Kehidupan Yang Tidak Sempurna

Hai pembaca IIUM Confession sekalian,

Aku merupakan ibu kepada 2 orang cahaya mata yang berusia 40 an di mana aku dibesarkan dalam keadaan yang amat susah.

Air mataku berlinang setiap kali aku mengenang kisah lalu yang menjadi kan aku wanita yang kuat hari ini.

Namun begitu, aku bersyukur kerana aku dikurniakan kehidupan yang lebih baik dari pengemis di kaki lima. Aku merupakan seorang anak sulung dari 4 orang adik beradik.

Aku dibesarkan dalam keadaan yang tegas oleh ayahku. Ayahku merupakan seorang yang panas baran dan kerap memukul ibuku dan mengatakan aku ini bukan anaknya.

Betapa kalian boleh bayangkan aku seumur 5 tahun terbangun tengah malam dan mendengar ayahku mencaci ibuku dan mengatakan, “tah tah Jihan tu bukan anak abang”.

Aku kasihan melihat ibuku dan kadangkala aku hairan bagaimana ibu ku mampu bertahan hidup dengan orang sedemikian.

Namun janganlah kalian bersangka buruk bahawa aku tidak mengenang budi ayahku membesarkan kami sekeluarga. Aku cuma membenci sifatnya yang panas baran dan kaki pukul.

Di sekolah, kerana kedhaifan ku, aku sering mengalah apabila guru guru mengadakan lawatan kelas kerana walaupun amaun sekecil RM30 pun pada waktu itu besar bagi keluargaku, kerana ia ibarat membeli lauk seminggu untuk kami.

Namun begitu aku cemerlang dalam pelajaran di sekolah. Setiap kali peperiksaan besar atau bulanan, aku pasti akan mendapat tempat pertama dalam setiap peperiksaan yang dianjurkan.

Malahan aku merupakan straight A student dalam UPSR, dan PMR.

Cabaran utama apabila aku berada di bangku sekolah menengah dan medapat tawaran ke asrama penuh.

Aku orang susah, manakala sekelilingku dipenuhi dengan rakan rakan yang berasal dari keluarga yang kaya raya.

Sungguh aku cemburu apabila setiap minggu keluarga mereka datang melawat dan membawa makanan yang sedap sedap dan memberikan duit belanja yang banyak. Sedangkan aku ?

Makan makanan di dewan makan sebanyak mungkin serta masukkan ke dalam bekas makanan bagi tujuan bekal di kelas kelak bagi menampung keperluan makanan ku.

Kesusahan diriku tidak menjadikan aku lemah dari pembelajaran.

Walaupun aku orang yang susah, aku bangga kerana aku dikurniakan Allah otak yang bijak sehingga rakan rakanku menjadikan aku sebagai tempat rujukan sewaktu di sekolah dahulu.

Aku mempunyai seorang rakan baik yang kehidupannya 360 darjah berbeza dari aku.

Dia cantik, berasal dari keluarga yang kaya, ibu bapanya bahagia dan berkedudukan.

Berbeza sungguh dengan diriku yang rupa parasku hanyalah biasa biasa, keluarga dhaif dan tiada latar belakang yang bagus. Aku sering bertemu dengan keluarganya namun aku menjaga tuturkata kerana aku sedar siapa diriku.

Biasalah remaja, adakalanya bila kita meningkat ramaja ini, kita mudah suka pada lelaki di sekeliling kita. Aku seorang yang fokus pada pembelajaran.

Namun entah bagaimana aku terpaut hati pada rakan sekelasku yang boleh dikatakan popular dikalangan gadis di sekolahku.

Namun hampalah hati ini apabila mengetahui lelaki tersebut menyukai rakan baikku yang pada aku bukan calang calang orangnya untuk aku tandingi.

Aku suka duduk asrama, sebab apa ? sebab aku tidak perlu pulang ke rumah untuk mendengar perbalahan ibu dan ayahku.

Setiap kali pulang ke rumah, aku meniti masa untuk pulang semula ke asrama.Namun bila di asrama, aku rindukan adik adikku. Aku rapat dengan adik ku yang kedua iaitu Zainal.

Dia menjadi pelindung pada diriku tatkala aku dipukul oleh ayahku atau ketika kami adik beradik dihina oleh orang di taman sebagai anak orang miskin. Kejamnya manusia di sekeliling kami terhadap kami yang kecil ketika itu.

Ibuku sedar akan kesusahan kami sekluarga dan cuba untuk membantu ayahku menampung kesusahan.

Masih aku ingat ibuku menjual kain kepada makcik di taman untuk dijadikan baju raya dan juga menjual bunga api dan mercun kepada kanak kanak di musim raya.

Namun ada sahaja mulut jahat pakcik bawang yang benci kepada kami dengan mengatakan kami mengemis dengan menjual barangan sebegitu. Aku masih ingat muka orang orang tersebut.

Alangkan aku kecil sahaja ketika itu, jika tidak dah lama dah aku cabaikan mulut orang tua itu.

Sehinggalah usia aku meginjak ke 17 tahun, aku mendapat perkhabaran bahawa ibu bapaku akan bercerai, aku membuat keputusan untuk keluar dari Asrama dan menjaga adik adikku pada ketika itu.

Ketika itu kami sudah berpindah dan menetap di sebuah pangsapuri di Johor. Bayangkan ketika parent aku bercerai, mak aku bawa kami keluar rumah sehelai sepinggang demi mahu melarikan diri dari ayahku.

Aku akan sambung semula kisah ini sebab aku sedang sibuk sedikit. Mana yang mungkin mengenali aku dalam kisah ini, sila simpan pada diri sendiri dan jangan reveal kan identiti aku ya?

Yang benar,

– Nurul Jihan (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *