Kejahatan Yang Mematikan Orang Sebelum Mati

Assalammualaikum wbt

Pertamanya aku ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan kepada semua umat Islam.

Aku tergerak untuk menulis perkongsian ini selepas terbaca confession mengenai si L dalam confession Musang Berbulu ayam. Cerita yang akan aku tulis ini mengenai arwah abang aku. Ya, arwah abang aku yang meninggal ketika umur masih 20an. Sudah 10 tahun pemergian arwah, semoga arwah tenang disana.

Aku perkenalkan dulu sedikit sebanyak latar belakang abang aku yang kita boleh panggil sebagai A. Keluarga aku ini ramai anak lelaki dan semuanya jenis kasar sikit. Tak pandai berbahasa lembut. Tapi dalam 8 orang adik beradik lelaki aku si A ni satu-satunya anak lelaki yang agak lembut sikit. Dia bukan pondan tapi gaya dia agak lembut. Aku pun tak tahu kenapa dia jadi macam tu, abang dan adik-adiknya tak pula lembut macam dia, tapi selepas meningkat dewasa ni aku sedar itulah kekuasaan Allah dalam menciptakan keunikan pelbagai jenis manusia. Si A ni pula antara orang yang paling banyak mulut dalam keluarga aku, tak macam aku dan adik beradik lain lah sepatah tanya sepatah jawab, biasalah tak reti masa tu. Kalau pergi ziarah rumah sanak saudara si A ni lah yang saudara-saudara akan ingat lebih, macam aku ni selalu je orang tertukar dengan adik-adik aku yang lain. Biasalah orang tak menonjol huhu…

Aku nak ceritakan yang si A ni seorang yang ramah dan ramai kawan. Waktu sekolah dulu pun cikgu-cikgu ramai kenal dia. Sehinggalah Allah uji dia dengan penyakit yang mengubah dirinya hampir 100%. Dia dijangkiti HIV. Mak aku cerita waktu mula-mula A disahkan sebagai positif HIV adalah ketika dia buat medical checkup untuk sambung degree. Tapi dia rahsiakan keputusan ini dari keluarga dan pendam sorang-sorang sehinggalah virus HIV ni mengganas dan menyerang paru-paru dan mata si A.

Dia terus dimasukkan ke hospital wad ICU. Aku pun dah tak ingat sangat kronologi waktu tu. Yang aku ingat aku ambil cuti seminggu untuk jaga A di hospital. Waktu aku jaga dia, A dah dikeluarkan dari ICU dan di masukkan ke wad yang sudah stabil. Cuma disebabkan badan dia yang lemah, kurus sangat sebab tak sedarkan diri selama seminggu aku jaga untuk suapkan makanan dan uruskan kebersihan diri dia di hospital. Seminggu aku bermalam di hospital. Aku pun tak dapat berborak sangat dengan A waktu tu sebab dia lemah. Tapi alhamdulillah selepas seminggu tempoh aku jaga tu dia dah mampu bangun dari katil dan bercakap sedikit sebanyak. Waktu itu aku pun tak faham dia sakit apa tapi aku faham yang dia sakit kritikal sahaja.

Sehinggalah Ayah aku bagitahu sendiri pada aku yang A kena HIV. Terkejut aku, dalam kepala aku macam-macam persoalan timbul. Aku yang naif waktu tu berfikir, A tak hisap dadah, dia kena jangkitan dengan kawan-kawan dia ke? Waktu itu persoalan tu tergantung tanpa jawapan yang jelas. Aku pun tak tanya A secara terus sebab adik beradik kami ni tak pandai nak slow talk sesama sendiri terutamanya nak berborak hal sensitif macam ni. Yang aku diberitahu waktu itu A dijangkiti HIV ketika pengajian diploma.

Disebabkan kondisi A semakin pulih dengan pengambilan Ubat hospital, aku tak ambil pusing sangat nak gali kisah A. Kondisi dia bertambah baik sehingga dia boleh memandu kereta sendiri selepas keluar dari wad. Aku balik kampus dan sambung pengajian dan dalam kepala aku kesihatan A semakin baik, paling kurang boleh ceria macam dulu.

Tetapi kadang-kadang realiti lebih kejam dari apa yang kita jangkakan. A mula menghadapi depressi dan berputus asa dengan hidup sendiri, hidupnya hanya di rumah dan tidak mahu keluar berjumpa orang ramai malah sepupu yang rapat dengan dia sendiri. A mula culas ambil ubat hospital, dia malu nak berjumpa orang ramai bila perlu ambil ubat di KK disebabkan ada kawan-kawan sekolahnya yang bertugas sebagai pegawai kesihatan di KK. Aku terdengar juga kisah dari Ibu aku yang ada doktor macam secara tak sengaja menyebut sakit HIV didepan orang ramai ketika konsultasi dengan dia, dan dia malu sangat. Tambahan kegopohan A ingin sembuh cepat dia mula mencari ubat lain untuk penyakitnya, sehingga tinggalkan ubat yang hospital bekalkan untuk dia. Ibu Ayah aku pula yang inginkan rawatan terbaik untuk anaknya cuba cari ubat alternatif untuk melawan sakit HIV. Bagi aku semua ubat alternatif untuk HIV adalah scam. Selepas setahun kondisi A yang semakin pulih dengan rawatan ART, dia tinggalkan rawatan tu dan mula consume ubat alternatif. Lama-lama badan A semakin melemah dan jatuh sakit teruk sehinggalah A dimasukkan kedalam wad ICU kali ke 2. Jarak waktunya dalam 2 tahun lebih dengan kali pertama masuk ICU. Dan waktu itulah kali terakhir aku melihat dia menghembuskan nafas akhir selepas hampir sebulan di hospital. Doktor sahkan dia menghidap penyakit AIDS dan terkena penyakit autoimune. Ibu dan Ayah aku pun sudah redha selepas menyaksikan sendiri anaknya bertarung dengan HIV selama hampir 4 tahun. Tempoh yang lama untuk pulih menyebabkan dia berputus asa sehingga pernah disebut oleh A kepada ibu aku yang setiap malam dia bangun dan berdoa kepada Allah supaya matikan dia cepat dan dia dapat mati sebelum Ibu Ayah aku, disebabkan dia tak mahu adik beradik dia terbeban disebabkan dia.

Virus HIV telah merampas semua kehidupan A. Bukan sahaja kesihatan badan tetapi kesihatan mental. A yang dulu seorang sangat confident dengan orang ramai dan banyak bercakap mula menjadi pendiam dan menghadapi tekanan mental seorang diri. Tempoh menghabiskan masa seorang diri akhirnya memakan dirinya. Aku faham apa yang dihadapi oleh si L dalam confession lepas, malu kepada masyarakat dan hilang keyakinan diri. Selepas A meninggal baru aku tahu kisah sebenar dari mana datangnya penyakit A. Aku pun tak tahu lah nak marah ke tak Ibu Ayah aku sebab berahsia dengan anak-anak sendiri tentang penyakit A. A dijangkiti HIV sejak sekolah menenggah, macam mana Ibu Ayah aku tahu? Disebabkan salah seorang mak sedara aku adalah seorang doktor, dia bagitahu Ibu aku yang kondisi A waktu first warded itu menunjukkan HIV ni paling kurang dah hampir 5 tahun di badannya. Bukan baru setahun dua. Jadi bila Ibu aku gasak A, A ceritakan kepada Ibu Ayah aku sebenarnya waktu sekolah menenggah dia pernah diliwat oleh senior di asrama sekolah. Orang yang meliwatnya ada 3 orang, sorang pegang kaki sorang pegang tangan sorang liwat. Nak dijadikan cerita orang yang liwat dia ada HIV tetapi masih hidup sampai sekarang. Bila gali kisah individu ini rupanya ada kisah-kisah diceritakan di sekolah A yang budak-budak nakal ni pernah langgan pelacur waktu di sekolah menenggah lagi. A pula sangat malu nak menceritakan peristiwa ini kepada sesiapa. Termasuk Ibu Ayah aku. Jadi dia telan sahaja apa yang terjadi kepada dia.

Waktu aku tahu kisah ini aku sedih sangat. Kau bayangkan, kau tak buat apa-apa yang salah pun tetapi disebabkan kejahatan orang lain kau yang menderita seumur hidup. Disebabkan masyarakt selalu pandang serong tentang HIV ni, ramai orang yang ambil tindakan seperti L dan A. Putuskan semua hubungan dengan orang sekeliling dan kalau boleh nak hilangkan diri dari bumi ini. Disebabkan Masyarakat pandang penghidap HIV sebagai zero future dan memandang sebagai orang yang patut dikuarantinkan jauh-jauh dari masyarakat, takut nanti terjangkit. Orang yang tak bersalah seperti L dan A mati sebelum mati. Aku menulis ni pun beberapa kali menitis air mata bila mengenangkan kisah A dan L, sampai aku terpaksa taip sorok-sorok dari isteri aku sebab taknak dia tanya.

Kesimpulan dan pengajaran dari kisah aku ni aku letak 3.

1. Jika kau ada adik beradik yang lembut atau ada kawan yang lembut atau ada anak-anak yang lembut kau lindungilah mereka dari pemangsa yang menyamar sebagai lelaki normal ni. Aku pun dulu sekolah berasrama penuh juga, dan memang ada spesis senior yang terlebih miang dan mungkin gila porno pergi cabul dan raba budak-budak junior tengah tidur. Waktu aku form 1 pun pernah kena raba, waktu tu aku hanya dapat lari je sebab badan pun kecil tak baligh lagi. Aku pun tak anggap benda ni kritikal gila. Sekadar guraun lelaki. Bergurau boleh tetapi sedarlah ada spesis orang gila yang menjadikan orang lain sebagai lempias nafsunya.Terutamanya yang jenis lembut-lembut inilah target mereka. Jangan bagi peluang kepada orang gila ni buat tindakan sesuka hati. Kalau dengar perilaku mereka terus minta report kepada pihak berkuasa, warden ke polis ke. Ini bukan soal aib dah ni, ini soal jenayah. Jangan ada mindset victim blaming. Diorang yang lembut ni tak buat salah, yang buat salah orang yang gila seks tu, kenapa mangsa kena malu dan telan pula? Biarkan orang gila ini dibuang jauh-jauh dari masyarakat dan mendapat rawatan yang sepatutnya.
2. Tak semua orang kena HIV kerana kesilapan songsang mereka, tetapi ada yang kena HIV kerana perbuatan jahat orang lain kepada mereka. Kalau ada kawan atau keluarga kau yang menghidap HIV jangan sesekali pandang serong kepada mereka dan bagilah sokongan moral kepada mereka. Jangan jadi macam aku, sampai sekarang aku menyesal tak dapat selamatkan kesihatan mental A. Kalau mereka culas atau malu buatlah penerangan kepada mereka yang ubat antiretroviral theraphy (ART) di hospital tu insyallah boleh menyebabkan virus HIV tidak aktif dan tidak mudah berjangkit. Walaupun tak boleh hilangkan 100% tetapi inilah rawatan yang paling berkesan untuk lawan HIV. Jangan kau termakan dengan ubat alternatif yang menjadikan orang Brunei sebagai testimoni sehingga meninggalkan ART. Semuanya penipu dan scam.
3. Walaupun adik beradik kau lelaki jangan ingat mereka ni kuat seperti superman. Aku bila mengenang kisah A ni, memang ada waktu dia berubah yang dia tak boleh tidur sekatil dengan adik beradik lelaki yang lain. Waktu tu aku yang balik dari asrama pergi landing atas katil dia, terus makan penyepak sehingga jatuh katil. Bila ingat balik mungkin itulah waktu dia tengah trauma kena liwat di asrama. Selalu lah bertanya khabar hal-hal yang sensitif berkaitan kebajikan mereka jika ada nampak perubahan. Aku pun sekarang dah mula belajar untuk slow talk dengan adik-adik aku tentang situasi mereka disekolah. Aku akan tanya macam mana belajar? Ada orang raba kau tak? Ada yang buat benda pelik kat kau tak? Aku ajar sentuhan selamat dengan sentuhan tak selamat. Aku bagitahu tentang softporn, porn dan grooming. Aku takut peristiwa yang terjadi kepada A berulang lagi. Aku nak jaga family aku betul-betul sekarang ni termasuk anak-anak aku. Aku sangat merasakan Pornografi merosakkan masyarakat.

– Haris (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

2 Comments

  1. ya Allah.. angkatlah darjat arwah abgmu dunia dan akhirat.. atas kejahatan orang lain.. yang tak bersalah jadi mangsa.. harap ada undang2 baru untuk masalah macam ni..

  2. Ya Allah, saya menangis baca cerita awak ni..Allahuakhbar..
    Semoga abang awak diangkat darjatnya, sesungguhnya dunia ni kejam. Dan semoga yang buat abang awak dilaknat oleh Allah swt.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *