Penindasan Oleh Keluarga Sendiri

Assalamualaikum kepada semua pembaca dan saya berterima kasih kepada sesiapa yang menyiarkan cerita saya ini. Saya perlu merahsiakan nama sebenar saya kerana risau diketahui orang lain.

Saya seorang lelaki dan mempunyai 6 adik-beradik termasuk saya. Saya merupakan anak yang kelima. Ayah saya sudah meninggal dunia sejak saya kecil lalu tinggallah ibu saya seorang yang menyara hidup kami.

Sekarang kesemua adik-beradik sedang belajar dan mempunyai kakak-kakak yang masing-masing sudah tamat belajar, sudah bekerja, sudah berkahwin dan sudah mempunyai anak. Saya pula sedang belajar di sebuah universiti tempatan sekarang.

Saya merasakan hidup saya aman sewaktu ayah saya masih hidup sehinggalah ayah saya sudah meninggal dunia saya merasakan hidup saya semakin tidak seronok seperti dulu. Saya dilahirkan sebagai seorang yang introvert dan mempunyai ADHD.

Tapi sewaktu saya kecil saya tidak pernah ke pusat psikiatri untuk mengetahui saya mempunyai ADHD sehinggalah saya merupakan mahasiswa dan memandang serius terhadap simptom-simptom yang saya hadapi lalu mendorong saya untuk berjumpa dengan pakar psikiatri.

Sebelum saya memasuki universiti saya sering mendapat keputusan yang tidak cemerlang dalam setiap peperiksaan. Ianya disebabkan simptom-simptom yang ada pada orang yang mempunyai ADHD. Simptom-simptom tersebut itu kekal hingga sekarang kerana orang yang mempunyai ADHD tidak akan sembuh kerana ADHD bukanlah sesuatu penyakit tetapi kelainan neurologis.

Tapi saya tidak kisah kerana ramai orang yang mempunyai ADHD mampu berjaya seperti Albert Einstein, Adam Levine, Justin Timberlake dan ramai lagi. Yang memberi masalah kepada saya ialah keluarga saya sendiri.

Saya langsung tidak berpuas hati dengan layanan yang mereka berikan kepada saya. Kakak-kakak saya sering menyuruh saya melakukan apa yang mereka mahukan sejak saya kecil. Jika saya enggan melakukannya mereka akan memarahi saya.

Sewaktu saya kecil saya dan abang saya pernah dipukul mereka akibat enggan melakukan apa yang mereka suruh. Apabila berlaku perbalahan antara saya dengan mereka, mereka akan menyuruh saya untuk mengalah dan menghormati mereka walaupun perbalahan tersebut berpunca daripada mereka. Sekarang lebih mendiamkan diri dan tidak akan sekali terjebak dalam apa-apa perbalahan.

Mereka menyuruh saya menghormati mereka seperti ibu. Saya tidak boleh memukul mereka, bercakap kasar dengan mereka, melakukan suruhan mereka dengan membuta tuli dan banyak lagi. Sedangkan dalam Islam kita disuruh menghormati ibu kita lebih daripada yang lain.

Mereka tiada hak untuk mendapatkan penghormatan sedimikian. Setiap adik-beradik itu sama rendah dan sama tinggi dan perlu menghormati antara satu sama lain walaupun berbeza umur. Mereka marah kerana tidak menghormati mereka dan mereka pula boleh pula tidak menghormati saya dan menyakitkan hati saya sesuka hati.

Apabila tidak menghormatinya mereka akan menyuruh jangan menderhakai mereka bersama dengan ugutan tidak mendapat berkat jika berbuat demikian. Sedangkan dalam Islam tiada langsung konsep seperti itu dan Allah saja yang menentukan keberkatan seseorang.

Selain itu, mereka selalu mengungkit apa kebaikan yang mereka pernah lakukan pada saya seperti memberikan duit belanja kepada walaupun saya tidak pernah meminta kepadanya. Bila saya melakukan apa yang mereka tidak suka mulalah mereka mengungkit-ungkit.

Mereka juga termasuk ibu saya selalu memberitahu hal buruk tentang saya dan membuka aib saya pada orang lain. Selalu juga mereka berbuat sedimikian apabila saya ada disampingnya. Mereka juga berbuat demikian pada guru saya lalu guru saya tersebut menyebarkan pada guru-guru yang lain serta rakan-rakan saya. Ia menyebabkan saya berasa malu dan dimalukan oleh rakan-rakan saya.

Mereka juga menuduh saya bukan-bukan dengan membuta dan tanpa selidik terlebih dahulu dan berburuk sangka terhadap saya. Mereka sering menyalahi saya sesuka hati. Jika bil elektrik bulanan menaik maka mereka akan menuduh saya menggunakan penghawa dingin terlalu lama dan kerap sedangkan mereka sendiri yang lakukannya dan bukannya saya.

Mereka selalu membiarkan TV terbuka tanpa orang yang menonton dan tidak menutup suis lampu dan kipas selepas guna. Jadi sayalah yang menutup untuknya.

Apabila sinki tersumbat mereka akan menyalahi saya juga. Mereka akan memarahi dan menasihati saya supaya jangan membuang sisa makanan di dlm sinki sedangkan merekalah pelakunya. Mereka tidak pernah mengaku kesilapan sendiri.

Mereka selalu memarahi saya melebih-lebih. Apabila keputusan PT3 dan SPM saya tidak memuaskan, kakak sulung saya memarahi saya dan menyindir saya sedangkan keputusan PMR dan SPM apa kurangnya. Suka bercakap tidak serupa bikin dan tidak pernah mengaku kesilapan dan kelemahan sendiri. Suka menasihati dan mengkritik orang lain tapi diri sendiri tidak suka dinasihati dan dikritik.

Dia juga suka mengongkong kehidupan orang lain. Mahu bertindak merampas telefon saya sedangkan bukan dia yang belikan. Selain itu, dia menyuruh ibu saya memotong duit belanja saya dan memegang duit PTPTN saya kerana saya suka berbelanja yang bukan-bukan sedangkan apa kurangnya dengan dia.

Apabila saya ingin menyambung belajar, kakak-kakak saya tidak membenarkan kursus yang saya ingin ambil kerana risau saya akan gagal menghabiskan kursus tersebut dengan cemerlang dan tidak mendapatkan pekerjaan. Sedangkan mereka boleh pula memilih kursus dan kerjaya sendiri malah keputusan pembelajaran tidaklah memuaskan pun dan sukar juga mendapat kerja.

Akhirnya saya mengambil kursus saya tidak ingini dan menyebabkan saya merana di universiti. Mereka juga termasuk ibu saya langsung tidak percaya kepada kemampuan saya. Mereka merasakan saya bodoh dan tidak boleh berbuat apa-apa.

Itulah serba sedikit luahan saya. Sebenarnya banyak lagi tapi ianya akan memanjangkan lagi patah perkataan hantaran ini. Saya sedih kerana dapat keluarga seperti dan dengki dengan keadaan keluarga rakan-rakan yang tak seperti saya. Saya berharap anda mempunyai keluarga yang baik.

Terima kasih kerana membaca luahan ini.

– Nama sebenar dirahsiakan (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *