Kehidupan Selepas UIA

Aku baru sahaja menamatkan pengajian di UIA. Mungkin belum cukup lama aku bekerja di luar untuk aku cerita pasal ni. Tapi, beberapa bulan selepas melangkah keluar dari “kepompong” selamat UIA membuatkan aku rindukan suasana UIA.

Alhamdulillah, aku tidak menghadapi kesukaran untuk mendapat kerja sesudah belajar. Aku habiskan sisa-sisa hari di UIA dengan tenang, dengan harapan yang menggunung, bahawasanya selepas aku melangkah keluar dari UIA ini, kehidupan akan lebih senang. Tiada lagi hari-hari yang aku akan menghadapi hari di mana aku peru berfikir sepuluh kali untuk membeli makanan yang berharga lebih RM5. Tiada lagi hari aku akan menadah telinga mendengar bebelan pensyarah. Tiada lagi drama kehidupan dalam kampus. Aku akan mendapat gaji yang lebih lumayan dari jumlah wang PTPTN. Aku boleh beli apa sahaja yang aku mahukan.

Itu kata-kata aku, pada bulan-bulan terakhir sebagai seorang mahasiswi, yang aku gunakan untuk membakar semangat yang ada kalanya seakan-akan mahu padam.

Aku mendapat kerja di sebuah syarikat swasta, di mana aku seorang sahaja yang berbangsa Melayu di situ. Aku memulakan kerja aku, masih dengan pakaian sepertimana yang aku akan pakai di UIA dulu. Baju labuh dan longgar, seluar slack longgar dan shawl labuh. Di UIA, ini adalah pakaian normal. Pekerja-pekerja di situ semua dengan baju dan skirt pendek. Aku tidak merasa janggal. Bagi aku, asalkan aku boleh melakukan pekerjaan aku tanpa kesulitan, tiada apa pun yang boleh menghalang aku daripada memakai pakaian sebegini.

Minggu berganti bulan. Boss aku mula bertanya. “You kurus. Kenapa pakai baju besar? Nampak tak professional.”
Naif, aku hanya diam dan memakan diri. Namun aku teruskan sahaja berpakaian seperti biasa.
Bekerja 6 hari seminggu dan diberi kerja untuk dibawa ke rumah pada off-day, tambahan pula komen-komen dari boss mengenai pakaian dan agama aku, secara diam membuatkan aku tertekan. Semakin hari, aku semakin berat untuk melangkah ke tempat kerja.
Suatu hari, aku tidak mampu untuk keluar dari bilik tidur aku. Langsung. Aku tak mampu lagi memaksa diri aku untuk bekerja. Selepas ke klinik, aku diberikan anti-depressants untuk mengurangkan tekanan.

Istikharah selepas istikharah, aku membuat keputusan untuk meletak jawatan. Aku berpendapat, “Buat apa aku teruskan sesuatu yang memudaratkan bagi kesihatan aku?”

Namun begitu, tanggungjawab terhadap mak ayah yang sudah tidak bekerja, dan komitmen terhadap pinjaman kereta dan bayaran balik PTPTN, aku tahu aku tidak boleh meneruskan kehidupan sebagai seorang penganggur.

Sebulan menganggur, aku kembali ke alam pekerjaan. Kali ini, di sebuah syarikat swasta yang lebih besar. Sekali lagi, aku menjadi satu-satunya yang berbangsa Melayu di cawangan itu. Namun kali ini, aku dapat rasakan yang aku semakin “matang”. Di tempat baru itu, semua pekerja diberi uniform. Awal-awal lagi aku sudah bercadang untuk mengambil size L atau XL, sepertimana yang aku buat di UIA dahulu, jika diberi pilihan size untuk t-shirt bukan muslimah. Sesampai di tempat kerja, boss hulurkan tiga helai baju, size S. Hampir sahaja aku menangis, tapi aku menggunakan alasan “bahu lebar” untuk mendapatkan baju size M. (Setakat ini sahaja aku mampu runding. Nanti dituduh banyak songeh pula). Disuruh pula aku tuck-in. Untuk nampak kemas, katanya.

Aku kata, “maaf, dalam Islam, perempuan tidak boleh berpakaian yang boleh menampakkan “shape” badan, dan baju kena labuh bawah punggung”. Dia terkejut. Katanya “I tengok orang Melayu lain boleh saja pakai size S dan tuck-in?” Spontan aku menjawab “Dalam Islam you tahu semua perempuan kena pakai tudung kan? Tapi masih ada yang tak pakai kan?” Dia diam. Aku teruskan lagi “Baik, saya boleh tuck-in, tapi saya nak pakai blazer straight cut dan labuh” Akhirnya kami menemui persetujuan.

Ada kala, dia cuba melawak apabila aku kata aku tidak mampu untuk membuat sesuatu dengan menggunakan frasa “kenapa? sebab agama islam tak bagi ke?”

Banyak lagi insiden di tempat kerja kedua aku. Namun kali ini aku nekad. Nekad untuk membuktikan bahawasanya pakaian dan agama aku bukanlah alasan untuk dia terus menerus merendahkan aku. Aku semakin kuat beribadat agar aku sentiasa ingat bahawa Dia akan sentiasa ada dengan aku. Dan sekiranya aku tewas, dan aku diberhentikan, nauzubillah, di saat aku hanya mempertahankan hak aku sebagai seorang Muslimah di negara sendiri, aku redha.

Jadi, adik-adik, percayalah. Dunia luar ini tidaklah seindah dan sebahagia dunia UIA yang anda ada sekarang. Ikhlaskan hati dalam menutup aurat. Jangan mudah terpengaruh. Semua permintaan mereka itu hanyalah duniawi semata-mata. Allah akan lihat setiap usaha kita. Dan ini hanya sedikit sahaja ujian mempertahankan agama kalau dibandingkan dengan saudara-saudara seIslam kita di negara lain.

Dan ketahuilah, pada masa kegawatan ekonomi ini, dengan gaji fresh-graduates yang lebih kurang 2.5k itu tidak mencukupi untuk hidup mewah. Kurangkan angan-angan dan simpanlah sebanyak mungkin dari sebelum anda habis belajar. Dan jangan harapkan sanjungan tinggi hanya kerana anda seorang pemegang Ijazah Sarjana Muda. Sediakan diri anda untuk menjadi kuli. Sapu sampah, mop lantai, buang sampah, operator telefon, itu semua boleh saja jadi jobscope anda.

Don’t expect too much like I did. It will hurt less if you expect less.

– Ana

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit