang dan agak tunggang langgang.

Yang merendah diri, gadis kecil yang sakit.; “you can’t heal in the same environment that made you sick”

– Farah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *