Kemanisan Selepas Disihir

Assalamualaikum semua pembaca IIUM Confessions. Alhamdulillah, 2024 Allah SWT izinkan diri ini terkena sakit hantaran dari iri hati dan hasad dengki seseorang. Dan alhamdulillah juga diri ini dah semakin recovery.

Dari segi emosi, mental, dan sakit fizikal, alhamdulillah semakin baik. Terima kasih ustaz-ustaz yang rawat dan terima kasih untuk suami dan keluarga yang sentiasa ada.

Sebenarnya menulis ini bukan untuk membuka aib diri sendiri dan hamba Allah tersebut, tetapi semoga kita mendapat pengajaran dan semoga saya mendapat sedikit kata-kata penguat dari pembaca-pembaca di sini.

Kalau ikutkan ustaz yang rawat saya tu, sihir apa dan siapa yang hantar biarlah menjadi rahsia. Sebab ustaz kata tak perlu fikir semua itu, yang penting kita kuatkan semangat untuk lawan semua ini dan yakin kita akan sembuh dengan izin Allah SWT. Alhamdulillah.

Dan kalau ikutkan ustaz kata, sihir pertama tu masuk seawal bulan April tahun lepas.

Tetapi masa tu saya dan suami tak perasan itu semua adalah gangguan sihir. Sebab kami berdua tak pernah kena dengan benda-benda seperti ini, jadi susah juga kami nak percaya pada awalnya benda-benda macam ini. Kami lebih anggap semua ini adalah lebih kepada salah faham suami isteri yang membawa kepada pergaduhan.

Ditambah juga dengan adanya watak yang muncul tiba-tiba yang buat hubungan saya dan suami semakin renggang. Rasa sayang tu kuat tapi dalam kepala asyik fikir nak berpisah sahaja. Suami pun jadi baran tiba-tiba, dan saya pula asyik kalah dengan emosi. Asyik nak menangis.

Kalau nak diingatkan dan diceritakan semula, terlalu banyak. Tapi tak apalah, ada aib yang perlu disimpan dan saya juga tak mahu rosakkan emosi saya dengan mengingati hal-hal ini, walaupun agak susah juga nak hilangkan semua ini dari ingatan kita.

Dan andai kata sesekali kalau saya teringat semula, ya Allah sedihnya. Hampir-hampir juga perkahwinan yang dibina lebih 12 tahun hancur macam tu sahaja. Tapi tak apalah, itu semua dah selesai dengan izin Allah SWT.

Beza juga ye penerimaan lelaki dengan perempuan dalam melawan penyakit sihir ini. Suami cepat recovery-nya. Bila suami saya tersedar (atas bantuan ustaz dan keinginannya untuk lawan serta dengan izin Allah SWT), sekejap sahaja dia recovery. Bila tersedar, suami lebih kepada rasa marah sebab terasa seperti dianiaya.

Tapi bila saya kena untuk second attack tu dan serangan itu directly untuk saya (dalam bulan 11 macam tu), ambil masa juga untuk sembuh. Tapi alhamdulillah, suami dan keluarga sentiasa ada dan bagi semangat.

Saya terkena lebih kepada gangguan emosi, rasa sedih yang melampau, rasa bersalah seolah-olah saya ada buat salah pada seseorang, rasa sedih yang tiba-tiba datang tanpa sebab, nak ke kerja malas, badan rasa penat sangat. Air mata yang sentiasa mengalir. Nak solat dan mengaji semua terganggu. Allahu akbar, sedihnya bila ingat semua.

8 bulan emosi saya hampir rosak disebabkan gangguan sihir yang kami tidak perasan, dan bila dah semakin baik, dapat pula second attack. Memang demi Allah saya rasa sakit dengan apa yang saya dapat. Badan sakit, emosi terganggu, mimpi jangan cakap lah. Letak kepala sekejap sahaja mulalah mimpi yang bukan-bukan.

Tapi alhamdulillah, slowly-slowly semuanya semakin baik dan semakin pulih. Ustaz suruh mandi daun bidara, air garam, dan limau serta ada bagi air untuk minum. Suami yang sediakan semua itu. Melihat keadaan itu bertambah rasa bersalah, seolah-olah kita rasa menyusahkan semua orang pula.

Kalau boleh saya kongsikan sedikit bagaimana saya recovery, ye, semua itu dengan izin Allah SWT. Dan seperti mana yang ustaz bagitau, ustaz hanya bantu untuk matikan sihir.

Dari segi emosi dan kekuatan rohani saya yang kena kuat dan lawan sendiri. Dan kalau saya lemah, memang mudah saya terkena gangguan kerana di sekeliling kita memang penuh dengan gangguan sebenarnya.

Jadi dari situ saya cuba lawan juga. Saya kuatkan semangat, saya solat seperti biasa, saya top up amalan-amalan saya. Saya berzikir. Bismillah 5 dan ayat kursi sentiasa di bibir. Bayangkan sewaktu terkena gangguan itu, susahnya saya nak baca ayat kursi. Baru baca sikit rasa takut, rasa bersalah. Air mata mengalir sahaja. Allahu akbar.

Tapi apa-apa pun, saya bersyukur kerana dengan gangguan-gangguan itu, hubungan saya dan suami bertambah baik. Kami memang kurang bergaduh sebelum ini, tapi yelah, hubungan kami dengan Allah agak kurang juga.

Kami solat, mengaji tapi adakalanya dalam keadaan yang tergesa-gesa. Kurang amalan-amalan sampingan tapi kini alhamdulillah syukur sangat, bukan saya nak riak tapi saya anggap semua ini sebagai titik perubahan untuk kami berdua.

Kami dah semakin kerap solat berjemaah di rumah dan di masjid, kami bawa anak-anak solat di masjid, sekiranya tidak sempat kami lakukan solat berjemaah di rumah. Kami mengaji setiap malam biar pun sekadar 1-2 page sahaja.

Suami pun banyak jaga saya sewaktu terkena gangguan tersebut, mungkin atas rasa bersalahnya juga. Kerana padanya, semua ini jadi berpunca dari dia tapi siapalah kita hendak melawan takdir Allah.

Sekarang, sesekali bila ada rasa yang tak best datang, cepat-cepat saya ambil wuduk. Saya solat taubat atau apa sahaja yang sempat. Saya zikir. Saya taknak rosakkan diri saya. Saya taknak self-sabotage diri saya lagi. Saya perlu kuat untuk anak-anak saya.

Saya taknak buat suami dan family saya risau. Saya taknak kalah dengan permainan jin dan syaitan serta musuh-musuh Allah tersebut. Saya niatkan dalam hati saya akan menang dan sihat seperti biasa. Semoga Allah izinkan saya untuk pulih seperti biasa.

Dan alhamdulillah, semakin hari saya rasa semakin tenang. Semakin hilang rasa berdebar-debar yang kerap datang secara tiba-tiba itu. Paling saya bersyukur, saya boleh solat dan beribadat dengan tenang. Sesungguhnya inilah kemanisan selepas semua air mata saya yang banyak mengalir untuk 2024.

Kalau ditanya, saya tahu ke siapa yang hantar. Jawapan saya, of course lah saya tahu. Banyak cara Allah nak tunjuk pada kita. Tapi sebagaimana yang ustaz kata, kita tak payah fikir semua itu. Fikir untuk sembuh dan jangan berniat untuk balas kejahatan dengan kejahatan.

Dan alhamdulillah, sepanjang tempoh itu saya memang tak ada niat untuk buat apa-apa pada hamba Allah tersebut.

Ada juga family bertanya, dengan apa yang jadi ini saya maafkan ke pihak di sana? Jujur saya katakan, saya maafkan sahaja. Buat apa hendak berdendam. Cuma saya kerap berdoa agar di hatinya sudah tiada rasa hasad dengki atau apa sahaja kemarahannya pada saya.

Kerana saya bimbang, seandainya saya terkena lagi gangguan ini dan dihantar oleh orang yang sama, saya bimbang saya tiada kekuatan untuk memaafkannya lagi. Tapi jauh di sudut hati saya, saya yakin pihak sana juga sudah mengalah insyaAllah.

Saya juga sudah move on. Saya block semua apa sahaja kaitan dia dengan saya. Saya juga sudah berhenti bercerita berkaitan hamba Allah tersebut, kerana sewaktu kejadian tersebut di mana saya dan suami tidak perasan kami sedang disihir, saya banyak meluahkan perasaan sedih, kecewa, dan geram saya pada adik ipar.

Dialah menjadi tempat saya luahkan kesedihan saya. Terima kasih untuk adik ipar saya. Syukur Allah kurniakan adik ipar yang sudi mendengar cerita saya sewaktu kejadian tersebut. Dan juga kawan baik saya yang sentiasa ada dengan saya.

Sedar tak sedar ada juga salah saya pada pihak sana. Even tidak sampai memaki hamun (saya memang bukan jenis yang pandai marah, memaki hamun memang jauh sekali), tapi ada juga geram dan marah saya luahkan pada pihak sana. Semua kemarahan dan rasa sedih saya luahkan pada adik ipar ataupun pada kawan baik saya.

Tetapi semua masih dalam kawalan, even kawan saya kata viralkan sahaja sebab masing-masing punya socmed yang ramai juga followernya di TikTok. Tapi saya masih mahu jaga aib suami saya ketika itu. Dan alhamdulillah Allah masih jaga hati saya dari berbuat sesuatu yang tidak rasional.

Di akhir cerita sebelum saya block semua komunikasi antara kami, sempat saya meminta maaf andai kata ada perbuatan dan kata-kata saya yang membuat pihak sana marah atau terasa hati.

Even pada pendapat adik ipar dan kawan saya, tiada apa-apa yang saya perlu minta maaf sebab kalau saya minta maaf, silap-silap saya pula yang diserangnya. Yelah, orang tengah tak suka kita, kita pula boleh tunjuk baik minta maaf, lagi lah bertambah marahnya.

Sekarang, saya dan suami lebih kepada menghabiskan masa bersama anak-anak. Kami top up pada ibadat-ibadat kami. Suami kalau tengok saya termenung sahaja, cepat-cepat datang ajak saya berbual, nak alihkan perhatian saya.

Alhamdulillah, inilah kemanisan selepas semua ujian dari Allah. Dan saya tahu apa yang saya kena ini sedikit sahaja, ada orang lebih teruk ujiannya. Ada yang disihir lebih teruk dari ini. Dan ada yang bertahun-tahun diuji dengan sihir. Semoga Allah beri kesembuhan pada mereka yang sedang diuji dengan penyakit hasad dengki ini.

Tapi apa-apa pun, syukur ya Allah. Ujian Allah inilah yang buat saya dan suami tersedar. Saya dan suami juga selalu berdoa semoga jangan Allah tarik nikmat beribadah kami ini. Kerana kami sedang benar-benar ingin bertaubat dan kembali ke jalan yang di redhai Allah.

Banyak khilaf kami sepanjang hidup kami. Alhamdulillah syukur Allah SWT bagi jalan untuk kami sedar dan kembali kepada jalan Allah yang sebenar.

Dan untuk mereka yang terkena gangguan seperti saya, semoga kita sama-sama di bawah jagaan Allah SWT. Saya selalu berdoa jangan ada ahli keluarga saya yang terkena seperti saya.

Saya doakan juga kepada semua yang sedang terkena gangguan-gangguan ini, semoga diberi kekuatan untuk melawan. Banyakkan amal ibadah kita, solat jangan tinggal, amalkan zikir-zikir, ayat kursi, bacaan 3 Qul, dan Bismillah 5 serta ayat Yassin ke-9 sebagai pendinding kita.

Dan kalau diikutkan banyak bacaan yang telah dikongsikan di socmed untuk dipraktikkan sebagai pendinding diri kita. Jangan bersendirian dan jangan sesekali bercerita pada sesiapa sahaja berkaitan gangguan kita ini. Cukuplah hanya keluarga yang terdekat sahaja yang tahu. Kerana kita pun tidak tahu siapa lagi musuh kita.

Dan jangan sesekali pula kita berfikir mahu membalas atau membuat kejahatan dengan menzalimi manusia kerana sesungguhnya dosa sesama manusia selama mana kamu tidak meminta maaf, selagi itu semua amalan kamu tidak diterima oleh-Nya. Semoga di bulan-bulan yang baik ini Allah menerima semua amal ibadah kita.

Dan apa yang saya belajar dari kejadian ini, ada orang yang tidak menyukai kita bukan kerana kita jahat, tetapi mungkin kerana kebahagiaan dan kegembiraan kita tidak menyenangkan hati mereka, nauzubillah. Maka berdoalah agar diri dan hati kita dilindungi Allah SWT dari berperasaan seperti itu.

Apa-apa pun, 2024 tahun yang baik. Terima kasih untuk semua cerita. Syukur ya Allah. Dan semoga kita yang sedang diuji oleh Allah SWT, pilih untuk pulih bersama Allah SWT. Allah Maha Baik, jangan pernah berputus asa dari ujian-Nya.

– Zuhana Arissa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *