Assalamualaikum. Bila usia makin bertambah ni, makin hari terasa makin banyak lalainya.
Kadang-kadang datang juga rasa insaf di hati, tapi cepat juga keinsafan tu hilang di mamah keseronokan dunia. Itulah saya. Kadang rasa gerun bila peringatan mati datang menyapa.
Hati niat untuk bertaubat, tapi pada masa sama tetap saja lakukan perkara yang Allah larang. Hati ni senang sangat berbolak balik. Kejap takut kejap seronok.
Walaupun Allah murka apa saya buat, tapi Allah masih izinkan saya untuk bernafas atas muka bumi Allah ni. Astagfirullah. Teruknya saya kan?
Setiap tahun sejak 2018 lagi saya dah diuji dengan kehilangan orang yang saya sayang. Seorang demi seorang ahli keluarga saya Allah ambil. Tahun ini sahaja sudah 2 orang bapa saudara saya dijemput Ilahi.
Disaat saya menulis ini pun saya baru sahaja kehilangan bapa saudara saya awal pagi tadi. Berat ujian dirasa walaupun dah banyak kali menghadapinya.
Paling terkesan bilamana adik saya dijemput dalam usia yang muda. Saya yang terlalu menyayanginya dah macam orang yang hilang pedoman. Menerima berita dia bakal meninggal dunia sahaja pun sudah buat saya lembik lutut. Menangis sekuat hati macam orang tak ada agama.
Mengenang kembali perbuatan saya ketika menerima maklumat tentang keadaanya dihospital pun sudah cukup menyeksakan. Memalukan bila diingat kembali.
Tapi sungguh ketika itu saya benar-benar tidak tahu yang menangis berlebih-lebihan adalah dilarang. Sebulan saya berduka mengenangkan pemergiannya. Apa sahaja berkaitan adik, saya akan menangis.
Walaupun kesedihan saya tu nampak seperti macam saya terlalu bersedih dengan pemergiannya, sebenarnya pada masa yang sama saya sedang berada dalam ketakutan yang teramat sangat. Takut dengan azab Allah, janji Allah tentang betapa sakitnya mati.
Takut Allah akan jemput saya bila-bila masa tanpa saya sempat bertaubat!
Terbayang-bayang usia adik masih muda tapi sudah dipanggil, saya yang lebih tua darinya sedang menunggu masa pun masih tak insaf-insaf lagi. Masa tu barulah terfikir takut tak mampu nak jawab apa Malaikat akan tanya.
Walaupun dengar orang baca talkin menerangkan soalan yang akan ditanya, saya sangat pasti jawapannya tidak mudah diberi seperti yang disebutkan.
Tapi itulah sebulan aja saya betul-betul insaf, selepas sebulan tu keadaan beransur pulih, tikar sejadah pun dah jarang nak jamah. Alquran pun dah jarang nak baca. Sekarang lagilah tak ada. Astagfirullah.
Bila peringatan demi perigatan datang menerpa, terus terang saya kata saya masih belum bersedia nak mati. Tanyalah beribu berjuta kalipun tetap tak mampu nak hadapi. Sesiapa sahaja pun masih belum bersedia. Amalan kurang, perkara lagha semakin sebati dalam diri.
Saya tak mampu nak bendung diri saya daripada menikmati keseronokan dunia. Hati kata mahu bertaubat, tapi perbuatan tidak pernah seiring dengan niat. Kalau sekiranya nafas saya terhenti sekarang, saya tak mampu membayangkan betapa terseksanya mayat saya nanti.
Dosa lebih berat dari amal. Astagfirullah. Bila sorang diri, datang semua fikiran seksa kubur, terbayang keadaan dalam kubur, lemas dalam lubang tanah yang sempit, tiada siapa yang dapat teman dan bantu,
Terbayang hari kiamat yang huru hara, menunggu giliran di mahsyar, terbayang segala seksa neraka untuk tiap satu dosa.
Allah. Sungguh tak kuat nak menghadapi bayangan dan fikiran ni. Ini baru bayangan, bayangan sahaja sudah tak kuat apatah lagi keadaan sebenar nanti.
Semuanya datang menikam hati sampai tak mampu nak pejamkan mata. Takut! tapi bila hiburan yang sedikit datang menyapa, ketakutan tu berlalu pergi. Ujian apakah ini? Saya rasa terhina bila hati mula dekat dengan Allah, tapi cepat benar hati beralih arah.
Malu pada Allah. Allah sahaja yang tahu apa yang saya buat walaupun saya mampu rahsiakannya dari orang lain, mampu disembunyikan tanpa sebarang kesan dan dihidu orang lain padahal Allah tahu setiap inci tentang saya. Astagfirullah.
Kadang saya terfikir kenapa saya selalu tersasar dari landasan hidayahNya. Selalu merasa diri hina dan tidak bertuah kerana tidak diberi hidayah. Bila terfikir-fikir begini, mulalah hati jadi bercelaru, serabut.
Menyalahkan diri sendiri yang tidak kuat iman, menyalahkan syaitan yang nenghasut padahal diri sendiri yang lalai. Mungkin saya yang terlalu bermonolog sampai kurang muhasabah diri. Semuanya jadi tak apa, okaylah kot, bolehlah ni.
Berebut-rebut nak jadi yang terbaik biar dipandang orang sampai terlupa Allah sedang berpaling dari saya. Ya benar, kadang terperasan hati ni berbuat kebaikan bukan sebab nak Allah pandang. Tapi sebab nak orang perhatikan. Astagfirullah.
Saya mencuba untuk selalu melakukan apa yang Allah suka, tapi selalunya berakhir dengan rasa riak dan ujub, merasa diri baik dan macam-macam lagilah. Astagfirullah. Walaupun saya tak tunjukkan dengan perbuatan tapi saya faham benar hati saya.
Harus bagaimana untuk saya didik hati saya ini ya? Saya menyesal dan terus menyesal tetapi kerap saja penyesalan itu pudar. Astagfirullah.Saya tahu takkan sekali dapat cium bau syurga kalau ada kesombongan sebesar hama sekalipun.
Saya tahu semua tu. Dosa pahala semua saya tahu. Saya cuba sedaya upaya penyakit hati saya ni tapi tetap saja berakhir dengan kehinaan. Mungkin saya belum benar-benar berusaha. Astagfirullah.
Kawan-kawan, bantulah saya supaya saya mampu menetapkan hati saya dengan iman yang tinggi, tidak mahu berpura-pura lagi. Tidak mahu berbolak balik lagi. Bantulah saya hadapi sakaratulmaut suatu hari nanti dengan jiwa yang lapang dan tenang.
Tolonglah nasihati saya ini. Saya takut nak jumpa Allah dalan keadaan macam ni. Sungguh berdosa bilamana hati saya ni sangat pandai memujuk sampai selesa bila dosa yang besar dianggap kecil bila terlalu biasa.
Please…
Terima Kasih.
– Bakal Jenazah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit