Assalamualaikum admin dan semua pembaca.. Di saat semua isi rumah telah lelap, mata ini masih lagi terkebil-kebil di dalam gelap. Menyoroti satu persatu luahan demi luahan, confession demi confession yang menyentuh jiwa dan memberi inspirasi.
Ada banyak confession yang saya kira hampir sama dengan kisah saya, dan ada juga confession yang membuatkan hati dan jemari saya tergerak untuk buat confession di sini. Bolehkah kalau saya hanya sebutnya sebagai luahan?
Baik, sedikit taaruf. Saya ex-uia. Berusia 30an. Seorang surirumah dan guru tuisyen secara part time hujung minggu. Berkahwin dan mempunyai sepasang cahayamata.
Sejujurnya saya tak tau bagaimana harus memulakan cerita kerana ceritanya terlalu panjang. Dan meringkaskan karangan/cerita adalah kemahiran yang saya amat lemah. Tapi tak apa.. saya cuba juga sebaiknya..
Sejujurnya.. saya tidak gembira dengan hidup saya. Jika dikatakan saya tidak pernah mengecap kegembiraan, bohonglah.. jika dikatakan saya tidak pernah mengecap kejayaan, itu juga bohong. Namun secara keseluruhannya saya memandang diri saya sebagai seorang loser. Seorang yang gagal dalam hidup. Seorang yang hina. Melukut di tepi gantang.
Saya tidak menghabiskan pengajian atas alasan kesihatan. Saya tiada pekerjaan tetap. Suami saya hanya seorang tukang rumah. Pendapatan kami hanya ibarat kais pagi makan pagi. Jika tak mengais laparlah kami.
Bukan tidak teringin memiliki rumah yang besar dan cantik dengan taman ala jepun di hiasi pokok sakura dan ada pergola di depannya tempat anak-anak bermain di waktu petang. Dengan ikan kap dan koi berenang-renang di dalam kolam buatan. Bukan tidak ingin memandu kereta import dengan berjenama H atau T atau lebih best lagi jenama-jenama mahal.
Bukan tidak iri melihat kawan-kawan berpakaian cantik pergi kerja. Namun apakan daya aku ini hanya surirumah. Satu pekerjaan yang mulia di sisi agama namun aku benci sebenci-bencinya dengan title yang diberikan padaku dan aku terpaksa menerimanya dengan tidak rela.
Aku ada banyak kelemahan. Terlalu banyak. Namun tidak perlulah aku senaraikan kesemuanya.. cukuplah aku sebutkan dua kelemahanku yang terbesar. Yang pertama aku seorang yang pemalas. SANGAT PEMALAS! Kalian boleh kecam aku untuk itu. Tapi ketahuilah.. sesungguhnya aku sendiri pun benci menjadi seorang yang pemalas. Aku selalu mendambakan rumah yang kemas tersusun rapi. Namun itu semua angan-angan kosong saja. Kerana aku belum lagi jumpa ubat malas dengan kadar harga mampu milik. Yang ada cuma sekadar kata-kata “lawan malas tu!” Sekali, dua kali bolehlah dilawan. Dan akhirnya malas tu akan datang balik menjadi tuan. Dan aku menjadi hambanya..
Yang kedua, aku sangat-sangat tidak pandai menepati masa. Dalam apa jua bentuk dan keadaan sekalipun.. dalam apa bentuk acara dan temujanji sekalipun. Itu.. sangat-sangat membunuh karektorku. Sangat-sangat membuatku rasa rendah diri dan benci kepada diriku sendiri. Dan yang buat aku lebih benci dan sakit hati, aku tidak mampu mengubahnya..
Dari sisi yang lain, doktor pernah diagnos aku menghidapi skizofrenia. Aku disahkan mengalami major depression pada tahun 2004. Dan seterusnya membawa kepada kegagalan aku dalam pelajaran. Dan proses domino bermula. Ia membawa kepada kegagalan demi kegagalan yang lain. Gagal dapat kerja. Gagal dapat pendapatan yang cukup. Gagal bayar Ptptn. Dah kerja gagal pulak kekalkan prestasi yang baik di tempat kerja. Berhenti. Tukar kerja. Dan berhenti lagi. Tukar lagi. Sampailah sekarang aku dah tak mampu nak mohon kerja. Otak akan segera cakap: tak mungkin dapat kerja ni.. sangat negative. Im my own enemy!
Hidup ini, aku rasa seperti berada di dalam cengkerang. Keluarkan kepala bila keadaan selamat. Aku lebih suka duduk dalam cengkerang. Kerana ia selamat. Tiada risiko. Tapi sesungguhnya cengkerang itu adalah kemiskinan! Penderitaan! Kepalsuan!
Tahun 2017 aku diberikan diagnosis baru. Bipolar Disorder. Mood swing sangat teruk. Anak seumur 2 tahun kutengking kupukul sesuka hati. Lintasan dan bayangan jahat selalu menghantui. Pukul anakmu! Campakkan dia ke jalanraya! Seret anakmu! Dia degil! Ajar dia cukup-cukup! Akibatnya saya diberi ubat Risperidone oleh doktor untuk mengawal suara-suara dan mood swing.
Bila anak kedua lahir, kali ini lintasan dan suara makin ganas. Simbah bayimu dengan air panas! Campakkan bayimu ke lantai! Pukul dia! Hempas dia! Doktor tukar ubat lagi. Kali ni doc bagi Epilim. Ubat ni memang kuat. Buat saya jadi macam zombie.
Sekarang, saya tak ambil apa-apa ubat. Mood swing masih ada. Suara-suara halus mengutuk mengatakan kau tak guna! Kau teruk! Kau gagal! Masih lagi menyanyi-nyanyi di dalam kepala dan telinga saya. Suara itu akan membantah apa saja usaha positif yang saya ingin usahakan. Saya pandai memasak. Nasi lemak dan nasi ayam yang saya masak menggunakan resepi mak saya jauh lagi sedap dari nasi lemak di kedai-kedai kopi dan dipasar malam. Asam pedas, mi sup dan mii kari yang saya masak, membuatkan suami saya bertambah 3 pinggan.
Namun bila saja saya usulkan kepada akal fikiran saya untuk membuka gerai jajaan di tepi jalan, seribu satu alasan yang menghalang dan menghujahkan usaha saya akan gagal, ditembak bertubi-tubi ke dalam benak saya. Terus ke hati.
Saya pernah bermodalkan duit RM3000 saya beli jubah dan tudung untuk jualan. Akhirnya terperap bawah katil. Satu pun tak berjaya di jual. Oh silap! Tidak di jual.
Wahai dunia.. aku menangis di dalam hati.. anakku perlu simpanan pendidikan untuk masa depannya.. sedangkan aku ibunya hanya berpendapatan RM300 sebulan. Dan bapanya pula untung sabut timbul. Untung batu tenggelam. Bila ada kerja, berasaplah dapur kami. Masa tiada kerja.. hmmm.. kau pandang aku.. aku pandang kau.. Pinjaman Ptptn menjerit minta di bayar. Roadtax kereta dan motor merengek minta dihidupkan. Diapers dan susu anak menangis minta gantian..
Wahai cengkerang.. walau engkau tempat berlindung, dan walau sekuat manapun kau ingin melindungi aku, kau juga harus tahu aku ini manusia yang tidak berjalan mengengsot atau merangkak. Aku ingin terbang lepas bebas seperti burung. Tanpa ada yang menghalang. Tanpa takut dan ragu-ragu.
Wahai suara.. pergilah kau dari sisi. Kerana kau bukan teman atau sahabat. Bahkan kaulah musuhku yang terbesar. Menikamku dalam diam. Menggunting di dalam lipatan. Di manakah pelangi???
– Maya
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit