Kekalkan Momentum Bahagia Bersama Teman Serumah

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semuanya.

Terima kasih tuan admin atas kebenaran menyiarkan kisah saya ini. Harapnya bermanfaat buat saya, anda dan kita semua.

Kebanyakan daripada kita pastinya telah merasai atau sedang merasai kehidupan berkongsi rumah bersama orang lain kan? Pelbagai suka duka, onak duri dan cabaran yang ditempuhi secara bersama. Amboi amboi, hiperbola. Tipulah kalau semua indah-indah dan manis-manis saja kan. Sebab kita hidup dengan manusia. Dan kita pun manusia juga. Manusia itu sifatnya pelbagai. Macam-macam ragam. Macam –macam kerenah. Macam-macam ada.

Jadi, berbalik kepada tajuk di atas. Bagaimana agaknya nak mencapai bahagia dalam kehidupan bersama teman serumah yang masing-masing mempunyai latar belakang yang berbeza? Ini bukanlah sesi luahan sebenarnya, lebih kepada perkongsian daripada pemerhatian, perbincangan, luahan dan pengalaman sendiri serta orang lain. Saya pun tengah muhasabah untuk berubah dan perbaiki diri demi mencapai bahagia bersama dengan teman serumah. Nak kebaikan ni ada banyak benda kena korban termasuklah korbankan perasaan yang menggunung. Huhu.

Ok, ni antara perkara yang kita nak tak nak, kita kena cuba usahakan sebaik mungkin:

1. Kemas rumah
Bab ni sangat penting. Semua orang gunakan bahagian-bahagian dalam rumah. Jadi, semua kenalah bekerjasama ambil peranan masing-masing. Tak suruh buat hari-hari. Mungkin tak berkesempatan kan sebab sibuk dengan belajar, kalau yang bekerja dengan kerja-kerja yang tak pernah habis lagi. Bila nak buat kalau macam tu? Buatlah pada hujung minggu. Hujung minggu ni la lapang sikit. Jadi, seronoknya lahai kalau A sapu ruang tamu, B kemas dapur, C mop lantai, D cuci bilik air, E buang sampah, dan F sapu sawang sambil nyanyi lagu Jomblo Happy. Buang kejap malas-malas yang lama bersarang tu. Dah dah la malas tu, bagi la aura rajin pulak menguasai. Kita semakin meningkat usia kan. Berubahlah perlahan-lahan sebab berubah ke arah kebaikan itu bukan satu jenayah. Eh! Kesedaran ni semua orang patut ada. Benda macam ni bagi setengah orang mungkin tak biasa dan berasa janggal. Ya, saya takkan sesekali salahkan apatah lagi menghakimi. Tapi, bila benda-benda tak biasa ni jadi rutin, kita akan terbiasa dan buat dengan rela. Mula-mula, kenalah paksa sikit. Kalau taknak buat semua ni, dok sorang-sorang ataupun upah orang gaji. Amboi, kaya benor la engko yop.

2. Masak
Kalau hangpa jenis kongsi duit makan bersama, maka amatlah disarankan agar membuat jadual giliran memasak. Bukan apa, kalau aci redah siapa sempat dia masak, maka akan terjadi kes-kes seperti si A ja yang masak sepanjang tahun atau sepanjang hidup bersama kalian. Sadisnyaa!! Yelah, nak makan kan. Tak masak, tak makan pulak nanti. Nak masak untuk sorang-sorang tak sampai hati sebab duit dah kongsi. Jadi, makan jela hati berulam jantung sambil nangis tepi peti ais malam-malam mengenangkan perkara ini. Kes masak ni tak boleh dibuat main tau. Boleh buat gaduh dan masam muka lagi-lagi perempuan kan. Melainkan kalau si A yang tawarkan diri sepanjang dia berada di rumah tu dia sudi menjadi chef. Wah wah, bahagia hidup oii kalau lagu tu. Kalau tiada yang tawarkan makanya buatlah jadual giliran memasak. Semua orang penat, semua orang ada tugasan tersendiri. Jadi kalau ada giliran, masing-masing akan rasa. Baru la adil kan? Melainkan korang sudi upah orang gaji. Ah, duit lagi…

3. Pinjam/ Guna barang
Nak pinjam barang orang ni yang pertamanya mesti dapatkan keizinan daripada pemilik. Jangan suka hati ceroboh hak orang lain. Tak baik. Nanti dikhuatiri menjadi kelaziman dan mendarah daging dalam diri. Huhu. Oh, tidak!! Dah dapat keizinan, pastikan barang yang dipinjam, dijaga dengan baik dan dipulangkan semula dengan segera selepas guna dan dalam keadaan baik. Janganlah sampai pinjam bertahun-tahun, dekat nak pindah baru pulangkan. Pemilik pun dah lupa. Ada kes, pinjam barang orang sampai pemilik minta semula, dia boleh cakap “Oh, ada pinjam ke? Kejap kejap. Nanti aku cari eh. Ko tenang-tenang dulu”. Sampai sudah dia suruh bertenang. Tup-tup dia bagi pinjam dekat orang lain. Huhu. Haru biru kalau macam tu. Satu lagi dalam bab ni, nak guna kereta atau motosikal kawan contohnya. Pergi bilik, ketuk-ketuk dulu cakap nak pinjam kereta kejap. Janganlah nampak kunci atas meja terus ambil dan pandu dengan gembiranya. Tak syok guna benda orang tanpa pengetahuan pemilik, tak kisah la dia bff till Jannah sekalipun. Banyak lagi sebenarnya perihal pinjam dan guna barang ni. Tapi, banyak pulak kalau nak cerita dalam ni. Korang tambah-tambah la nanti na.

4. Jangan cerita masalah pada orang lain.
Tolong dan tolong sangat sangat. Jangan la sesuka hati ceritakan permasalahan yang berlaku bersama teman-teman serumah kita kepada orang sebarangan. Contohnya, sok sek sok sek dengan rakan sekerja “Eh, ko nak tahu Jah, tak tahan la aku ni dengan B tu. Dia tu harap muka saja lawa tapi baju pakai 10 kali tak basuh bla la bla. Kawan sebelah tu pun tambah-tambah perisa. Terjadilah anyam ketupat lepas tu (baca: mengumpat). Mengumpat ni tidak akan terjadi kalau tiada yang bercerita, tiada yang mendengar dan tiada yang menambah. Daripada elok-elok orang lain tu berbaik dengan ‘housemates’ kita tu terus ada pandangan yang kurang enak pada mereka. Walhal orang lain tu tidak tahu menahu pun perkara yang sebenar-benarnya yang berlaku. Satu lagi, tak payah la semua hal yang terjadi dalam rumah nak di up statusnya dalam Facebook/WeChat/Instagram/Tweeter dan lain-lain. Lepas tu orang tanya kenapa, dia jawab takda apa-apa, saja ja ni boring-boring. Huhu.

5. Bersua-muka dan berbincang
Sekiranya ada yang bersarang dalam hati tu, yelah hati tu kan sifatnya berbolak balik, iman kita turun naik. Ada terkadang kita terasa hati, ada hari kita tak puas hati. Ingatlah bukan kita saja, boleh jadi di pihak yang sana juga berasa perkara yang sama. Apa nak buat? Diamkan? Sampai bila? Jadi eloknya, jumpa depan-depan dengan teman serumah. Cakap dari hati ke hati. Bincang elok-elok, jangan terus simbah minyak petrol pada api yang sedang marak. Seorang tengah berapi, seorang lagi perlu bersiap sedia dengan bergelen-gelen air untuk simbah supaya cepat padam. Sebab boleh jadi dalam perlakuan ada benda yang kita tak sedar, ada yang terlepas pandang. Benda yang silap perlu diperbetul. Sebab dengan silap kita akan belajar baik-baik. Sentiasa biasakan dengan amalan tegur dan perbaiki diri. Masing-masing kena sediakan hati yang terbuka dalam menerima dan kena matang. Dah besarkan? Kita sedang jadi atau bakal jadi ibu ayah yang bakal didik anak-anak dengan akhlak yang baik kan? Jadi role model anak-anak harus menyantuni sikap terpuji terlebih dahulu, barulah membuahkan hasil yang terbaik kelak.

6. Doa
Ujian itu datang dalam pelbagai bentuk dan rupa. Tanda kasih sayang dan didikan daripada Allah. Kadang-kadang masalah bukan senang-senang sahaja boleh selesai macam yang kita fikir. Justeru, banyakkan mengadu, merintih mohon doa pada Allah. Mohon dimudahkan segala yang sulit, dipertautkan hubungan yang kian jauh dan dikurniakan kesabaran yang tinggi serta kekuatan mengharungi ujian.

Itu sahaja ceritanya. Banyak lagi aspek yang boleh buat kita bahagia bersama-sama teman-teman serumah. Korang kongsi-kongsilah benda-benda baik, nanti boleh amalkan sama-sama. Moga dapat dijadikan panduan. Tak dapat buat semua pun jangan tinggal semua. Buat sikit-sikit asalkan berterusan. Kena ingat dalam mencapai bahagia ni bukan mudah tapi tidak mustahil. Renung-renungkan dan selamat beramal. Moga berbahagia kelak bersama-sama teman serumah. Mungkin bukan hari ini, tetapi esok atau hari selepas esok dan esok. Dalam usaha jangan putus asa ya.

Sekian, terima kasih semua.

-ATiq –

– ATiq

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit