Kelam

Assalamualaikum semua. Sekadar luahan yang terpendam di sudut hati yang paling dalam. Tujuan aku bercerita bukan untuk mengaibkan diri sendiri atau sesiapa.

Aku dilahirkan dalam keluarga yang sederhana. Pernah melalui kisah hitam dic4bul semasa aku berusia 6 tahun. Orang itu adalah darah daging aku sendiri.

Walau pernah dic4bul, zaman kanak-kanak aku sangat indah dan ceria serta mempunyai ramai kawan semasa kecil. Tengah budak lagi, mana nak tau memori ni akan aku bawa seumur hidup aku. Aku juga ada habit suka mengigit kuku masa kecik-kecik dulu.

Apabila remaja aku mengalami perasaan yang amat membingungkan, tiba-tiba aku menjadi seorang yang pendiam, rendah diri dan penakut. Bila bercakap dengan orang, aku jadi takut dan mengigil nada suara aku.

Jantung aku berdebar-debar, muka aku berpeluh-peluh, tekak aku tiba-tiba gatal nak terbatuk, senyuman aku tak keruan, teruk betul, sedih sangat kenapa tiba-tiba aku jadi macam ni.

Aku tak yakin nak bercakap dengan orang, hanya dengan orang yang aku baru kenali saja aku bersikap begini, dengan orang yang aku dah lama kenal aku ok berbual, tiada masalah.

Bila berpindah sekolah menengah, keadaan makin teruk, memang bertambah pendiam la aku, suasana baru, kawan baru, persekitaran baru,

Dari orang minat nak berkawan dengan aku sampailah diaorang pulaukan aku, sebab nampak aku ni macam pelik, pendiam sangat dan nampak takut-takut, 2 tahun bersekolah, 2 tahun aku dibuli.

Sampai sekarang masih terasa perasaan sakit dibuli dan kesal bersarang di hati, sampai sekarang aku teringat perbuatan diaorang tu, nama diaorang pun aku ingat lagi, aku ni pelupa orangnya,

Tapi bila ada yang bawa kesan di hati sampai mati aku ingat. Walau aku dah maafkan namun aku tidak lupa ya.

Aku tak kuat nak lawan diaorang, aku lemah, aku penakut, dan yang membuli pun makin seronok. Pernah cuba melawan tapi tak berdaya.

Bila keadaan makin teruk, aku mula ada habit baru iaitu mencabut rambut sampai botak tengah kepala aku. Aku rasa lega dapat cabut rambut satu persatu. Aku juga mula pandai ber0n4n1 bila rasa sunyi dan keseorangan.

Masa tu nak pergi sekolah pun rasa tak seronok. Zaman sekolah orang lain indah, tapi aku rasa pahit. Aku cemburu dengan orang yang punya kenangan indah zaman sekolah.

Oh ya, aku ada cerita masalah aku dekat mak aku, tapi mak aku macam tak faham. Ayah aku pulak garang dan bengis.

Ayah aku juga suka maki hamun ya, boleh dikatakan hari-hari dia akan mengamuk dan aku akan dipukul pakej makian sekali kalau ada buat salah.

Jadi untuk mengelakkan aku dipukul/ dimaki, aku tak berani nak buat salah depan dia. Sebab ayah aku tak boleh tengok aku buat salah langsung.

Kesannya, bila aku dah kerja. Aku sangat takut dimarahi bos atau orang lain, kalau aku ada terbuat salah, mulala aku jadi takut dan tak tentu arah.

Tapi boss aku baik, buat salah, elok-elok saja dia cakap dan akan ajar aku balik, sebab aku cepat lupa. Dia pernah tengok aku bercakap dalam telefon dengan staf lain, dia perasaan suara aku macam takut-takut.

Dia nasihatkan aku cakap dengan yakin, jangan takut-takut, kena berani. Dari situ aku sedar, pembawakan diri aku dekat dunia luar sangat tak menyakinkan.

Adakah kisah kelam masa aku kecil, ada habit yang bukan-bukan, kena buli atau sikap garang ayah aku yang menyebabkan aku jadi macam ni? Saling berkait ke semua tu atas perwatakan aku?

Atau perubahan hormon? Atau mental aku memang problem? Atau gangguan emosi?

Lama aku pendam dan tahan perasaan ni, semua orang pun tak tau, aku tak nak luah depan orang, sebab banyak aib dan kelemahan aku.

Oh ya sebelum aku tamatkan cerita, aku berjaya buang habit yang bukan-bukan tu, cuma tabiat cabut rambut saja aku masih gagal lagi.

Sekarang aku sedang berusaha buang perasaan takut dan rendah diri melampau tu, doakan aku ya kawan-kawan, aku nak jadi berani dan yakin diri.

Maafkan aku jika luahan hati aku ini menganggu perasaan kalian. Terima kasih.

Yang benar,

– Kelam (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *