Kembali Mencari Tuhan

Assalamualaikum, terima kasih admin kerana sudi approved kisah `Kembali Hidup Mengganggur`. Boleh confession berkenaan di sini, (https://iiumc.com/kembali-hidup-menganggur/).

Tiada berita gembira yang dapat aku sampaikan dalam kisah kali ini. Aku masih mencari kerja tetap, dan allhamdullilah rezeki dari cabang yang lain makin bertambah.

Terima kasih kerana mendoakan aku sekeluarga. Mungkin berkat doa dari salah seorang atau kesemua anda kepada aku, Allah makbulkan dengan cara yang dia kehendaki. Allhamdulliah.

Aku bukanlah sepositif sepertimana yang korang sangkakan. Aku cuba untuk melakukan yang terbaik dalam sangkaan aku dengan sang pencipta. Kata Allah “Berjalanlah kamu dan lihat”, itu aku pegang dalam memuhasabahkan diri. Kisah mereka yang dirundun malang dan dugaan aku jadikan tauladan.

Kisah yang cukup memberi kesan mendalam kepada aku adalah perjalanan seorang ibu dan anak. Ya, itu ibu aku dan itu adik aku.

Aku merupakan anak pertama dari 5 orang adik beradik. Seperti mereka yang lain, selesai sahaja SPM aku berhijrah ke bandar. Sangat jarang aku pulang ke kampung, dan hanya kembali sekiranya ada cuti panjang.

Disebabkan itu, banyak perkara yang berlaku di kampung aku tidak aku ketahui. Aku Cuma dikhabarkan dengan cerita-cerita indah melalui perbualan jarak jauh aku dengan ibu. Selebihnya, tersimpan rapi dari pengetahuan anak-anak termasuk aku.

Anak buah berusia 4 tahun.

Ya, 4 tahun. 4 tahun ibu aku merahsiakan perkara ini dari pengetahuan kami adik-beradik yang lain. Akhirnya, apa yang disimpan terbongkar jua gara-gara adik bongsu yang entah dari mana dia tahu. Ayah kepada anak buah ini merupakan adik aku yang kedua.

Sebelum itu, aku ingin beritahu yang hubungan aku adik-adik terutamanya yang kedua ini memang bermasalah sejak dari zaman persekolahan lagi. Kami bergaduh besar bertahun-tahun lamanya sehinggalah aku ingin malam sebelum pertunangan aku dengan isteri.

Semuanya, salah aku dalam menegur adik-adik, aku melarang, namun biasalah darah kami masih muda, kami bertengkar dan bertumbuk, tidak bertegur siapa bukan sehari, tapi hampir 10 tahun walaupun membesar bersama.

Sedang aku dan ibu menyiapkan hantaran untuk hari bersejarah aku esok hari. Bunyi bising dari arah dapur kedengaran. “Abang, engkau tu sebenarnya sudah punya anak buah” jerit adik aku. Ada sedikit pertengkaran dia dan ibu.

Aku terpinga-pinga tidak tahu apa yang berlaku. Lalu jatuh air mata seorang ibu di depan anaknya, semua yang beliau cuba rahsiakan kini diketahui.

Aku bertanya apa yang dimaksudkan dengan kata-kata itu. Ibu menceritakan segala-galanya pada aku. “Alhamdulillah” jawab aku. Aku masih ingat ucapan itu, entah kenapa ungkapan syukur yang keluar dari mulut aku.

Rasanya tidak perlulah aku ceritakan secara detail apa yang berlaku, rasanya korang semua boleh faham. Setelah selesai majlis pertunangan, aku minta izin untuk berjumpa dengan Yusri (bukan nama sebenar), Ya, Yusri anak saudaraku.

Keesokannya aku dengan adik aku, ayah yusri, menuju ke rumah mertua beliau. Sepanjang 4 tahun perkahwinan mereka, adik aku dan isteri tinggal berasingan. Dia di rumah aku, isteri di rumah mertua. Perjalanan yang dekat terasa terlalu jauh, sangat janggal untuk kami berdua berada dalam kereta.

Setibanya kami disana, keluar seorang kanak-kanak yang comel, berseluar pendek, bertopi menggalas beg di belakang dan membawa botol air di tangan. Aku masih ingat saat itu.

Masuk sahaja yusri kedalam kereta, terus adik aku menghulurkan telephone bimbit yang sudah dimuat turun dengan cerita kartun kesukaan yusri. Adik aku memeluk dan melayan kerenahnya. Animasi kanak-kanak itu dia muat turun dari laptop di rumahku.

Sekarang aku sebagai seorang ayah cukup memahami perasaan itu, perasaan rindu dan animasi itu adalah buah tangan dia pada sianak. Itu yang dia mampu kerana terpaksa kahwin di usia muda.

Air mata aku mengalir melihat apa yang baru sahaja berlaku dihadapan aku. Adik yang aku kenal selamanya ini jauh sudah jauh berubah. Seorang yang panas baran, tidak suka kanak-kanak, tidak peramah. Itulah adik aku. Tetapi apa yang aku saksi tadi cukup jauh berbeza.

Aku cukup tersentuh, aku sedih selama ini aku tidak kenal siapa itu yusri. Selepas peristiwa itu, aku kerap ke rumah mertua adikku dan bermain bersama yusri, rezeki aku dapat juga aku wajibkan untuk membeli sedikit perbelanjaan harian yusri. Mungkin kerana aku sifat aku sukakan anak-anak kecil.

Dan mungkin sebab itu jugalah aku terkilan, dalam aku melebihkan anak orang lain, aku terlupa yang aku juga ada anak saudara yang patut aku jaga. Biarlah orang mahu bercakap, Aku tidak akan memandang hina, sekalipun apa status yusri, dia juga darah daging aku.

Hubungan aku dengan adik juga turut berubah, sekarang semua masalah yang dia cuba kongsi dan minta pendapat dari aku. Kini aku betul-betul seorang abang. Aku bersyukur dengan apa yang berlaku.

Kenapa baru sekarang?? Kenapa tidak diberitahu dahulu?? Kenapa ini semua terjadi?? Aku tidak salahkan siapa-siapa, baik ibu atau adik aku dalam merahsiakan perkara ini. Lain orang lain penerimaannya.

Kerana selepas isu ini diketahui keluarga terdekat, mereka marah dan memulaukan ibu, adik, mahupun yusri. Mereka tidak nampak keindahan apa yang berlaku. Mereka cuma menghukum zahir di mata, namun tidak menilai hikmah disebalik segalanya.

Bagi aku, kerana kesilapan yang telah adik aku lakukan itulah dia menjadi seorang manusia, siapa kita mahu menghukum pendosa. Membesarkan anak diusia muda bukanlah mudah. Banyak pekerjaan yang dia lakukan, dari kerja jalanan hinggalah menyambung pelajaran keperingkat atas.

Kerana mahu mengelak prasangka buruk, status diri beliau rahsiakan dari kawan-kawan dan pihak universiti. Cukup susah untuk hidup dengan kisah silam, tetapi dia mampu mengharunginya.

Jika dahulu seorang yang main-main, kini melakukan sesuatu bersungguh-sungguh untuk menyara keluarga. Jika dahulu pelajar yang dibuang dari pengajian kini menjadi pelajar cemerlang. Jika dahulu hidupnya dijalanan kini menjadi usahawan berjaya. Dahulu dipandang hina, kini semua menyanjung. Abang bangga dengan kau adik.

Jika itu ujian seorang anak, ujian seorang lagi berat yang ditanggung. Risau memikirkan akan masa depan anaknya yang seorang ini. Bermacam-macam masalah yang dilakukan seakan tiada kesudahan. Cemuhan orang sekeliling seolah tidak pandai jaga anak. Namun beliau tidak putus menitip doa buat adikku.

Tidak disangka doa yang seakan tidak didengar itu cuma ditangguh, sehinggalah sampai waktunya, Dia hadirkan musibah yang pahit dalam memberikan kemanisan di penghujungnya.

Apa yang aku perhatikan ketika itu, ibu aku cukup tenang menghadapinya. Tidak menyisih anak dari keluarga sekalipun cukup perit untuk ditelan. Makian dan cacian dihadapi dengan tabah.

Malah ketika semuanya berlaku, ibulah yang menjadi pendamai kedua-dua keluarga dan membimbing adik aku kembali. Lain benar dari kisah yang pernah aku dengar dan aku lihat dari drama melayu.

Adik dan ibulah yang mengajar erti kehidupan menjadi seorang manusia hidup bertuhan. Dugaan mereka lebih hebat jika dibanding dengan aku. Jika aku diuji sebegitu mungkin aku akan putus asa dengan rahmat Tuhan dan lari dari jalannya.

Apa yang aku boleh simpulkan, begitu indah susunan sang pencipta buat hambanya. Kita mungkin menginginkan sesuatu yang baik datang dari sesuatu yang indah. Namun, dikemudian hari apa yang kita sangka berlaku sebaliknya.

Kita tidak tahu pengakhiran episod yang panjang ini. Jangan sesekali berburuk sangka dengan Allah, kerna Allah itu bersama dengan apa yang engkau sangka. Buruk yang kita fikir, buruk juga Allah kurniakan.

Dan janganlah engkau fikir engkau dikalangan mereka beriman selagi engkau bersenang-senang. Sebaik-baik sabar terletak pada yang awal. Seawal ketika disampaikan berita musibah. Sepertimana, sebaik-baik sedekah, adalah ketika kita juga turut memerlukan.

Berjalanlah kamu dan lihat, apa yang berlaku itu semuanya dengan rahmat Tuhan. Ia terserah pada acara penerimaan seseorang. Sekali pun kita seorang pendosa jangan sesekali menutup pintu taubat, Dia itu maha pengampun.

Ya, aku tahu semua ini susah untuk kita lakukan, kita manusia yang punya perasaan, bukan malaikat yang hanya menurut perintah. Berkata-kata memang mudah, namun sama-samalah kita mencuba menjadi manusia yang lebih baik.

Terima Kasih…

– Faizal (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *