Kematian Yang Indah

Aku nak cerita tentang perjalanan kematian mak aku. Allah itu sebaik – baik perancang. Dia sudah susun atur kematian mak aku dengan cukup indah.

Baiklah, aku cerita tentang diri aku dulu. Aku sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Dengan kuasa Allah, 5 tahun yang lepas aku tergerak hati untuk balik dan menetap di kampung.

Sebelum ini aku duduk di bandar KL mengikut suami bekerja disana. Di kampung aku duduk sekali dengan mak ayah yang semakin berusia.

Apa yang aku nampak, mak telah menunjukkan tanda – tanda kematiannya seawal 2 bulan. Ianya bermula dengan penyerahan hartanya.

Mak tiada la banyak harta hanya ada rumah yang kami duduki tu dengan barang kemas dan sedikit duit – duit dalam akaunnya.

Ketika itu cuti hari Malaysia adik beradik aku semua ada balik. Tengah kami adik beradik makan bersama dekat dapur tiba – tiba mak datang kepada kami.

Mak dengan muka sedih dan menangis beritahu tentang pembahagian hartanya.

Rumah yang kami duduk ni dia nak bagi kepada aku, barang kemas, duit bahagi sama rata adik beradik. Mak cakap dia takut sangat kalau mati nanti anak – anak bergaduh pasal harta.

Dia dengar ceramah ustaz Kazim tentang harta pusaka ni di tv. Sebelum ni ayah aku dah pesan banyak kali rumah ni tukar la nama kepada anak, tapi mungkin hati mak belum terbuka lagi.

Masa ni kami adik beradik belum perasan lagi tanda – tanda kematian mak. Inilah tanda pertama yang Allah tunjukkan.

Bila adik beradik aku setuju untuk serah rumah ini kepada aku, maka berlaku proses pertukaran nama.

2 minggu sebelum mak meninggal. Aku sekeluarga dengan mak terpaksa pergi ke Johor untuk melakukan proses pertukaran nama. Di sini berlakunya perkara yang tidak diingini.

Sewaktu mak keluar kereta untuk ke bangunan pejabat pentadbiran, dalam 10 langkah berjalan mak jatuh terduduk.

Ya Allah cemasnya aku. Padahal aku jalan seiring dengan mak. Mak hanya buka langkah perlahan sahaja.

Masa berjalan mak terkalih ke belakang dan ketika nak teruskan jalan badannya tak seimbang dan terus jatuh terduduk atas jalan tar yang rata.

Mak cakap macam ada orang memanggilnya dari belakang. Mungkin ketika ini malaikat maut sudah menyeru nama mak. Aku dan suami papah mak masuk kereta.

Walau ketika tu mak mengerang sakit. Aku selesaikan urusan di pejabat tanah dan terus bawa mak ke rumah abang aku yang berhampiran.

Sebenarnya mak lama tak pergi rumah abang aku yang seorang ni. Sebab mak jatuh lalu membawa mak ke rumah abang aku.

Rupanya itulah kali terakhir mak melihat rumah abang aku. Masa sampai, mulut mak tak berhenti minta maaf kepada abang, isteri dan anaknya.

Tanda – tanda kematian mak makin jelas tapi masa ni kami tak perasan lagi. Akhirnya Mak dimasukkan ke hospital akibat tulang pinggulnya patah.

Doktor tidak dapat melakukan sebarang pembedahan kerana faktor kesihatan mak ada darah tinggi dan kencing manis dan faktor usia umur mak 70 an.

Bermulalah episod hijab mak terbuka ketika duduk di hospital. Aku dapat teman mak ketika hari ke 3 mak di hospital.

Dari tengahari masa abang aku datang melawat mak cakap dia rasa takut sangat. Kalau boleh jangan tinggalkan dia. Sambil tu mata mak meliar memandang sekeliling wad.

Petangnya aku buat keputusan untuk bermalam dan menemani mak.

Malam pertama. Mata mak, Allah dah singkap hijabnya. Dalam pukul 10 malam, atas katilnya, mak tiba – tiba nampak ada bas kuning berhenti dan turunkan penumpang.

Waktu tu lampu sudah digelapkan hanya 1 lampu yang terpasang samar – samar cahayanya. Jiran – jiran sebelah katil mak sudah tarik tirai langsir untuk tidur.

Lepas bas kuning berhenti, mata mak terpandang semut hitam penuh kat dinding. Puas aku memujuk mak istighfar dan sama – sama baca surah pendek.

Mak ikut aku membaca tapi mata dia meliar memandang ke hadapan katilnya. Masa tu aku dah tarik langsir tepi katil dengan tujuan mak tak terpandang perkara lain.

Rupanya tidak juga, makin banyak yang mak nampak. Ada dia nampak budak – budak kecil tepi katilnya bermain – main.

Sampai dia cakap, ‘anak doktor tu agaknya kenapa la bawa masa bekerja. Bising je orang nak tidur’, marah mak aku.

Sekejap dia nampak orang tua duduk depan katilnya. Lepas tu hilang pula orang tua, mak nampak sungai deras yang hanyutkan kereta. Kesian orang dalam kereta tu kata mak. ‘Nor tak nampak ke’? Mak tanya kat aku.

Sumpah memang aku tak nampak semua yang mak cerita tu, depan aku kosong hanya tirai langsir berkibar ditiup angin.

Aku rasa masa tu mak macam dah keliru. Dunia sebenar dengan dunia yang terbuka hijabnya.

Mak ternampak cahaya terang depan katilnya padahal tiada, dikatanya cahaya lampu kereta abang aku nak bawa dia balik rumah. Sampai dia suruh aku tengok kat luar wad, kereta abang aku dah menunggu lama katanya.

Sekejap mak cakap macam dia kat rumah sendiri, sampai dia tanya bila nak pergi hospital.

Bila aku cakap kita dah kat hospital ni mak, eh yeke iyalah kat hospital dah mak tak ingat katanya. Memang mak keliru sangat malam tu.

Bila tanya aku tak takut ke, ada la juga tapi mungkin aku ni seorang yang kuat semangat, aku lawan ketakutan tu aku mengaji, baca surah – surah pendek. Sembahyang jangan tinggal sentiasa berwudhu sepanjang teman mak kat hospital.

Malam berlalu pagi muncul pula. Aku ingat cerita malam tadi tidak bersambung, rupanya hijab mak terus terbuka lagi.

Pagi tu bermula dengan Mak menangis teresak – esak rupanya dia didatangi arwah maknya yang sudah meninggal 40 tahun lepas, arwah ayahnya dan arwah mak angkatnya. Kesemuanya duduk depan katil mak.

Masa ni hari dah cerah dan langsir sudah ditarik ke tepi.

Aku cuba layan mak, arwah tok cakap apa mak sampai mak menangis ni? Mak cakap dia ajak mak ikut sekali tapi mak cakap pergi la dulu nanti mak menyusul.

Dia orang pakai baju apa? Semuanya serba putih bersih je muka dia orang kata mak.

Lepas tu mak banyak tidur mungkin malam tadi dia tak nyenyak tidur sebab terpandang semuanya. Sesekali aku baca yassin di telinga mak agar syaitan tidak terus menggoda mak.

Hati aku dah terdetik tanda – tanda kematian mak semakin hampir. Mak memang tak boleh ditinggalkan keseorangan.

5 hari 4 malam mak di hospital. Akhirnya doktor membenarkan mak pulang ke rumah.

Episod mak di rumah dengan hijabnya terbuka semakin panjang untuk aku cerita. Lain masa aku akan ceritakan sehingga mak menghembuskan nafasnya terakhir. Semua berlaku di depan mata aku.

Terima kasih sudi membaca sedikit coretan tentang mak.

Aku terpaksa menulis disini supaya aku dapat berkongsi dan meluahkan segala yang terbuku dihati aku. Perit rasanya hati kehilangan mak yang tersayang secara mengejut.

Doakan aku dan keluarga terus kuat menghadapi hari mendatang tanpa mak. Terima kasih.

– NB (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *