Kehilangan

Assalamualaikum. Hai semua. Terima kasih admin, kerana siarkan tulisan aku. Ada 2 bahagian, tetapi tajuk yang sama. Ini bahagian yang pertama. Aku N. Sekarang kan musim SPM. Setiap kali musim SPM, setiap kali bulan puasa, aku pasti akan teringat memori ini.

Aku nak kongsi pengalaman pahit aku semasa aku sedang menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2002. Aku sekolah di kampung aku membesar, dekat je dengan rumah, Memori ini pernah aku tuliskan dalam blog Friendster dulu beberapa bulan (mungkin setahun) selepas peristiwa ini berlaku. (sekarang Friendster dah takde.)

SPM 2002 jatuh pada bulan Ramadhan. Sepanjang SPM, aku masuk asrama sekolah. Mudah untuk aku fokus dan ulangkaji bersama rakan-rakan sekelas. Pada suatu petang, aku tiba-tiba rasa cemas, berdebar-debar. Tak tahu kenapa. Masa kat toilet plak, jam tangan kesayangan aku jatuh dalam toilet. Toilet cangkung, gais. Aku cari plastik, tahan nafas, pejam mata dan meraba-raba aku cari jam tu. Jam kesayangan tu ayah aku yang bagi. Dia beli masa dia pergi haji tahun 1996, so masa tu jam tu berusia 6 tahun.

Memandangkan aku tinggal di asrama sepanjang exam dan rumah aku dekat dengan asrama sekolah, ayah selalu hantar juadah berbuka yang mak aku masak. Lepas aku dapat balik jam kesayangan tu, ayah aku pun datang hantar juadah berbuka kegemaran aku, roti jala. Malam tu masa tengah study, walkman aku jatuh atas lantai. Berkecai.

Perasaan cemas tu datang lagi. Aku dah mula rasa tak sedap hati. Nak sambung study pun tak boleh masuk kepala dah waktu tu. Esoknya paper English dan Sejarah. Korang bayangkan la Sejarah yang banyak facts kena hafal, tapi aku rasa macam angin lalu je, tak masuk kepala langsung dek perasaan tak sedap hati tu.

Esoknya waktu sahur, aku dapat SMS daripada kakak ipar aku. Dia tengah kursus kat Perak. Dalam SMS dia tulis, “Sabarlah, N. ni dugaan yang paling berat untuk keluarga kita.” Aku pelik. Aku reply, “Dugaan apa?” Lepastu dia call. Dia tanya last paper aku bila, dan aku kata kat dia, 2 minggu lagi. Aku tanya dia apa yang berlaku, kenapa dia cakap macam tu dalam SMS. Dia kata nanti lepas habis exam untuk hari tu, dia akan call lagi. Lagi tak keruan aku dibuatnya. Definitely something is wrong.

Then, masa aku berjalan ke dewan peperiksaan, lalu depan beberapa pekerja am sekolah. Salah seorang daripada pekerja tu adalah tukang gali kubur kat kampung aku. Dia sapa aku dan tanya, “Ayah kau dah balik dari Skudai ke belum?” Aku cakapla, “belum.” Makin pelik weh. Kenapa pulak ayah aku nak pergi Skudai. Yang ada kat Skudai tu Abg. Lang aku, tengah study kat UTM Skudai.

I told myself, habiskan exam ni dulu, then baru call ayah atau mak dan tanya apahal semua ni. Tapi sebenarnya, lepas je pakcik tukang kebun a.k.a tukang gali kubur tu tanya soalan tu kat aku, aku jadi lagi tak sedap hati. Masih lagi menapak ke dewan peperiksaan, aku sempat SMS Kak Ngah, “Ayah kahwin lagi ke?” Itu je yang terlintas dalam kepala aku. Soalan bodoh, tapi itu je yang terlintas dalam kepala. Tapi Kak Ngah tak reply.

Kak Ngah tak reply, aku dah tak boleh tahan. Apa benda ni, semua orang taknak bagitahu ni? Aku sampai kat dewan peperiksaan 30 minit sebelum masuk dewan. Dalam masa yang ada tu, aku call ayah. Aku tanya dia, kenapa semua orang tanya soalan-soalan pelik? Lepastu bila aku tanya, taknak jawab pulak. Then ayah tanya, “mana dapat tau?” Aku tanya lagi, “tau apa? Orang tak tahu apa-apa ni, orang tak faham, tapi orang tahu ada sesuatu.”

Ayah suruh aku bertenang. Aku masih lagi tak faham, dah kenapa nak kena bertenang pulak?

Kemudian, ayah berkata tentang sesuatu yang aku langsung tak terfikir nak dengar, langsung tak terlintas dalam kepala, sesuatu yang aku tak nak dengar, sesuatu yang aku tak nak bayangkan langsung.

“Abg. Lang eksiden malam tadi. Ada van langgar masa dia naik motor nak pergi masjid untuk terawih.” Sampai ayat ni, aku boleh sabar lagi.

Kemudian ayah sambung lagi.”Ayah nak kau bersabar. Kau nak exam ni tau. Masa depan dan kehidupan kau jauh lagi. N, Abg. Lang meninggal dunia masa dalam perjalanan ke hospital, dalam ambulans.”

Dengar ayat terakhir ayah, aku meraung sekuat hati. aku menangis sekuat hati. aku jatuh melutut, handfon terjatuh. Aku rasa dunia tiba-tiba gelap. Jantung aku berhenti. Masa terhenti. Dada aku rasa berat sangat. Aku tak percaya dengan apa yang aku dengar. Kemudian, ada beberapa rakan datang menerpa dan memujuk aku bertanya apa yang berlaku.

Disebabkan exam nak mula lagi 2 minit dan pengawas dah panggil masuk, aku terpaksa beritahu ayah aku kena masuk dewan. Sebelum matikan panggilan, aku sempat beritahu ayah untuk tunggu aku habis exam petang tu sebelum kebumikan Abg. Lang.

Aku menangis sepanjang jawab exam. Subjek English. Paper 1, ok sebab MCQ (objektif). Tapi bila masuk Paper 2, aku rasa azab sangat. Salah satu daripada soalan wajib aku kena tulis ‘report on how to reduce accidents among motorcyclist.’ Korang rasa macam mana waktu tu? Aku asyik teringat arwah Abg. Lang yang tak sempat sampai ke hospital. Meja aku penuh tisu. Kertas kajang tu basah sebab air mata aku laju turun macam air terjun. Azab sangat rasanya nak habiskan.

Petang tu paper Sejarah pulak. Allah je yang tahu betapa azab nak harung hari tu yang terasa amat panjang. Akhirnya, 10 minit sebelum masa menjawab paper Sejarah tamat, sorang guru pengawas cari aku dan beritahu aku boleh pergi. Dengan pantas aku serahkan kertas jawapan, ambil beg, terus keluar dewan. Di luar dewan, kakak sepupu aku dah tunggu. Dia terus peluk aku dan suruh aku bersabar. Aku menangis sepanjang perjalanan balik ke rumah.

Sampai je di rumah, aku terus keluar dari kereta. Aku nampak ada 2 bas UTM Skudai dan ramai sangat orang di luar rumah. Ramai orang yang aku tak kenal sampai susah nak cari ayah aku dan sebab mata aku dah bengkak penuh dengan air mata, hidung pun penuh hingus.

Nampak je ayah, aku terus peluk kuat-kuat, menangis semahu-mahunya. Aku naik ke rumah. Dan itulah dia. Aku lihat sekujur tubuh ditutupi dengan kain putih di tengah-tengah ruang tamu. Tetamu yang berada di ruang tamu semua sedang bacakan surah Yaasin untuk arwah Abg. Lang.

Aku dengar suara mak memanggil aku dalam tangisan. Aku berlari mendapatkan mak. Aku peluk mak. Kami menangis bersama adik beradik dan saudara-maraku yang lain. Kami saling berpelukan.

Aku tidak akan lupa, itulah kali terakhir aku melihat Abg. Lang. Diselubungi kain kafan yang putih suci. Aku kucup dahinya buat kali terakhir. Terasa berat dada. Sukar untuk melepaskan dia pergi. Selepas ahli keluarga mengucup arwah buat kali terakhir, arwah dibawa ke tanah perkuburan kampung kami untuk dikebumikan.

Arwah Abg. Lang adalah anak yang paling soleh diantara kami berenam. Arwah bersekolah menengah di sebuah sekolah menengah agama berasrama penuh. Rakan-rakan di matrikulasi dan di universiti ramai juga yang memanggilnya dengan gelaran ‘Ustaz’. Adik beradik kami yang pertama Abg. Long (masa ni dah berkahwin dan ada seorang anak), kedua Kak Ngah (masa ini masih lagi belum berkahwin), ketiga Abg. Lang, keempat aku, kelima adik perempuan dan yang terakhir keenam juga perempuan.

Sementara itu di rumah, mak lah orang yang paling terkesan sekali dengan berita mengejut ini. Waktu berbuka lepas pengkebumian selesai, mak tak jamah apa pun kecuali sebiji kurma dan segelas air kosong. Itu je. Mak duduk termenung, pandangannya kosong, dan jelas air mata turun laju dari matanya. sedih kami lihat mak macm tu. Makcik-makcik pujuk untuk makan, ayah pun pujuk mak untuk makan. Ayah, dia menangis juga, tapi tak ditunjukkan kepada kami. Ayah harus tunjukkan sisi kuatnya tatkala orang lain menangis. Matanya merah.

Aku masih ingat lagi kata-kata ayah kepada mak, “. ada hikmahnya, Allah lebih sayangkan dia, dia pergi dalam bulan Ramadhan, dalam perjalanan nak ke masjid untuk terawih. Itu Allah nak muliakan dia. Bukan senang orang nak ‘pergi’ dalam bulan baik, dalam keadaan yang baik, dalam masih berwudhuk. InsyaAllah Allah akan tempatkan dia bersama orang baik-baik di ‘sana’. Kita yang masih hidup ni perlu teruskan hidup.” Kemudian barulah mak makan lebih sikit.

Ya. apa yang ayah katakan itu betul. Aku lebih tenang lepas fikirkan apa yang ayah katakan tu. Buat yang bertanya bagaimana kronologi eksiden tu, ini apa yang aku diberitahu oleh ayah (yang diberitahu oleh rakan-rakan arwah yang ada di tempat kejadian).

Aku tak ingat kejadian ni lepas berbuka atau sebelum. Aku rasa selepas kot. Arwah menuju ke masjid berdekatan rumah sewa dengan motor. Selalunya arwah akan guna jalan pintas/jalan dalam untuk ke masjid. Tapi mungkin nak dijadikan sebab, malam tu arwah guna jalan utama untuk ke masjid. Jalan utama tu sibuk sangat. Sampai di simpang, arwah nak ke kiri. Tiba-tiba ada sebuah van langgar arwah. Arwah terhempas ke cermin hadapan van dan terpelanting ke tepi jalan. Mengikut kata rakan-rakan arwah yang ikut di belakang arwah, pemandu van tu cabut dan ambil helmet arwah, dan terus pergi.

Rakan arwah kejar, rupanya pemandu tu pergi ke balai polis dan buat laporan dia langgar penunggang motosikal yang tidak pakai helmet. Mujur rakan arwah kejar dan beritahu polis keadaan sebenar. Mereka cari dan jumpa helmet arwah yang pemandu tu sorokkan dalam van.

Semasa menaip ni, aku masih lagi menggeletar kemarahan walaupun kisah ni berbelas tahun berlalu. Aku tak tahulah binatang apa pemandu van tu. Daripada kau ambil helmet dan buat report palsu, kan lebih baik kau tolong bawa ke hospital. Tapi apa boleh buat, semua sudah tertulis di luh mahfuz.

Aku kembali ke asrama seminggu kemudian. Mujur break lepas paper Sejarah ke paper selepasnya agak lama. Dan pada waktu itu, aku hilang motivasi. Harung je, study je, jawab je semampu boleh. Bila result keluar, aku tak terkejut pun tak dapat apa yang aku target. Aku tak salahkan apa yang berlaku. Aku redha dan tetap bersyukur.

Walaupun result SPM tidak seperti yang aku target, aku dapat peluang yang baik. Aku ditawarkan program biasiswa untuk lanjutkan pelajaran terus ke ijazah. Alhamdulillah untuk semuanya.

Terima kasih Allah, pinjamkan Abg. Lang seketika untuk kami. Abg. Lang akan sentiasa ada dalam doa, hati, memori dan jiwa kami.

Al-Fatihah.

– N

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *