Assalammualaikum.. Pertama kali menulis disini. Semoga cerita hidup aku dapat membuka mata dan memberi pengajaran kepada para isteri yang senasib dengan ku.
Aku telah berkahwin selama 8 tahun dan dikurniakan 2 orang anak. Namun, seorang anak telah meninggal dunia dan kini hanya tinggal seorang anak yang masih hidup.
Pada awal perkhawinan suami terlihat sangat baik, penyayang dan tidak nampak sebarang cacat cela. Namun, segala galanya berubah apabila satu persatu Allah tunjukkan sikap suami yang sebenarnya.
Awal perkahwinan lagi, terbongkar yang dia berhutang dengan company sebanyak RM35K . Dan bermula lah 5 tahun pertama kebanyakan duit gaji nya memang habis bayar ke hutang dan urusan kereta yang sentiasa rosak dan bermasalah setiap bulan.
Pada waktu itu, aku tak kisah, aku tetap setia dan masih bersama susah senang dengan suami. Aku sayang dia bagi semangat sehinggalah hutang nya selesai.
Masuk tahun keempat perkhawinan, terbongkar lagi selama ni rupanya dia adalah perokok tegar.
Aku tangkap dia tengah sedap hisap rokok berbatang batang dalam tandas sewaktu mandi nak pergi kerja. Aku sangat marah dan kecewa sebab waktu tu rasa bodoh sangat percaya bulat-bulat.
Sejak pada waktu tu sudah hilang senyuman di wajah. Aku memang tak suka lelaki perokok dan suami memang tahu semasa berkawan lagi aku dah tanya, seorang perokok atau tidak. Dengan tegasnya dia kata tak. Bodohnya aku sebab percaya.
Aku cuba suruh dia berhenti namun tak berjaya. Katanya tak boleh tak merokok nanti tak fokus kerja. Aku hanya mampu diamkan aja.
Masuk tahun ke enam perkahwinan terbongkar lagi rahsia besar yang suami simpan kemas selama ni. Suami aku juga seorang penghisap ganja.
Aku jumpa botol tempat hisap ganja semasa mengemas rumah. Mengucap panjang aku waktu tu. Dia balik kerja, aku terus tanya dia benda tu siapa punya. Eh tak mengaku ye. Dia boleh kata kawan punya dengan tergagap gagap nya.
Waktu tu aku memang cakap kat dia depan depan. Yang aku dah tawar hati dengan dia. Aku cakap jangan kau persoalkan esok lusa kenapa aku layan kau tak sama macam dulu. Aku jadi macam ni disebabkan sikap kau sendiri.
Aku bertahan sebabkan anak tengah sakit je. Dan tak boleh rentas negeri. Kalau kau masih ada iman dan betul sayangkan aku dengan anak anak, berubahlah. Itu je aku cakap.
Alangkah remuknya hati aku. Aku sangat kecewa. Patut lah sedikit demi sedikit mula nampak panas baran suami.
Bila stress kerja, dia bawak balik rumah. Bila ada masalah dengan customernya, akan tengking, herdik mencarut dalam telefon. Anak-anak dan isteri dengar dan tengok dia buat tak kisah je.
Kadang sampai tumbuk pintu. Baling kerusi sampai patah. Aku dari seorang yang bukan pemarah, jadi terkesan dengan kelakuan dia dan mula jadi macam dia setiap kali berlaku pertengkaran.
Sewaktu kantoi, adalah waktu mula mula PKP. Aku tak dapat pulang ke kampung Sabah- Melaka. Tidak boleh merentas negeri waktu lagi.
Lagi menguji keimanan dan kesabaran aku apabila anak pertama aku disahkan menghidap kanser tahap 4. Arwah memerlukan rawatan berkala yang kerap di hospital. Jadi aku mohon doa hari-hari, Ya Allah kuatkan aku, aku bertahan hanya sebab anak.
Arwah anak paling perlukan perhatian dan penjagaan rapi pada waktu itu. Aku tolak tepi soal diri aku. Dan aku fokus jaga anak sebaik baiknya. Namun, jujur hati memang dah tawar setawarnya.
Ditakdirkan tahun lepas anak aku akhirnya pergi menghadap Ilahi. Hanya Allah memahami bertapa terkesannya aku apabila kehilangan arwah. Dia lah yang ada waktu aku sedih.
Arwah lah yang banyak buat aku jadi kuat untuk teruskan hidup setiap hari. Rasa bersalah aku pada arwah sangat tebal, sebab dia dilahirkan dalam keadaan keluarga toxic macam ni.
Aku tengok arwah lawan sakit dia dengan senyuman manis, aku ambil sedikit semangat dia bila sampai waktu aku rasa down.
Sampai aku di diagnosed PTSD (post traumatic stress disorder) with MDD (major depression disorder) kerana pernah attempt suicide beberapa kali. Masih dalam pantauan doktor.
Namun, dengan apa yang telah terjadi, suami tetap tak tunjukkan sebarang niat untuk berubah. Masih tetap merokok. Siap tukar tukar pula hisap vape.
Masih tetap hisap ganja. Dia ambil ganja tak pernah dalam rumah. Aku memang x bagi. Dia pergi rumah kawan dia. Tapi ada waktu bungkusan serbuk tu dia letak merata je.
Aku bengang sangat. Aku dh cakap beribu kali. Jangan letak merata. Even rokok sekalipun. Aku cukup trigger sebab itu benda aku paling benci.
Ayah aku pun tak merokok. Aku sebolehnya tak nak anak aku nampak benda macam tu. Panas baran tetap ada tak tentu pasal.
Setiap kali dia tinggikan suara badan aku menggigil, tangan menggeletar, susah nak bernafas. Ada waktu aku tak dapat nak berdiri,kaki aku lemah.
Aku menderita mental dan emosi. Kemuncaknya apabila suami tergamak ambil benda tu diwaktu kubur anak masih merah tanahnya.
Paling aku kecewa dia ambil barang tu dalam bilik di rumah mak abah aku. Aku terjumpa lagi botol jijik tu. Waktu ni memang aku tak larat nak marah. Aku masih terlalu sedih anak aku dah takda. Aku dah penat.
Penceraian tidak pernah terlintas dalam fikiran aku. Tujuan utama aku berkahwin adalah ingin dapatkan kebahagiaan dan kasih sayang dari seorang lelaki bernama suami. Kenapa perlu menipu dalam perkahwinan. Kenapa tidak jujur.
Aku hanya inginkan suami yang boleh faham soal agama, yang boleh bimbing aku untuk jadi isteri yang lebih baik. Tetapi apa yang aku dapat adalah sebaliknya. Aku tetap terima ini adalah takdir hidup yang memang dah tertulis.
Zaman kanak kanak aku tidak lah indah. Aku hanya banyak kenangan yang buruk dari kenangan yang baik. Aku banyak didera sewaktu kecil yang pada waktu itu aku anggap itu adalah salah satu cara untuk mendidik tapi hakikatnya aku salah. Bila dah dewasa baru aku faham.
Aku pernah ditumbuk, disepak, diterajang. Pernah dipukul dengan pili paip. Pernah dikurung di dalam reban. Pernah dilibas dengan besi halus sampai demam.
Pernah dibaling parang oleh ayah, nasib baik tak kena. Dan macam macam lagi yang tak sanggup aku ceritakan. Syukur Allah masih panjangkan umur sampai ke harini. Alhamdulillah.
Jadinya jangan pukul rata, perceraian ni adalah perkara terakhir pilihan seorang isteri sekiranya pelbagai cara telah dibuat namun tak berhasil malah makin teruk.
Takda siapa yang dapat ubah diri kita melainkan diri sendiri. Kata sayang, tapi usaha nak berubah memang takda. Buat apa aku nak bertahan lagi.
Disebabkan fikirkan anak lah, keputusan ini dibuat. Aku tak nak anak membesarkan dalam keluarga yang sebegini. Trauma yang aku ada ni mungkin makan masa untuk sembuh. Aku jadi fobia untuk berkahwin.
Andai ditakdirkan selepas bercerai ini,aku akan jadi ibu tunggal hingga akhir hayat aku terima dengan gembira. Aku taknak dah tambah dosa. Aku nk bahagia je. Nak hidup tanpa hadap hari hari yang memenatkan mental dan emosi.
Untuk berkahwin lagi pun rasanya mungkin sukar. Siapa saja nak terima janda anak 1 yang sakit mental macam ni kn. Hehe.
Doakan aku semoga urusan aku Allah permudahkan. Banyak dah Allah bantu mudahkan setiap urusan aku setiap kali diuji. Allah Maha Baik. Moga kalini pun semuanya berjalan dengan lancar dan baik.
Pada yang senasib dengan aku, jangan tunggu lagi. Bertindaklah kejar kebahagiaan awak, kuatkan hati jangan termakan lagi pujuk rayu si dia.
Dengan berkat 10 terakhir Ramadhan ni sudah banyak aku luahkan pada Dia. Percayalah Allah tak pernah sekalipun tinggalkan awak.
Dekatkan diri dengan Allah. Perbaiki diri awak setiap hari di mata Allah. Minta doa Allah bagi petunjuk dan jalan.Allah Maha Mendengar setiap doa hambaNya yang teraniaya. Dia tidak tidur.
Moga korang juga akan dapat bahagia yang korang inginkan.. aamiin.
– Zahra (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit