Keluhan Anak Trofi

Terima kasih saya ucapkan kepada segala pembaca IIUM confessions yang sudi baca confession saya ni. Saya sebenarnya nak letak tajuk, ‘Keluhan anak trofi. Berjaya luaran. Gagal dalam hati’. Tapi rasa macam panjang pula.

Saya akan menjejak umur 28 tahun tak lama lagi. Saya ni agak tak bernasib baik dalam percintaan. Saya pun boleh katakan tak pernah bercinta.

Sejak sekolah dulu hanya study je. A student. Dapat biasiswa, belajar luar negara. Balik sini kerja pun gaji ok. Kereta ada. Rumah sendiri pun ada. Financially saya dalam keadaan yang bagus.

Tapi Allah ini adil. Dia tak uji saya bahagian duit. Dia bagi saya ujian hati.

Saya alami masalah low self-esteem. Seorang pakar pernah suruh saya buat latihan tengok imej diri dalam cermin, pandang lama-lama. Latihan tu scary betul! Seminit dua takpe. Selepas tu keluar lah segala suara kritikan kepada diri sendiri dalam kepala sendiri.

Kau tak hensem. Kau lemah. Kau datang dari keluarga yang hampir pecah belah. Kat tempat kerja bos tak hargai kau. Kau tak kerja kerajaan, kerja swasta tak stabil. Takde siapa nak kat kau. KAU TAK CUKUP BAGUS! Menangis teruk jugak. Scary jugak cermin ni rupanya. Bukan cermin tapi suara kritikan kepada diri sendiri.

Bila fikirkan balik, apa punca semua ni? Sejak dari kecil saya selalu dibandingkan dengan anak jiran perempuan yang sebaya oleh ibu bapa saya. Result kami terutamanya. Sebab tu saya pulun belajar. Saya banyak kali ingatkan diri, belajar ni sebab nak buka banyak peluang belajar. Tapi untuk ibu bapa saya mungkin bukan itu tujuannya.

Teringat lagi lepas SPM, saya tak dapat straight A, tapi result saya masih cukup bagus untuk dapat biasiswa. Menariknya sehinggalah ke tahun kedua pengajian di universiti ibu berkali-kali ‘mengingatkan’ saya yang saya gagal mendapatkan A dalam add maths. Kenapa hanya B+.

Err, result subjek yang lain bagus kot, saya pun dah dapat biasiswa dah. Patutnya tak kisah dah pasal result SPM tak dapat straight A. Apa pentingnya SPM sekarang?

Selepas bergraduasi, pasaran kerja sangat mencabar untuk bidang kejuruteraan. Lambakan graduan. Ibu sibuk suruh saya kesana kemari, mohon jawatan kerajaan itu dan ini. Pada masa yang sama saya buat haluan sendiri dalam bidang yang sangat niche.

Ya, kerja swasta, lari bidang. Saya agak berjaya dan terkenal dalam bidang unik ini. Tapi saya tak dapat sokongan. Impian ibu tetap anak kerja kerajaan.

Pergi ke temuduga kerajaan itu dan ini. Ujian online. Ujian bertulis. Interview berkali kali. Public speaking. Ujian fizikal. Kawad kaki. Lari padang sana sini. Macam-macam.

Dah terlalu banyak masa dihabiskan untuk datang ke interview ni semua. Banyak juga saya berjaya sehingga peringkat akhir. Tapi selalunya di peringkat akhir lah saya disingkirkan. Orang lain jugak yang dapat. Sebab memang jawatannya satu, dipanggil seribu! Buang masa!

Ibu pernah katakan, kenapalah saya belajar kejuruteraan dulu. Patutnya belajar bidang lain yang senang dapat kerja kerajaan. Alamak. Saya belajar kejuruteraan pun kerana ada biasiswa. Saya bersyukur ada biasiswa, sekurang-kurangnya tak membebankan ibu bapa nak menanggung kos pengajian yang bukannya murah. Tapi bukan ibu.

Temuduga terakhir yang saya gagal, saya menangis. Bukan kecewa kerana gagal temuduga, tapi kerana saya gagal tunaikan impian ibu. Saya tak tahu apa ibu mahukan. Bilakah dia akan merasa cukup?

Saya kenal pasti, mungkin inilah sebab kenapa saya selalu rasa saya diri saya ini sentiasa tak cukup. Bayangkan anda cuba mengejar goal post tapi goal post itu sentiasa diubah-ubah sesuka hati.

Tapi baru-baru ni tiba-tiba ibu selalu tanya, tak keluar dengan perempuan ke? Tak cari calon isteri ke? Selama ni ibu bapa saya takde pun kisah sangat pasal perasaan saya. Pasal pengalaman percintaan saya (yang hampir tak pernah wujud).

Saya dapat tahu anak jiran tu baru bertunang. Ahh… Semua masuk akal. Ingatkan dah besar panjang ni saya dah bebas. Tapi saya masih lagi anak trofi, pencapaian untuk dibandingkan dengan orang lain. Kecewa.

Dalam dunia percintaan ni. Sebenarnya saya ada juga minat kat orang, tapi saya takut nak bercinta. Dua kali saya dipermainkan.

Gadis 1. Saya kejar. Dia berminat. Kami mula nak jadi exclusive, dia bosan dan menjarakkan diri. Saya tahu dia suka dikejar untuk rasa disayangi. Dia mahu saya kejar dia. Tapi saya tak mahu main tarik tali. Relationship begitu bukan untuk saya yang mahukan sokongan dan pasangan untuk bercerita isi hati.

Gadis 2. Dia bermula sebagai kawan baik yang selalu berikan sokongan dan bercerita isi hati semasa keluarga saya dilanda krisis. Tapi dia suka main-main cinta. Sangat flirty. Mula-mula saya memang tetap hati, dia hanya seorang kawan. Tapi setelah sekian lama, saya terjatuh hati. Dia terus lari menjauhkan diri.

Baru dua. Sikit je ni. Tapi masalahnya nak cuba lagi, saya takut. Bila kita bercinta, kita jadi vulnerable. Kita letakkan harapan kat orang lain. Tapi orang lain akan sentiasa mengecewakan kita. Saya takut untuk berharap. Rasa sedih betul lelaki 28 tahun ni pengecut, takut kecewa. Ah, suara kritikan diri ini berbunyi lagi.

Oh, ibu bapa saya juga banyak kali hampir bercerai. Ayah selalu nak kahwin lain sejak dari saya kecil lagi, ayah memang tak setia, selalu tercari-cari yang lain. Saya rasa ibu pun sentiasa rasa tak cukup untuk ayah.

Jadi pada pandangan saya memang manusia ni begini. Manusia hanya mahukan sesuatu dari manusia yang lain. Dah habis, tinggal cari lain.

Saya rasa pemikiran saya ini sangat pessimistik. Ya saya tahu orang lain tu lain dari ibu bapa saya, orang lain tu tak buat apa-apa lagi pun kat saya untuk saya menyimpan impresi buruk terhadap mereka.

Oh, ada juga makcik-makcik yang bertanya, eh single lagi ke.. Tanya gaji berapa… Bila saya jawab saya ni gaji ada, kereta ada, rumah ada, laju je mereka ingin kenalkan saya dengan anak atau saudara mereka.

Ahh, kitaran trofi bermula sekali lagi. Macam ni ke mencari calon yang ikhlas? Relationship apa ni? Saya ni apa?

Aduh. Macam mana nak jadi lebih yakin diri, macam mana nak jadi lebih positif? Macam mana nak cari orang yang ikhlas? Saya perlukan nasihat anda semua. Terima kasih.

– Anak Trofi (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *