Assalamualaikum. Saya ingin menceritakan pengalaman saya ketika saya menyambung pelajaran di sebuah kolej Kota Metropolitan.
Ada seorang lelaki ingin berkenalan untuk membina hubungan yang lebih serius dengan saya dan saya hanya menganggap lelaki itu sebagai seorang kawan biasa.
Namun hari demi hari tidak semena-semena saya ada perasaan suka dan sayang yang luar biasa seakan tidak boleh jauh daripada lelaki tersebut sedangkan kami baru sahaja berkawan.
Sehinggalah pada satu hari ramai rakan-rakan saya menegur saya mengapa wajah saya nampak lain, tiada seri dan saya tidak sedar akan hal ini.
Maka pada cuti semester pertama saya pulang ke kampung halaman dan ibu saya juga nampak watak saya lain dari yang lain.
Ketika itu jugalah ibu saya menyedari bahawa saya seakan mendapat ‘gangguan’ yang tak sepatutnya.
Lalu ibubapa saya membawa saya ke Pusat Rawatan Islam, dan saya dibawa jumpa dengan bermacam orang yang mahir dalam bidang rawatan gangguan mistik.
Dalam tempoh cuti semester tersebut juga selain pergi ke Pusat Rawatan Islam, saya juga berusaha memulihkan diri saya yang bagaikan orang gila dengan cara perbanyakkan solat Tahajjud.
Alhamdulillah Allah bantu saya sembuhkan sakit saya di mana saya telah terkena ‘Sihir Pengasih’.
Selepas sebulan bercuti semester pertama, saya pun kembali ke kolej untuk memulakan pengajian semester baru.
Tiba sahaja di hostel tempat saya menginap, terdapat seorang roommate saya, yang telah pun sampai dan berada di dalam bilik kami.
Ketika itu dia bertanya “Maryam, kau ada cuci kipas ke sebelum balik cuti haritu?”
Lalu saya menjawab “Eh takda. Tapi aku kemas bilik macam biasa. “
Kami pun meneliti satu bilik kami di mana kami berdua amat pelik sebab bilik kami bersih sangat, kipas putih bersih dan lantai tidak berhabuk sedangkan sebulan kami bercuti.
Kami juga cuba mengintai bilik housemate yang lain ternyata bilik mereka tidak sebersih macam bilik kami.
Hanya bilik saya yang betul-betul bersih seakan ada orang lain yang membersihkannya tetapi siapa????
Lalu saya meneruskan untuk mengemas katil dan bag baju untuk disusun ke dalam almari baju.
Ketika saya ingin menyarungkan cadar katil, saya terbau bau busuk seakan bau bangkai. Rupanya bau itu datang dari bawah katil saya. Terdapat satu kotak besar dan satu plastik hitam besar di dalamnya.
Saya tidak berani untuk membukanya kerasa rasa takut lalu roommate saya yang bernama June membawa kotak tersebut keluar dari bilik kami dan dibuang ke dalam tong sampah di depan hostel,
Akan tetapi sebelum June membuangnya, dia sempat membuka plastik hitam tersebut dan alangkah terkejutnya dia apabila melihat di dalamnya adalah bangkai seekor burung berwarna hitam.
June memberitahu saya apa yang dilihat olehnya. Kami sama-sama tergamam.
Untuk pengetahuan, bilik hostel tidak boleh dimasuki oleh sesiapa kecuali pelajar dan warden sahaja. Bilik kami juga hanya kami berdua sahaja yang ada kuncinya.
Sehingga ke hari ini saya tidak pasti apa maksud semua yang kami lihat itu sedangkan kejadian ini berlaku betul-betul selepas saya pulih dari ‘Sihir Pengasih’.
Selain dari kejadian ini, hostel kami memang pun ada gangguan mistik yang amat kuat dan saya juga antara pelajar yang pernah diganggu oleh jin-jin dalam hostel tersebut.
Tetapi kejadian misteri yang terjadi pada saya ini amatlah memelikkan dan sukar dirungkaikan.
Apapun saya bersyukur saya telah sembuh dari gangguan sihir tersebut. Saya anggap apa yang berlaku adalah sebahagian daripada ujian untuk saya lebih dekat kepada Allah.
Maaf sekiranya penceritaan saya tidak difahami. Apa-apa pun saya mengucapkan terima kasih kerana sudi membaca. Jaga diri, hiasi peribadi.
– MaryamIssabel (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit