Kelebihan Berkahwin Awal

Perkahwinan pada usia muda dapat mendidik pasangan menjadi kental dalam menghadapi sebarang masalah.

Pasangan muda biasanya akan bangkit dari bawah, iaitu dari keadaan serba kekurangan kepada situasi kedua-duanya saling memahami kekurangan masing-masing.

Akhirnya, setiap masalah yang dihadapi dapat ditangani bersama.

Misalnya, jika pasangan muda yang baru mendirikan rumah tangga menghadapi masalah kewangan, maka kedua-dua pasangan ini pasti akan mencari jalan penyelesaian dengan cara tersendiri.

Situasi inilah yang menjadikan kedua-dua pasangan bijak dan cepat bertindak.

Tidak keterlaluan dikatakan pasangan yang berkahwin pada usia muda, pemikirannya lebih matang berbanding rakan-rakannya yang masih belum berumah tangga.

Jelaslah aspek kematangan tidak 100% terletak kepada usia seseorang.

Apabila mula memegang tanggungjawab, pasti kita akan sentiasa bermuhasabah, mencari kekurangan diri dan memperbaikinya.

Realiti kehidupan sebelum dan selepas berkahwin adalah berbeza. Apapun, semuanya terpulang kepada pasangan itu sendiri.

Perkahwinan pada usia muda juga mempunyai banyak kebaikannya dari sudut keturunan dan ekonomi.

Bagi pasangan yang berkahwin pada usia muda akan memperoleh zuriat dalam usia muda juga.

Apabila usia semakin bertambah, anak-anak pula semakin membesar seterusnya dapat meringankan bebanan hari tua kelak.

Tumbesaran anak-anak memerlukan wang yang mencukupi untuk memenuhi semua keperluan dan kehendak. Sekurang-kurangnya ketika itu, tenaga masih kuat serta ekonomi sudah kukuh.

Malah pada usia yang masih muda, pasangan suami isteri sudah mula memikirkan masa depan dan hala tuju kehidupan berkeluarga.

Ini menjadikan pasangan muda yang berkahwin awal sentiasa beringat dan mempunyai jati diri serta wawasan hidup.

Namun, ada juga segelintir kelompok yang menolak berkahwin awal dengan alasan masih tidak puas seronok.

Sedarlah, keseronokan hakiki adalah yang dapat meraih keredhaan Allah dan yang mendatangkan ganjaran pahala kepada kita.

Keseronokan yang sebenarnya juga adalah apabila semua yang kita lakukan itu dalam rangka beribadat kepadaNya.

Keseronokan terutamanya dalam kalangan anak-anak muda melalui aktiviti bebas tanpa mempertimbangkan sempadan agama hanya mampu menzahirkan keseronokan yang sementara.

Lebih mengerikan apabila keseronokan yang dikecapi mengundang bala seperti penyakit dan bencana.

Kebebasan dan keseronokan yang dicari itu tidak memberi erti sekiranya usia muda itu tidak digunakan sebaik mungkin ke arah yang membawa manfaat kepada diri, keluarga, agama, bangsa, dan negara.

Kesimpulannya, banyak kebaikan bakal dikecapi oleh orang yang berkahwin awal.

Sekiranya kehidupan pasangan berada di landasan agama yang betul, in shaa Allah pasangan tersebut akan dapat merasai terlebih dahulu hampir semua perkara sebelum orang yang berkahwin lewat rasai.

Ini termasuklah soal rezeki, anak, ekonomi, kebahagiaan dan seumpamanya.

Berbahagialah mereka yang berniat untuk menamatkan zaman bujang pada usia muda. Mudah-mudahan niat yang baik membuahkan rezeki yang berganda. In shaa Allah.

“Apabila seorang wanita itu telah melakukan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, memelihara maruah dan mentaati suaminya maka diserukan kepadanya : Masuklah dari mana-mana pintu syurga yang kamu sukai.”

Riwayat Thabrani dari Abdul Rahman bin Auf r.a.

– Nuha (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *