Assalamualaikum. Aku ada baca confession seseorang yang persoalkan di manakah keadilan buat anak-anak yang hidup dalam keluarga bermasalah. Tetapi beliau beruntung, adik-beradiknya semua berjaya dalam pelajaran.
Aku sendiri dilahirkan dalam keluarga yang bermasalah. Kemelut kemiskinan harta, ilmu dunia, ilmu akhirat, ibu bapa yang sering bertelagah tidak kira waktu, keadaan, dan di mana-mana sahaja.
Dilahirkan dalam keluarga yang mempunyai bilangan adik-beradik yang ramai dengan pendapatan keluarga yang kecil, sepatutnya bukanlah satu isu yang besar. Namun, faktor kekurangan ilmu dunia dan ilmu agama yang menjadi punca masalah keluargaku semakin hari semakin kritikal bagaikan tiada penawarnya lagi.
Kami adik-beradik membesar dalam kesusahan, aku tahu bukan mudah untuk ayahku menyara keluarga dengan keadaan mentalnya yang tidak berapa memberansangkan.
Kesempitan hidup, membuatkan ibu dan ayahku sering bertelagah, bagaikan semuanya tidak kena. Seringkali ada sahaja perkara yang boleh mencetus pergaduhan antara mereka berdua. Rumah kecil tempat kami berteduh seringkali kedengaran dengan kata-kata kesat, maki hamun dan pelbagai lagi yang tak sepatutnya keluar daripada mulut ibu bapa di hadapan anak-anak.
Anak-anak yang membesar dalam keluarga yang porak-peranda jarang jiwanya tak terluka. Anak-anak lelaki dalam keluarga ini membesar dengan jiwa yang memberontak, lalu mencari kawan-kawan yang membawa pengaruh negatif. Akhirnya mereka kian hilang hormat terhadap keluarga, tidak ada langsung niat untuk memperbetulkan masalah keluarga, bahkan mereka sendiri yang membawa masalah kepada keluarga. Sedangkan anak lelaki sepatutnya menjadi harapan untuk memperbetulkan masa hadapan keluarga. Tetapi mereka langsung tidak berperanan untuk memikul tanggungjawab itu. Masalah-masalah yang dilakukan oleh anak-anak lelaki ini juga membuka peluang kepada ibu dan ayahku untuk semakin rancak berperang mulut siang dan malam. Saling menunding jari.
Bayangkan, sedang kau duduk menghadap buku membuat latihan ulangkaji ataupun tugasan yang diberikan oleh guru di sekolah, saat itu juga lah telinga kau terpaksa mendengar perbalahan yang membingitkan telinga. Bukan seminit dua, berjam-jam.
Bukan senang membesar dalam keluarga yang bermasalah. Di saat usia aku baru setahun jagung, aku sudah terbiasa dengan pelbagai masalah yang dibuat oleh abang-abang dan terbiasa mendengar pelbagai perbalahan di dalam rumah yang sepatutnya tempat membawa kebahagiaan, tempat yang sepatutnya mendidik nilai murni dan melahirkan kasih sayang.
Pernah terdetik di dalam hatiku persoalan, kenapa aku dilahirkan dalam keluarga sebegini. Kenapa aku tidak punya keluarga yang bahagia seperti keluarga rakan-rakanku yang lain. Bukan soal miskin harta yang aku kisahkan, namun soal miskinnya ilmu agama dan ilmu dunia yang menjadi faktor utama masalah ini kian berlanjutan.
Aku juga pernah terfikir, andai sudah tiada persefahaman dan kasih sayang dalam jiwa ibu dan ayahku, mengapa masih teruskan hubungan itu. Namun, andaianku mungkin jikalau mereka membawa haluan sendiri, salah seorang perlu mencari tempat tinggal lain yang mana ini merupakan satu perkara yang mustahil dengan status kewangan masing-masing.
Mereka yang punyai keluarga yang bahagia dan disirami kasih sayang, mungkin tidak akan faham situasi yang dihadapi oleh anak yang membesar dalam keluarga bermasalah seperti aku dan segelintir insan yang senasib denganku. Buat mereka yang mempunyai ibu bapa dan ahli keluarga yang saling menyayangi dan menghormati, bersyukurlah, kerana ramai lagi insan yang mengimpikan keluarga sebegitu, tetapi tidak mempunyai peluang untuk mengecapinya.
– Burung
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit