Kemewahan Yang Menjadi Ujian

Mungkin kisah aku tidaklah secomplicated orang lain. Kisah aku bukan semata-mata mengenai hal rumah-tangga. Aku sudah berkahwin lebih 10 tahun dan mempunyai dua orang anak.

Sebelum berkahwin aku bekerja kerajaan dengan gred yang rendah walaupun berkelulusan ijazah. Skop pekerjaan aku pula tidak berkaitan dengan kelulusan aku. Aku berkahwin setelah 6-7 tahun bekerja.

Waktu itu, isteriku bekerja di unit lain tetapi dijabatan yang sama. Rezeki isteriku agak luas hingga sekarang. Habis belajar dia mendapat jawatan professional dan sekarang menyandang jawatan timbalan pengarah di jabatan lain. Aku pula masih dikumpulan sokongan.

Aku akui, berkahwin dengan dia bukan disebabkan faktor ikhlas semata-mata, tetapi lebih kepada kebendaan. Keluarga isteri pula memang dari golongan berada.

Semasa awal perkahwinan, aku selalu berdoa agar dimurahkan rezeki sebab aku malu dengan isteri. Kebanyakan perbelanjaan dia yang tanggung. Tetapi itu lah, rezeki aku masih begitu.

Aku pelik melihat adik beradik isteri ku, rezeki mereka agak mencurah-curah. Habis sahaja belajar, kesemua adik-beradik isteriku ditawarkan dengan pekerjaan yang bergaji lumayan, mampu beli kereta baru, rumah baru, sama seperti isteri aku.

Isteriku juga telah membeli rumah semasa dia bujang lagi. Berlainan dengan keluarga sebelah aku. Hidup kami cukup-cukup makan dan kadang-kadang tidak cukup.

Adik-beradik aku walaupun telah bekerja dan berkahwin, masih meminjam wang dari ibuku, padahal ibuku hanya seorang suri rumah yang mengharapkan hasil kebun.

Ayah aku, jangan cakap la, katanya memang tiada duit, padahal dia mempunyai wang pencen sebenarnya. Tapi mulutnya sentiasa kata tak cukup duit. Ungkapan ‘duit dah habis’ ibarat zikir harian dia.

Aku ada bertanya kepada bapa mertuaku, petua-petua yang boleh diamalkan. Tetapi katanya tidak mengamalkan apa-apa kecuali sentiasa berdoa, yakin dengan Allah dan bersedekah.

Mulanya aku kurang percaya, tetapi bila aku teliti satu perkara mengenai keluarga isteri ku, mereka memang rajin bersedekah termasuk isteri.

Setiap bulan setiap kali gaji, isteriku pasti akan bersedekah di mana-mana badan kebajikan dan apabila pulang ke kampung dia mesti hulur duit untuk ibu bapanya dan ibu bapaku.

Pada awal perkahwinan aku agak janggal kerana aku tidak pernah menghulurkan duit untuk ibu bapaku kecuali hari raya. Setelah berkahwin, isteri aku yang mengingatkan aku untuk hulurkan duit apabila pulang ke kampung.

Dipendekkan cerita, aku pun mula mengamalkan konsep bersedekah setiap minggu, biasanya bersedekah di masjid pada setiap hari jumaat.

Hasilnya, rezeki ku agak luas, perniagaan online yang aku jalankan bersama rakan-rakan memang menjadi. Setiap bulan, tiap-tiap orang akan memperoleh 10k-15k. Tetapi itulah, silapnya, aku lupa diri dengan kemewahan tersebut.

Tak perlu aku ceritakan kejahatan yang aku dah buat. Walaupun aku ada memberikan wang keuntungan tersebut kepada isteri dan ibu bapa aku, tetapi disebabkan kejahatan yang aku lakukan itu, rezeki yang luas itu hanya bertahan selama setahun.

Mungkin disebabkan aku beristerikan seorang perempuan yang taat kepada suami dan agama, Allah lindungi isteri aku dari terus mempunyai suami yang jahat.

Selepas kejahatan aku diketahui isteri, aku tinggalkan aktiviti jahat aku tetapi selepas beberapa bulan selepas itu kehidupan aku serta-merta kembali seperti dulu, hanya cukup-cukup makan sahaja.

Perniagaan aku tak menjadi walaupun telah menggunakan pelbagai strategi. Aku mula rasa betapa sempitnya akaun aku walaupun aku tetap bersedekah.

Mungkin Allah tahu niat aku bersedekah sebenarnya tidak ikhlas. Betullah bapa mertua kata, rezeki ni kadang-kadang adalah ujian. Dan aku adalah orang yang diberi ujian dengan dikurniakan rezeki yang melimpah secara tiba-tiba.

Dan sekarang aku sedar, aku adalah hamba yang tidak layak untuk dikurniakan rezeki yang luas seperti isteri. Aku tidak amanah dalam mengendalikan rezeki yang dikurniakan.

Walaupun kejadian ini sudah berlalu 5 tahun, aku sangat menyesal bila teringat kembali betapa aku lalai dan leka dengan rezeki yang pernah dilimpahkan olehNya.

Kadang-kadang terdetik dalam hati aku, kalaulah aku tidak lalai dan leka, mungkin rezeki ku semakin melimpah ruah dan mampu mewahkan isteri dan anak-anak.

Dalam doaku, aku mohon agar Allah luaskan rezekiku seperti dahulu dan pegang hatiku agar tidak mengulangi kejahatan yang dulu. Tetapi doaku masih belom dimakbulkan.

Mungkinkah Allah tahu yang aku masih belom mampu untuk menghadapi ujian kemewahan tersebut atau mungkin juga ini adalah kifarah kerana pernah menganiaya isteri degan perbuatan jahatku dulu. Sesungguhnya aku sungguh menyesali perbuatan aku yang dulu.

Doakan agarku menjadi soerang hamba yang baik dan mampu memberi kebahagiaan dan kemewahaan untuk isteri dan anak-anakku.

– Mr. Jo (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *