Keinsafan Ramadan

Baru-baru ini aku kena masuk satu tempat tahanan. Tak nak la cerita tahanan apa dan pasal apa.

Aku baru saja keluar tiga hari lepas. Aku kena tahan di sana dekat tiga minggu. Masuk 27 Februari, keluar 18 Mac.

So, aku merasa berpuasa kat sana macam mana. Ini first time aku kena masuk sana.

Aku ni jenis keluarga have-have. Dah biasa makan sedap-sedap. Aku coffee addict. Setiap hari mesti kena minum kopi.

Lepas tu semua yang bersusu—Milo ke, teh tarik ke. Kalau jenis ‘O’, aku tak boleh minum. Tapi setiap hari mesti aku akan minum air bersusu.

Mula masuk sini, aku tak lalu makan. Aku jenis tak reti makan kari-kari semua. Aku memang memilih makanan. Ikan pun aku tak makan. Ayam dan daging ok la.

Sebelum puasa, sehari tiga kali depa bagi makan. Pagi, mee goreng bodoh yang tak ada rasa dan kosong.

Aku dah la tak makan mee sebab kapur mee tu akan buat aku sakit perut. Tapi kalau tak ada makanan, terpaksa la makan jugak. Lepas tu teh ‘O’.

Makanan kat sana tak ada rasa langsung. Ibarat garam dan perasa tak pernah wujud. Makanan sekadar isi perut saja la, supaya tak ada orang mati kebulur.

Kadang-kadang roti putih sekeping sorang. Atau roti empat segi dua keping sorang. Itu saja la sarapan selalu.

Tengah hari, nasi dengan bendi. Kadang ada ikan bilis goreng. Kadang makan tu agak kering. Nak telan pun susah. Kadang letak saja air kosong dalam nasi supaya ada kuah.

Makan malam kari ikan. Ikan yang dipotong kecil-kecil. Mungkin ikan kayu kot. Aku memang tak boleh telan langsung. Plus, aku tak makan ikan dan kari. Lagi satu, semua makanan tawar. Kari ke apa ke, tak ada rasa.

Actually, kalau ada air kopi pun aku ok dah. Tak perlu makanan. Tapi tak pernah ada. Hari-hari teh ‘O’ sehari sekali saja. Kadang kopi ‘O’. Aku kan tak minum ‘O’. So, aku memang tak minum la air kat situ.

Sebelum puasa tu, aku tak lalu makan sangat la. Aku pun jenis tak biasa sahur. Kat sana, pukul 5 pagi kena sahur dah.

5 pagi aku tak biasa makan berat. So, hari pertama aku tak makan sahur. Just minum air kosong.

Sebab sebelum tu pun makan tak betul, aku jadi kebulur hari tu.

Masa nak berbuka, hati aku jadi happy. Aku nampak setiap seorang diberi satu jenis kuih dan kurma. Ada air sirap ais. Lepas tu ada nasi dengan ayam masak merah.

Kuih sebiji tu aku rasa tak cukup. Tapi sorang satu saja. Masa tu kuih macam apam apa tah. Aku tak pernah makan kuih tu.

Tapi aku rasa la sedapnya. Kat sana berbuka makan kuih, lepas tu pergi solat Maghrib.

Lepas Maghrib baru ada makan nasi. Masa solat, aku tak sabar-sabar nak habis cepat. Siap maki imam sebab baca surah panjang. Aku dah tak sabar nak makan ayam. Aku rasa lamanya tak makan ayam.

Masa beratur ambil nasi, nasib la siapa dapat dengan tak. Sebab makanan selalu macam tak cukup. So, siapa yang keluar lambat selalunya mesti ada apa-apa yang tak dapat.

Nasi satu senduk kecil saja sorang. Aku minta tambah, depa tak bagi. Nanti orang lain takkan dapat katanya. Ibarat macam portion kanak-kanak. Ayam masak merah kuah sikit sangat. Ayam pun sangat kecil.

Masa makan aku menahan sebak. Sebab aku tak biasa makan macam ni. Aku biasa makan sedap-sedap. Aku rindu kopi.

Selalu bulan puasa aku beli kat bazar. Macam-macam aku beli. Kadang-kadang mak masak makanan kegemaran aku. Aku betul-betul enjoy the food sebelum masuk sini.

Tapi kat sini, makanan tak seperti aku harapkan. Lagi teruk dari orang miskin makan mungkin. Yang penting, portion dia sangat sikit dan tak ada rasa.

Keadaan berlanjutan macam ni sampai aku keluar. Awal-awal aku menahan sebak. Lama-lama, setiap kali makan aku akan menangis. Tak peduli orang kiri kanan dah.

Masa kami ambil kuih, sementara tunggu azan, imam akan baca doa. Lepas tu dia akan cakap lagi berapa minit nak berbuka.

Masa tu aku akan pandang kuih yang aku dapat. Alhamdulillah, kuih tu setiap hari tak sama.

Dan yang penting, sedap atau tak, aku mesti habiskan. Aku yang dulu cerewet gila tu, kat sini kena makan juga apa yang ada. Kalau tak, tu pun tak akan ada. Sebab tak ada makanan dah.

So, setiap kali tengok kuih tu aku akan menitis air mata. Setiap kali aku makan nasi yang tak pernah cukup tu, aku akan lap air mata. Sebab aku selalu rasa tak akan kenyang, tapi Allah buat aku rasa kenyang tu.

Untuk berbuka, seminggu sekali saja ayam. Lepas tu telur rebus sambal kosong. Kari ikan dengan timun. Kadang ikan kering. Kerabu tauge. Itu saja la ulang-ulang.

Sumpah, aku tak makan benda-benda macam ni. Tapi kat sana, aku kena makan. Sebab itu saja yang ada. Sedap tak sedap belakang cerita. Syukur, at least ada juga sesuatu untuk dimakan.

Lama-lama mula terbit insaf dalam hati. Secara tak sedar, aku mula belajar bersyukur. Sebab walaupun nasi tak sedap, tapi kuih selalu sedap walaupun sepotong yang agak kecil. Rasa nak lagi sepotong dua, tapi tak akan dapat.

Kuih yang aku makan kat sana, aku cari kat sini tak ada. Ada jenis-jenis tu tak pernah jumpa kat luar. Nama kuih tu pun aku tak tahu. Mungkin resipi sendiri kot.

So, setiap kali berbuka dan bersahur, aku akan menangis tengok makanan. Sebab Allah masih bagi aku rezeki.

Dan tahu tak benda apa yang paling besar aku belajar? Nikmat bersyukur. Patut la dalam Quran Allah cakap, “Nikmat mana yang kamu dustakan?”

Baru hari ni aku betul-betul faham maksud ayat tu. Lepas aku keluar, aku minta Nescafe kat mak aku.

Masa minum tu, berjurai air mata aku. Sebab nikmat mana aku nak dustakan?

Selama ni banyak benda Allah bagi walaupun tanpa aku minta. Tapi aku tak pernah nampak.

Yang aku nampak, permintaan aku yang Allah belum tunaikan. Sedangkan tanpa aku minta, Allah bagi makan sedap-sedap.

Sekecil-kecil nikmat tu kan, sekarang dah jadi sangat besar. Tahu tak aku tengok makanan sekarang macam mana? Seperti ketulan emas yang sangat berharga.

Sebelum makan, aku akan pandang makanan tu dengan penuh kasih sayang dan syukur yang tinggi. Sebab aku pernah merasa makanan yang tak sedap satu ketika dulu.

Aku dah tak membazir dah. Aku mesti habiskan walaupun sedap atau tak. Family aku kan have-have.

Selalu berbuka depa suka pergi hotel. Kali ni aku ambil sikit sangat. Habuan nak rasa. Dan aku tak tinggal walau sebutir nasi pun.

Kalau benda tu tak sedap, tak kena citarasa, aku tetap makan slow-slow habiskan juga. Sebab dekat sana aku dah terbiasa telan makanan tak ada rasa tu.

Macam tu sekali Allah ajar aku hargai nikmat yang Dia bagi. Baru ni aku ke bazar. Beli satu kuih.

Kuih kan sekarang dalam bekas. Ada lima biji. Semuanya tak sedap. Tapi aku tetap senyum dan habiskan selagi makanan tu tak ada bawa mudarat.

Dalam hati, aku rindu kuih kat sana. Kuih sana semua sedap-sedap. Tapi untuk kembali ke sana, aku memang tak nak dah.

Itu tak masuk lagi cerita tidur tak ada kipas, banyak nyamuk, lantai lembap. Nauzubillah.

Aku masuk sana bukan salah aku pun. Tapi aku bersyukur saja sebab ada benda besar yang aku belajar kat sana. Allah selalu cakap ada hikmah yang Allah simpankan.

Hari ini aku dah dapat hikmah tu. Yang penting, aku dah belajar bersyukur dengan sekecil-kecil nikmat pun. Sebab benda tu sangat besar untuk aku.

Aku masih ada 32 batang gigi, sedangkan ramai yang kurang gigi. Tapi aku tak pernah nampak nikmat tu, sedangkan ciptaan Allah tak ada ganti.

Sekarang ni setiap kali aku bangun, aku tengok tubuh badan aku. Tangan cukup, kaki cukup, gigi cukup. Tidur cukup, makan cukup. Benda yang aku tak pernah minta kat Allah, tapi Allah bagi. Nikmat mana lagi aku nak dustakan? Subhanallah.

Aku tak mampu nak tulis lagi sebab air mata aku tak boleh berhenti. Doakan aku sentiasa jadi lebih baik dari masa ke semasa.

– Shazana (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *