Bismillahirrahmanirrahim…
Harini ini genap setengah bulan aku diuji dengan nikmat kesihatan. Kaki yang Allah pinjamkan Dia ambil sebentar untuk aku terus bersyukur dengan nikmat yang Dia tinggalkan di sekeliling aku. Aku terlibat dengan satu kemalangan motosikal yang menyebabkan tulang pubic rami aku patah dan pengajian aku terpaksa ditangguhkan untuk beberapa bulan.
Selepas beberapa hari mendapat rawatan di hospital, aku dibenarkan pulang ke rumah untuk meneruskan tempoh berehat. Aku mula terfikir, bagaimana ibu dan abah hendak menguruskan aku di rumah sedangkan pergerakan aku sangat terbatas, perlukan bantuan, dan bergantung dengan kerusi roda, apatah lagi ingin menunaikan hajat ke tandas.
Aku masih ingat, hari pertama ibu jaga aku di hosp, aku dapat rasa dia takut aku sakit waktu nak gantikan pampers aku lepas dia tengok aku menangis kesakitan.
Seminggu pertama pulang ke rumah bukan perkara yang mudah, hampir tiap malam aku kesakitan, belum campur kembung perut lagi, masuk angin, sakit pinggang tak boleh bangun. Senang cakap ibu abah aku tak senang tidur untuk seminggu itu. Asal malam, lepas pukul 2 3 pagi aku merengek sakit. Allah… Sekali lagi aku merasa aku beban mereka… Seminggu pertama juga ibu bantu aku uruskan hal2 ke tandas, disebabkan badan aku masih sakit2 kesan dari kemalangan, untuk pindah dari katil ke kerusi roda agak menyiksakan. Sampai satu tahap, aku rasa tak mampu nak cakap ‘ibu, nak mintak tolong’……….
Paling aku tak dapat lupa, ibu terlampau penat sampaikan banyak benda remeh dia lupa. Kadang-kadang dia lupa aku nak tukar pampers, dia lupa air panas mandi aku belum campur dengan air sejuk sampai aku terjerit, ibu aku bersungguh mintak maaf, ibu lupa…. Allah… ikhlasnya ibu menjaga aku…
Dari air kecil sampai air besar aku ibu uruskan. Setiap hari ibu menguruskan aku, dari perihal membersihkan diri, makan minum, sampai waktu tidur, dia layan aku macam baby. Ibu bahasakan aku sebagai teddybear ibu. Aku terhibur tapi hati aku sakit melihat ibu letih, ibu penat dan lupa tentang dirinya.
Dengan ujian sakit yang Allah beri pada aku, Allah telah tunjukkan keikhlasan dan ketulusan kasih sayang ibu ayah kepada anak yang tiada penghujung. Aku lihat, aku rasa, dan aku lalui.
Apa jua keadaan kita, sebagai anak, kita tak boleh merendahkan darjat kedua ibubapa kita kerana mereka telah melahirkan, dan melakukan pelbagai pengorbanan untuk memastikan anak-anak mendapat kehidupan lebih baik. Kita sebagai anak takkan mampu membalasnya walau dengan emas permata.
Semoga kita semua terus istiqamah menjadi anak-anak yang baik untuk kedua orang tua, Amin.
Hargai mereka selagi ada.
– Anak ibu
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit