Kematian Yang Bagaimana?

Assalamualaikum wbt….. Selamat sejahtera. Saya ingin menulis tentang kematian ini kerana adakala saya merasakan hidup ini akan berakhir dalam masa terdekat,

Saya rasa takut dan rasa tidak bersedia dan memikirkan bagaimana untuk melakukan amal soleh yang diredhai dan berharap ada amal jariah yang berterusan pahalanya…

Antaranya menyampaikan ilmu atau perkara baik yang memberi manfaat kepada orang lain, termasuk nasihat peringatan tentang kematian.

Saya bukanlah seorang ustazah, asatizah ataupun profaz yang selayaknya menyampaikan ilmu agama tetapi saya menulis untuk memberi nasihat muhasabah kepada diri seterusnya dikongsi agar ada yang terbuka hati untuk menginsafi.

Orang yang bijak adalah orang yang banyak mengingati mati kerana mati itu sangat pasti dan beramal untuk bekalan di kehidupan abadi.

Jika ditanya kepada mereka yang waras ingin masuk Syurga atau Neraka pasti jawapannya Syurga, malah berharap Jannatul Firdaus walaupun sedar diri adalah pelaku maksiat dan kemungkaran.

Sekiranya diri ada iman dan mahu bertaubat itu adalah satu perkara yang sangat dicintai Allah kerana rahmahNya lebih besar dari kemurkaanNya.

Tetapi andai melakukan dosa bagaikan tak ingat Tuhan dan menangguhkan taubat dengan alasan muda lagi…. Sungguh kematian itu tidak menunggumu.

Tidakkah kita terkesan dengan statistik kematian harian daripada Covid19 yang tidak mengenal usia bahkan kematian daripada asbab lain juga seringkali terpapar di portal berita dengan pelbagai kisah yang sedih atau mengejutkan.

Namun, adakala kita merasakan ada kematian yang dicemburui… kerana membayangkan mereka sudah berehat dari mehnah dunia dan menuju Syurga yang seluas langit dan bumi… merasakan mereka itu husnul khatimah atau syahid…

Suasana hening bagaikan dipayungi malaikat dan tiap hati rasa tersentuh mahu turut bersedih…

Kemudian terfikir apakah kebaikan beliau sehingga diberi penghormatan terakhir yang indah dan kiriman doa baik dari yang mengenali atau tidak lantaran dari kisah hidup matinya yang dikongsi.

Banyak sebenarnya kisah sebegini… Namun saya ingin memetik kisah kematian selebriti artis yang mengejut dikala sedang mengukir nama…

Terbaru tahun 2021, Siti Sarah di usia 37 tahun. Dahulu lagenda filem P.Ramli juga mengundang kesedihan ramai meninggal di usia 44 tahun pada tahun 1973.

Dan tahu tak Allahyarham Sudirman meninggal dunia di usia 37 tahun sekitar tahun 1992. Ramai yang sayang beliau kerana jadi penghibur yang berbakat.

Jadi, apa alasan kita untuk menangguhkan taubat bila sudah pencen… Bila dah pencen baru nak pergi masjid.. Bila dah pencen baru nak jaga aurat… Bila dah kaya baru sedekah… Ingat lima perkara sebelum tiba lima perkara.

Tentang kematian ni… Kita dapat banyak ikhtibar dari perkongsian mereka yang mengalaminya, menguruskan jenazah misalnya.

Ada yang bercerita, jenazah kelihatan makin putih berseri, ringan, wangi apakah kebaikannya yang sebenarnya dia bukanlah orang yang dikenali ramai..

Bila diselidik nyatalah ada amal baik darinya seperti menjaga solat, suka berpuasa, baik tidak mengumpat, banyak bersedekah, baik pada ibu bapa, baik pada suami anak-anak..

Tidak semestinya dia menghafal al-Quran baru mendapat makam tertinggi, namun para penghafaz al-Quran adalah mereka yang terpilih dan mendapat fadhilat tersendiri malah kita mestilah ada niat untuk menghafal kalamullah seterusnya beramal dengannya.

Cuma, untuk masuk Syurga bukan sekadar bergantung kepada sebanyak mana amal soleh hamba tetapi atas rahmat Allah disebabkan ada perkara walaupun sebesar zarah yang Allah redha, Allah terima..

Maka, rugilah mereka yang tidak meletakkan cinta kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW yang utama. Cinta yang bukan sekadar dilidah namun dihati dan dibuktikan dengan amal.

Sungguh bukan mudah untuk istiqamah membuat kebaikan… seperti ada yang rajin tahajut satu dua malam kemudian terkejut pula dikejut..

Ada yang sudah mula bertudung kemudian rasa macam tak wajib je buka tudung semula… Allah tahu kelemahan hambaNya maka kerana itu pintu taubat sentiasa terbuka seluasnya.

Namun bukan tiket untuk buat dosa kerana jika pintu hati tertutup… Nerakalah tempatnya.

Satu perkara tentang dosa yang mungkin kadangkala kita terlepas pandang… Dosa hati, dengki cemburu dan terzahir di lisan seperti marah dan mengumpat.

Mengumpat ni adalah membicarakan keburukan orang yang dilakukannya yang jika dia mendengarnya dia akan terasa…

Dosa mengumpat ni umpama memakan bangkai daging saudaranya. Manakala jika bercakap perkara yang tidak betul tentang orang itu adalah fitnah. Dosa fitnah lebih berat dari membunuh.

Takut dosa tak, percaya siksaan alam barzah tak, tak ingat mati ke. Satu lagi Allah tak suka orang yang sombong.

Ada sebenarnya mereka yang niat untuk nasihat dan dakwah tapi kata-katanya boleh membuatkan si penerima sakit hati dan benci, sebab tak berhikmah atau bercakap secara terbuka atau ada kata kesat seperti terus menghukum jahil, neraka sedangkan itu bukan kuasa manusia.

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim… Panjangkan usiaku dalam afiyat beramal soleh, berkati dan berikan petunjuk dalam setiap urusanku, ampuni dosaku dan peliharalah diriku dan keluargaku serta muslimin muslimat daripada kejahatan diri dan kejahatan sekeliling…

Jaga iman kami untuk mampu syahadah di akhir nyawa. Masukkan kami dalam golongan hambaMu yang bersyukur, bertaqwa, solehin dan dapat bertemuMu di Syurga tertinggi. Jauhkan kami dari azab api neraka. Aamiin ya Rabbal Aalamin..

Jika dapat memilih untuk kematian yang bagaimana… Saya berharap untuk pergi di hari Jumaat dalam keadaan beribadat dan hati sepenuhnya mengharap cinta Ilahi. Rindu syafaat Rasulullah SAW. Dan pemergian itu tidak meninggalkan kesusahan kepada waris..

Allahu, pasti sedih jika kita kehilangan insan-insan tersayang teristimewa dalam hidup kita… Allah menguji mengikut kemampuan hambaNya. Tanda Allah sayang. Sesungguhnya kita dari Allah dan kepadaNya kita kembali.

Sekian, terima kasih.

– Amani (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *