Kejahatan Daripada Pelaku Kerana Kesempatan dan Peluang

Jodoh adalah cerminan diri kita. Mustahil lelaki yg alim, solat berjemaah di masjid, faham al quran, menjaga diri dan pandangan dari maksiat mendapat isteri yang berpeleseran di jalanan, yg solatnya tidak taat. Itu kisah khayalan dunia. Selama kita yakin pada rahsia takdir Allah, Allah akan menurunkan kebaikan pada kita. Lalu kenapa kita di uji sedangkan kita sudah solat, puasa dan sedekah?

Nama ku A Zahirah. Selepas habis diploma, rezeki ku mendapat pekerjaan tetap seawal usia 22 tahun. Aku berkahwin pd usia 23, sepuluh tahun yg lalu. Aku terima lamaran suamiku kerana aku yakin dengan jodoh yg Allah beri. Aku tahu suami ku pernah berzina dengan bekas tunangnya, mereka hampir berkahwin dahulu. Suami berjanji tidak akan mengulangi dosa lama. Aku pernah mempersoalkan dalam istikharah ku sebelum aku bernikah, kenapa Allah menakdirkan lelaki ini pada aku. Dan akhirnya aku percaya, jika Allah sudah menetapkan jodoh kami terjadi, maka ia akan jadilah. Aku tidak layak menilai masa silam seseorang. Mungkin dia sudah bertaubat.

Aku bukanlah muslimah yg sempurna. Berfesyen sana sini mengikut aliran zaman. Moden juga dan tidak kolot di media sosial. Untungnya aku tidak pandai bermekap. Maka aku tidak lah secantik mana. Solatnya terkadang culas. Membaca al quran bukan lah rutin harian. Hanya apabila ada masa lapang dan terluang walau aku tahu kelebihan dan kebaikannya, tetapi jiwa muda itu sentiasa lalai. Hidup kan masih panjang!

Aku mula berhijrah merubah kehidupan dan penampilanku seharian apabila aku rasa jika salah seorang dari kami tidak berubah, rahmat Allah akan hilang. Aku ada dengar kuliah dan taa’lim dlm kewajipan menuntut ilmu agama. Sebenarnya, hijrah bukan pada penampilan sahaja. Tetapi perlu secara total. Dengan memperbaiki percakapan, perilaku dan amal ibadah.

Ibadah bukan sekadar solat, puasa dan sedekah. Juga hubungan baik kepada ibu bapa dan orang lain. Aku mulai sedar batas seorang muslimah. Aku ada bertanya pada suami, adakah dia malu punya isteri yg sudah tidak terlihat moden. Aku ceritakan pd dia, aku takut kerana dosa ku, suami ku terheret ke neraka. Dia cuma tersenyum dan aku tahu dia setuju. Walaupun suami tidak tahu baca al quran kerana sudah lupa cara bacaannya, dia tidak lupa solat. Cuma hijrahnya tidak setotal aku.

Sepanjang 10 tahun perkahwinan, kami berjauhan. Suami tinggal dengan orang tuanya dan aku jua. Aku tidak risau kerana sekurang kurangnya suami ku terjaga. Pekerjaan yg berlainan menyukarkan urusan perpindahan. Kami berjumpa sebulan sekali. Dan 3 tahun terakhir penikahan, Allah izin kami tinggal bersama. Gembira tidak terkata.

Hidup kami bahagia. Pendapatan bulanan kami memang cukup menampung hidup berdua. Kami ada rumah yg sangat selesa dan kenderaan sendiri untuk kegunaan masing masing. Suami juga ada motosikal berkuasa tinggi yg aku hadiahkan. Cumanya, kami mash tidak dikurniakan zuriat. Semua ikhtiar telah kami lakukan dan akhirnya, kami cuba kaedah IVF. Dan hampanya, tidak berhasil.

Tiada angin dan ribut, hujan melanda. Tiba tiba suami ku menghilangkan diri dan minta berpisah. Keluarga kami juga terkejut kerana selama ini kami tidak ada perselisihan. Bukan tidak ada masalah tapi tidaklah semua perkara itu perlu dikongsikan. Kita bukan selamanya sempurna. Aku ada merisik cerita dari rakan sekerjanya. Khabarnya suami sedang di lamun cinta dengan seorang janda beranak 3. Aku tidak label status janda itu sebagai pengacau rumah tangga, tetapi tetamu tidak akan masuk ke rumah jika tidak ada orang yang membuka pintu. Iya bukan?

Mereka mungkin bijak menyembunyikan kisah mereka sehingga tiada siapa percaya. Aku bukan tidak mahu ambil kisah, tapi aku masih percaya pd suami. Aku tidak perlu percaya pd orang luar kerana aku tahu kebaikan dan keburukan dia selama kami bernikah. Apabila aku bertanya, dia tidak mengaku. Aku hormat suami dan tak mahu bergaduh.  Biarlah, lama lama akan terbukti jua. Aku tidak ada jalan lain untuk berbincang kerana suami tidak mahu berjumpa dan mengugut untuk menceraikan aku di hadapan orang ramai, jika aku mencarinya. Atas nasihat kakak ipar, aku tidak berani bersemuka dengan suami kerana bimbang suami terlafaz talak. Yang aku lakukan adalah menunggu dan berdoa.

Akhirnya, kami bercerai juga tanpa aku rela. Aku merayu pada hakim mahkamah supaya kami tidak bercerai. Hakim mengatakan, penceraian tetap sah walau aku tidak setuju. Talak itu hak suami. Aku tidak boleh terima alasan selamba suami di mahkamah yang kami tidak sehaluan. Aku cuba berbincang secara baik tapi dia seolah olah melarikan diri bila aku ingin bersemuka dan minta penjelasan. Dia menutup pintu perdamaiaan dengan mem ‘block’ aku di semua akaun media sosial dan nombor telefon. Aku punya daya apa?

Aku menjalani tempoh eddah di rumah kami. Mak abah ada mempelawa aku pulang ke kampung. Tapi aku memilih utk tinggal di rumah kami. Lagi pun aku bekerja. Aku cuba berlagak biasa. Cerita penceraian kami tidak dapat di hidu oleh rakan sekerja ku sehinggalah setahun selepas aku berhenti kerja. Aku tidak mahu org menghina sesiapa. Aku kira Allah memberi ujian pada kami. Aku tidak punya ramai kenalan kerana daerah ini adalah tempat tinggal suami. Aku berpindah ke tempat suami selepas permohonan aku untuk berpindah diterima selepas 7 tahun. Suami tidak tahu.

Aku sebenarnya ingin menyambung pelajaran dahulu sebelum kami tinggal bersama. Aku berniat untuk kerja yg lebih selesa selepas menyambung pelajaran selepas penat bekerja syif. Aku mahu bekerja waktu normal 8 pagi hingga 5 petang sama seperti suamiku. Aku bertahan berjauhan dan berkorban kerana mahu lebih kualiti masa bersama akan datang. Segalanya utuh menjadi memori, perkara yg tidak pernah suami aku tahu.

Aku kebingungan apabila suami tidak pulang berhari hari dan meninggalkan aku tanpa pesan. Dia hanya pulang ketika aku pergi bekerja. Dia ada pulang untuk menyiram tanaman pokok bunga kesayangannya yg ada di halaman rumah kami dan membawa baju kotor untuk aku basuh. Kami tidak pernah berpeluang utk berbincang.

Eddah adalah tempoh untuk bertenang dan muhasabah diri. Terkadang ada penyelesaian akan hadir. Bukan sibuk mencari bukti kecurangan dan membuka keaiban masing masing. Serah kan pada Allah untuk menilai. Kita tidak punya kuasa dan daya. Hati manusia dalam genggaman-Nya. Seminggu sebelum, habis tempoh eddah, aku robohkan ego seorang isteri dgn memberi keizinan pd suami utk bernikah jika dengan cara ini aku dpt menyelamatkan rumah tangga kami. Tapi dia menolak. Alasannya masih sama. Kami sudah tidak sehaluan.

Aku pulang ke kampung halaman dan berhenti kerja. Sebenarnya, aku pernah mendapat tawaran bekerja di luar negara dan walaupun suami memberi izin waktu itu, hati ini berat utk berpisah jauh. Allah adalah sebaik baik perancang. 2 bulan selepas habis tempoh eddah, aku mendapat perkhabaran bekas suami ku bernikah dengan wanita yg didesas desus kan selama ini. Ada juga yg memberitahu aku wanita itu hanya ingin menumpang kesenangan kami. Mungkin dia terpesona melihat kelebihan suami ku yg stabil ekonomi nya dan kami bahagia bersama kesana sini.

Wanita itu tidak tahu kami juga pernah bersusah payah sebelum kami hidup begini. Aku pernah bertanya pada wanita itu tentang ‘keinginannya’ bersuamikan suami aku. Jawapan nya sinis, sudah takdir dan dia terima pinangan keluarga suamiku. Wanita itu sempat berkata, takdir ku tidak lah sesedih kisahnya dengan bekas suami dahulu. Ada 3 orang anak yg ditinggalkan. Aku terkedu dan berhenti berdoa. Sudah jelas, dia bukan jodoh aku lagi. Allah telah memberi signal. Hidup mesti diteruskan.

Kisah aku tidak habis. Sewaktu dalam eddah, ada lelaki menawar diri untuk menjadi pengganti suami. Mengubat lara katanya. Aku tidak tahu aku ini sedang di uji atau Allah ingin memberi aku penyelesaian kpd musibah yg melanda. Lelaki ini, A rakan sekerja bekas suami. Dia lah yg memberi info mengenai suamiku. Dari dia aku tahu,  suami ku berhubungan dengan siapa. Mula aku percaya. Tetapi bila dia seakan ingin mengambil kesempatan atas kesempitan ku, aku mula menjauh darinya.

Memang aku akui, A banyak memberi nasihat dan semangat. Aku juga hampir terbuai dengan kata kata manis dan janji janji A. Dia ikhlas akan menikahi dan bersedia menjadi suami yg terbaik selepas suami ku. Hati ku berbunga riang. Secepat ini kah,  Allah mengganti kesedihan?

Ada pengajaran yang Allah mahu aku tahu. Hak dan tanggung jawab isteri di dalam eddah. Kesilapan aku adalah tidak setia. Memang benar aku telah diceraikan dan menanti masa habis eddah, tetapi aku masih hak suami. Walau suami mengabaikan dan tidak mahu rujuk kembali, aku tidak sepatutnya percaya pada lelaki lain. Haram tetap haram.

Cinta aku tulus pd suami apabila aku redha dia menikahiku dahulu. Aku tidak cakap aku kuat dan selalu positif. Aku menangis juga. Hilang keyakinan utk berdepan jiran jiran dan keluarga. Aku rahsiakan dari keluarga sehingga aku sah bercerai. Syaitan dan iblis selalu meniup niat supaya aku berputus harap pada Allah. Dan aku pernah ada niat membunuh diri kerana tiada keyakinan untuk hidup. Sungguh aku malu pada Allah.

Aku menangis bertaubat. Allah benar menguji kebenaran hijrah ku. Hijrah ini kerana menunjuk nunjuk atau kerana Allah. Telah banyak kisah dalam al quran pd umat terdahulu yang kita tidak ambil iktibar. Allah tidak akn berhenti menguji. Allah mahu melihat kesabaran kita bergantung pada Allah saat di uji.

Sewaktu Allah uji aku dengan musibah, aku kira Allah datangkan bahagia dengan kehadiran A. Tetapi tidak. Allah menguji iman ku bertubi tubi. Syaitan selalu menggoda hati manusia supaya jauh dari Allah. Supaya kita terleka dalam galau dan kesedihan yang panjang. Sedangkan Allah menguji kita kerana Allah sayang dan ingat pada kita.

Orang yang baik, tidak akan menceritakan aib orang lain. A bukan lelaki baik. Selama ini, samada benar atau tidak, A mereka cipta cerita supaya aku lebih benci pd suami dan aku tidak terima suami jika dia merujuk semula. Rupanya dia berdendam dengan suami ku. Aku tidak tahu niatnya nanti menikahi ku ikhlas atau benci. Aku bersyukur Allah.

Aku tidak mahu menyalahkan suami yg menghancurkan rumah tangga dan juga wanita itu. Kerana Allah ada perancangan yg terbaik. Mereka akan di balas jika benar benar mereka menganiaya. Tidak perlulah sesak fikiran untuk membalas kejahatan orang pada kita. Aku tidak mahu fikir lagi.

Kita mengaku beriman, beramal baik dan berharap terlepas dari balasan Allah, tapi kita tidak sedar musibah yang terjadi kesan pada dosa lama. Kita mahu dilihat baik, sedangkan hati kita masih kurang bersih. Dosa dan maksiat mengalir tanpa sedar. Musibah bukan alasan untuk berbuat dosa lagi. Biarkan org memperlekeh dan menghina. Ada pahala yang Allah kirim. Ada kebaikan yang kita tidak faham. Mungkin Allah menutup aib kita dengan memberi musibah. Allah memperlihatkan kecurangan dan kelemahan orang untuk ambil iktibar. Dunia hanyalah cerita khayalan semata.

– A Zahirah

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *