Kematian Yang Dicemburui

Assalamualaikum buat pembaca. 23hb yang lepas, aku ada menerima panggilan telefon dari seorang kawan. Berita yang kita semua takut dan tak sanggup nak dengar. Dia memberitahu ayahnya meninggal dunia.

Allah. Aku kelu, hilang kata-kata kerana tempias kesedihan itu turut sama aku rasai. Terasa seolah-olah kesedihan itu digumpal menjadi batu dan dihempap dengan kejam kepadaku tanpa aku diberi peluang untuk mengelak. Itu yang aku rasa. Jika aku yang tak berkaitan pun dihurung hiba, apatah lagi perasaan anak arwah.

Walaupun aku tak rapat dengan arwah ayah kawan aku, tapi aku kenal arwah. Sikap arwah sukar untuk dilupakan. Arwah seorang yang sangat, sangat peramah.

Itulah yang membuatkan aku boleh ingat arwah walaupun baru sekali dua bersembang. Seorang yang tak pernah menjadikan perbezaan umur sebagai penghalang untuk bersilaturrahim. Arwah bersembang denganku seolah-olah kami kawan baik yang sudah lama kenal.

Kerana terikat dengan urusan duniawi, aku terpaksa tangguhkan hasrat untuk ziarah kawan aku. Tiga hari (25hb) selepas mendapat berita, barulah aku berkesempatan untuk menghadirkan diri ke rumah arwah.

Aku sampai sekitar jam 2.10 petang. Bila aku sampai, aku tengok kereta masih banyak di kawasan rumah arwah. Dari luar rumah, aku dengar suara tangisan bersahut-sahutan. Dalam hati aku, terdetik yang aku datang pada waktu yang salah, di saat kesedihan masih lagi menggila.

Tapi, alang-alang dah sampai, takkan nak pusing balik macam tu je. Aku nak jumpa kawan aku dulu sebelum balik. Cuma aku putuskan, cukuplah sekadar menunggu di luar rumah untuk beri laluan kepada saudara mara dan kenalan yang lebih rapat dengan arwah dan keluarga arwah.

Bila kawan aku turun jumpa dengan aku, kami bersalam dan dia terus peluk aku. Dia kata, dia ada terima berita baru. Aku tanya apa dia? Dia kata dia dapat berita yang mak dia pulak meninggal dan dia terus menangis mengeluarkan air mata jantan dia. Aku pulak sekali lagi jadi kelu. Allah, Allah, Allah. Beratnya dugaan kawanku ini.

Sambil menangis, dia kata yang dia tak kuat untuk menghadapi semua ni. Aku sangkakan mereka sekeluarga menangis kerana masih meratapi permergian ayah mereka, rupa-rupanya mereka menangis kerana mak mereka pula meninggalkan mereka, selang 3 hari selepas arwah si bapa meninggal.

WAllahi, aku cemburu akan cara kedua-dua arwah dijemput. Mereka meninggal sewaktu mereka sudah selesai menunaikan umrah. Mereka meninggal di madinah. Mereka dikebumikan di perkuburan baqi’ berdekatan masjid nabawi.

Mereka disolatkan dan didoakan oleh beribu-ribu insan. Mereka sehidup semati. Ini bukan kematian yang membawa pengakhiran tapi ini adalah kematian yang menghidupkan. Tiada siapa yang mampu menidakkan bahawa mereka meninggal dalam khusnul khatimah.

Aku sempat menitipkan sepatah dua kata-kata semangat kepada kawanku. Usahlah terlalu bersedih atas kematian kedua-dua orang tua. Bergembiralah, kerana mereka juga sedang bergembira dan menikmati hari2 mereka di alam barzakh sebelum dijemput menjadi tetamu kehormat ke syurga.

Tak perlu dirisaukan tentang mereka. Yang perlu dirisaukan adalah diri kita sendiri yang masih hidup dalam ujian. Mampukah kita mendapat sebaik-baik kematian seperti arwah.

Perkuburan baqi’ itu tempat bersemadinya puteri-puteri nabi, isteri-isteri nabi, cucu-cucu nabi, ahlul bait yang lain dan sahabat-sahabat nabi.

Nabi menyeru umatnya agar kalau mampu, meninggAllah di Madinah dan baginda menjanjikan syafaat kepada sesiapa yang meninggal di sana (hadis riwayat at-Tirmidzi). Aisyah rha meriwayatkan baginda mendoakan kesejahteraan buat penghuni perkuburan baqi’.

Bersedihlah wahai sahabat kerana kesedihan atas kepemergian yang abadi itu adalah salah satu bentuk manifestasi cinta dan sayang. Bersedihlah kerana kamu akan menghadapi satu perasaan baru dalam hidup kamu, yakni kerinduan yang tak berpenghujung.

Tetapi jangan lupa untuk bergembira dan bersyukur atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah ke atas roh kedua-dua orang tuamu. Sesungguhnya kematian kedua-dua arwah dicemburui dan diingini oleh setiap roh yang mendambakan syurga Sang Pemilik Nyawa.

– KB (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *