Keliru Untuk Berterus Terang

Assalamualaikum. Seperti kalian sedia maklum, terlalu banyak kisah rumahtangga disiarkan di sana sini. Disebabkan golongan tersebut merupakan selebriti dan medium media massa menjadi tempat melontar kata-kata tanpa sempadan maka terkeluarlah segala hal yang buruk dan aib.

Saya memilih untuk tidak berkongsi cerita tersebut di facebook atau instagram atau whatsApp kerana takut akan disalah tafsir oleh manusia-manusia jahat mengaitkan seolah-olah yang berkongsi itu pun mempunyai masalah yang sama.

Bukan nak memuji diri tetapi alhamdulillah, hati saya tidak suka nak mengumpat atau membawang atau mengata hal kisah rumahtangga orang di mana-mana walaupun kadang-kadang terpalit sama dengan kesedihan yang berlaku. Biarlah saya menulis luahan hati di sini.

Terlebih dahulu ingin saya perkenalkan diri yang merupakan seorang isteri kepada seorang suami yang romantik, peramah, baik hati dan bertanggungjawab. Usia rumahtangga kami baru dua tahun. Saya muda 3 tahun daripada suami, masih dalam angka 20-an. Ibu kepada 2 cahaya mata (anak kedua baru dilahirkan awal bulan november yang lalu), jadi saya masih berpantang di rumah ibu bapa saya kerana suami bekerja waktu pejabat.

Apa yang ingin saya sampaikan bukanlah memburukkan suami (bukan selebriti), tetapi itulah hakikat seorang lelaki yang mempunyai nafsu kepada wanita. Saya tersangat suka mendengar nasihat dari Ustaz Ebit Lew kerana beliau banyak memberikan nasihat dengan nada yang santai dan lemah-lembut tutur kata.

Ujian kita berbeza, saya dah lalui di mana suami saya pun pernah melakukan kesalahan berkaitan nafsu. Macam mana saya tahu? Itulah yang Allah berikan hint selepas berdoa ‘perbaikilah diri kami suami isteri jika melakukan maksiat dalam rumahtangga’. Saya bukanlah suka untuk menilik handphone suami, tapi di awal perkahwinan tahun lepas suami pernah terlupa untuk menutup dan tertidur.

Saya pula kebetulan ingin mengambil gambar-gambar kami honeymoon yang ada di gallery untuk memindahkan ke whatsApp saya. Alangkah terkejut apabila mendapati ada gambar dan beberapa video lucah. Hanya Tuhan saja tahu betapa sedih dan hancur hati tambahan pula saya baru disahkan mengandungkan anak pertama kami.

Berpeluh dan menggigil badan sebab pertama kali dalam hidup saya didedahkan dengan benda itu. Ye, itulah aib suami yang saya tutup. Saya muhasabah diri dan menasihati suami untuk tidak mengulangi kesalahan tersebut.

Suami memang seorang romantik, bertanggungjawab, peramah dan baik hati. Selepas saya bersalinkan anak pertama tahun lepas, suami semakin rajin tag dan memujj saya di facebooknya. Gambar kami suami isteri pun dia tidak pernah sembunyi dari kawan-kawan, jadi orang sedia maklum kami adalah pasangan suami isteri saling sayang-menyayangi.

Dia tak pernah marah dan semakin rajin memenuhi kehendak saya yang mengidamkan macam-macam seperti barang makeup, beg tangan, makanan dan lain-lain. Sikitpun tidak pernah berkira mengeluarkan wangnya walaupun kadang-kadang saya akan tambahkan jika kurang.

Setelah kejadian tersebut saya tidak mengambil tahu dan bersangka baik hinggalah dalam tahun ini, saya mengandung anak kedua. Sekali lagi Allah hantarkan hint. Saya bukanlah seorang yang banyak bercakap, masa dengan suami pun hanya pada waktu malam kerana kami berdua bekerja dari pagi ke petang.

Saya nak buat surprise birthday (dah tempah dengan orang yang buat perniagaan surprise gift) tetapi tersalah forward ke whatsApp telefon bimbit suami. Saya baru perasan dan bila nak padam tak boleh kerana masa untuk ‘padam untuk semua’ dah terlebih waktu.

Jadi, sewaktu suami tidur, saya buka whatsApp suami. Bila buka terus terpampang perbualan dia dengan rakan sekerja (lelaki). Mereka berborak mengenai wanita bujang di tempat kerja mereka. Apa yang paling mengguris hati wanita saya ialah suami memasukkan gambar wanita yang disukainya (gambar selfie) dan memuji bibir mungil dan pipi wanita tersebut yang putih gebu.

Saya pernah jumpa wanita tersebut dan yang paling saya sedih dia siap mengajak rakan lelakinya itu (dah berkahwin juga) untuk cuba tackle dengan pekerja wanita bujang yang baru dipindahkan dari cawangan lain. Dia turut memberitahu rakan lelakinya yang saya mengizinkan untuk berpoligami sebab tu dia nak tackle wanita tersebut.

Allah! Dusta semata apa yang dibicarakan, adakah hanya untuk menegakkan benang yang basah? Emosi saya terganggu dengan kandungan dalam perut sewaktu membaca tetapi saya banyakkan zikir dan selawat untuk terus kuat. Kebetulan kes PU tengah hangat diperkatakan, saja saya berborak mengenai isu tersebut tetapi dia nasihatkan saya untuk tidak mencampuri hal rumahtangga orang dan banyakkan doa untuk rumahtangga kami.

Saya lebih banyak mendiamkan diri dalam masa sama tetap berbuat kebaikan kepada suami sehinggalah selamat bersalin anak kedua pada bulan lepas. Sehingga hari ini, saya masih tidak ada kekuatan untuk berterus terang dan menegur kesalahannya lagi sedangkan tahun lepas saya berani menegur berkenaan video tersebut.

Bila isu Daie hangat sewaktu tengah berpantang sekarang, saya rasa perlu untuk berbincang dengan suami walaupun kadang-kadang saya rasa macam tak perlu. Saya keliru tetapi saya takut dengan isu saya hadapi akan menjadi barah dalam rumahtangga kami. Pernah saya fikir untuk ke bahagian kaunseling kekeluargaan tetapi fikirkan yang terbaik berbincang dengan suami dahulu.

Semoga Allah berikan saya kekuatan untuk mendiamkan atau tidak kerana saya sayang suami, keluarga dia dan dua anak-anak kami ini. Sebagai akhir kata, janganlah kita menambahkan cerita yang telah berlaku cukuplah sekadar nasihat dan memperbaiki diri masing-masing.

– Ummu HH (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *