Assalamualaikum. Aku tak pernah sangka yang aku akan menulis untuk bacaan IIUM Confession. Bukan nak kata apa, tetapi selama ini memang aku rasakan yang kebanyakan tulisan di sini adalah remeh dan picisan. Tapi lama kelamaan, aku sedar bahawa setiap luahan itu ada sekelumat mesej yang ingin disampaikan. Aku sendiri tergerak oleh beberapa penulisan di sini dan atas sebab yang sama; aku ingin kongsikan pengalaman aku sendiri agar dapat kita semua bermuhasabah diri.
Sebagai pengenalan, aku nak ceritakan serba-sedikit berkenaan latar belakang keluarga aku.
Syukur Alhamdulillah, keluarga aku ini boleh dikategorikan sebagai keluarga “middle-class, working professionals” yang berjaya. Selain daripada isu-isu kebiasaan sesebuah keluarga, keluarga aku tidak ada masalah-masalah besar yang boleh menggugat keharmonian. Kami tidak mewah tetapi kami jarang-jarang tidak boleh miliki apa yang kami mahukan. Rumah kami selesa, kereta dan motor bermacam jenis, dan kesemua adik-beradik aku mendapat pendidikan tinggi tanpa perlu mengambil sesen pinjaman mahupun biasiswa. Bukan sahaja yang asas, ibu bapaku juga mampu untuk memberi lebih seperti perbelanjaan untuk ke kelas muzik, pendidikan swasta dan ‘international’, dan juga untuk kami sekeluarga mengambil angin di dalam dan luar negara. Dari segi luaran, memang kami sekeluarga hidup harmoni dan ibu bapaku memang dihormati dengan sikap tanggungjawab, pemurah dan budi pekerti mereka dalam kalangkan rakan-rakan dan ahli keluarga terdekat.
Aku merupakan yang sulung dalam keluarga yang besar ini; kesemuanya lelaki kecuali seorang perempuan. Aku terpaksa menulis perihal ini kerana aku sudah putus asa dengan sikap ketidakpeduli adik perempuan aku yang seorang ini. Aku juga berharap agar satu hari nanti, dia akan sedar dan terkesan daripada luahan hati aku ini kerana dia juga merupakan seorang pelajar IIUM. Kalau pun hasrat itu tidak tercapai, aku berharap kita semua dapat bermuhasabah diri dan elakkan daripada mengulangi kesilapan yang sama.
Untuk menyenangkan pembaca, aku namakan adik perempuanku ini sebagai ‘H’. H ini merupakan seorang yang pendiam dan suka memendam perasaan. Sebagai satu-satunya anak perempuan dalam keluarga kami, sudah tentunya H dijaga bagai menatang minyak yang penuh. Segala tuntutan H akan cuba dipenuhi, terutamanya oleh bapaku. Ibuku pun memang sayang teramat kepada H sebagai anak perempuan tunggal. Tapi yang membuatkan aku tidak boleh terima adalah sikap ‘kurang adab’ dan ‘kurang ajar’ H ini kepada ibu bapaku dan ahli keluarga yang lain, walaupun setelah cukup serba serbi.
Pada mulanya, aku boleh faham bahawa sikapnya yang ‘introvert’ itu menyukarkan H untuk berinteraksi. Tetapi lama kelamaan, aku sedar bahawa sikapnya yang suka bermasam muka, perengus, pemalas dan tidak peduli itu hanya ditunjukkan kepada kami. Sejak dia mula menjadi pelajar di IIUM, pada mulanya aku agak terkejut bagaimana dia boleh ada sebegitu ramai kawan–memandangkan sikapnya yang “I don’t give a damn” yang begitu mencalar imej keluarga kami.
Tetapi siapa sangka H ini rupa-rupanya senang beramah mesra, suka bergelak tawa dan amat bermurah hati pula dengan kawan-kawan, sehinggakan sanggup menjadi ‘drebar’ kepada kawan-kawan untuk ke Wangsa Walk, Suria KLCC dan sebagainya.
Untuk aku pendekkan gambaran perangai H ini, kami sekeluarga tidak pernah berharap untuk H menolong dalam kerja-kerja rumah kerani kami tahu yang H tidak akan ambil peduli untuk melakukannya dengan ikhlas. Ibuku seringkali menangis memikirkan perangai H yang tidak akan tunjuk muka sekiranya ada tetamu di rumah. H akan hanya menguncikan pintu biliknya sehingga semua tetamu beransur pulang, biarpun berhari -hari lamanya. Ada kalanya saudara-maraku yang ingin menumpang semalaman di bilik H terpaksa mengetuk pintu H berkali-kali dan memohon izin bagaikan orang asing, kerana mereka amat berjaga-jaga dengan perangai H yang tidak boleh dijangka itu. H juga akan menarik ‘muka masam’ apabila diperlukan untuk berdepan dengan tetamu-tetamu yang ada, seperti ketika sambutan Hari Raya. Untuk seorang yang sudah pun berumur 21 tahun, kadang-kala ibuku terpanggil untuk menaikkan suara dan menampar H kerana berulang-kali memalukan ibu bapaku di hadapan ahli-ahli keluarga yang lain. H tidak akan bersalaman dan menegur sesiapa jika tidak dipaksa oleh kami. Tetapi H tetap berbuat bodoh dan terus menerus melakukan perkata yang sama.
H hidup dalam dunianya sendiri dengan kawan-kawan dan di dalam biliknya yang berkunci sentiasa. Ada kalanya, kami akan hanya bertentang mata dengan H apabila tibanya waktu makan. H akan turun dengan mukanya yang masam, dan memberikan komen sekiranya dia suka atau tidak suka dengan apa yang telah dimasak ibuku, sebelum dibawanya lauk dan nasi ke bilik. Aku pun tidak faham kenapa dia begitu benci untuk berada dalam kalangan kami sampaikan dia sanggup untuk menjamah makan malam pada pukul 11 atau 12 malam agar H tidak perlu berjumpa dengan siapa-siapa pun di ruang TV dan ruang makan.
Baru-baru ini, H terlepas ‘deadline’ untuk mendaftarkan dirinya menetap di Mahallah. Tapi dengan perangai H yang mementingkan diri sendiri, dia sedikit pun tidak kisah dengan masalah lojistik untuk ke IIUM yang sejauh 40 km dari rumah kami. Nak tak nak, bapaku terpaksa bersetuju untuk H berulang-ulang alik dari rumah setiap hari sama ada dengan memakai kereta ibuku, kereta keluarga, ataupun kereta aku sendiri. Yang membuatkan aku bengang, H boleh pulak ada hati untuk ‘claim’ segala perbelanjaan tol dan minyak dengan tanpa ada perasaan malu daripada bapaku.
Itu belum lagi bila H cuba memujuk-memujuk lembut untuk mendapatkan duit belanja ‘travel’ ke luar negara, beli barangan berjenama, dan untuk menukar-nukar kaca mata ‘hipster’nya.
Ada kalanya, H akan pulang lewat sekitar 10, 11 atau 12 malam. Katanya ada ‘group discussion’ dan latihan ‘ko-kurikulum’; entah betul atau tidak. Kerana begitu sayangkan H, kedua ibu bapaku akan menunggu bagaikan tunggul di ruang tamu sehinggalah H selamat tiba di rumah. Dengan tanpa belas kasihan dan muka tidak tahu malu, H akan masuk ke dalam rumah, letakkan kunci kereta dan terus mencari makanan ataupun naik ke biliknya tanpa bertegur sapa dengan kedua ibu-bapaku.
Ibuku seringkali tertekan memikirkan perangai H. Sebagai anak yang sulung, aku dengarkan sahaja luahan ibuku itu. Ada juga ibuku menyuruh aku nasihati H agar sedar sebelum terlambat dan sebelum jatuh ‘derhaka’.
Tetapi…bukan senang untuk menasihati orang yang berego tinggi dan keras kepala–lebih-lebih lagi dengan adik perempuan aku sendiri. Apa yang boleh aku lakukan selain daripada berkata-kata? H sudah berumur 21 tahun dan sepatutnya faham dengan tuntutan logik akal dan adab.
H akan sekeras-kerasnya menafikan kesalahannya dan mula menyalahkan ibuku sebagai seorang yang ‘sensitif’. Bukan sekali-dua, tetapi acapkalinya dia akan memalingkan muka yang masam itu dan tidak sudah-sudah mengatakan “Mana ada!” apabila ditegur bapaku ataupun oleh aku sendiri.
Baru-baru ini, H terlibat dalam satu kemalangan jalan raya dalam perjalanannya ke IIUM. H merupakan seorang pemandu yang “reckless” dan suka memandu laju di bahagian kanan sekali lebuhraya. Untuk pendekkan cerita, H gagal membrek dengan cekap sebelum melanggar kereta di hadapan. Kereta yang didaftarkan di bawah nama aku itu rosak teruk dan tidak boleh diperbaiki lagi, dan adik bongsuku (yang sedang tidur di bahagian belakang) mengalami pendarahan di bahagian hidung dan bibir. H sendiri mendapat benjolan besar di bahagian dahi.
Bagi aku, H sudah cukup bernasib baik untuk tidak mati “on the spot” kalau ikutkan kelajuan kereta yang dipandu H. Masalahnya, ini bukan kali pertama, tapi kali kedua H terlibat dalam kemalangan yang lebih kurang serupa kerana suka memandu laju.
Kami berulang-ulang kali menasihati H untuk menjadi pemandu yang lebih berhemah, tetapi H tetap mengatakan yang dia tidak bersalah dan bukannya punca kepada kemalangan itu. Hanya selepas bermulanya penyiastan polis dan pihak insurans H akhirnya mengaku bahawa dia tidak memandu dengan cukup berhati-hati pada ketika itu…
Walaupun begitu, kami tetap maafkan H–dengan harapan dia akan berubah dan tidak begitu berdegil untuk belajar daripada kesilapannya. Malangnya, perangai H langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan. Hari keesokannya, H dengan tanpa rasa malu pergi menonton wayang sehingga larut malam.
Seperti yang aku ceritakan, bapaku tidak sanggup untuk membiarkan H mengalami sebarang kesusahan untuk ke IIUM. Kerana sayangkan sangat kepada H, bapaku telah bersetuju untuk membelikan sebuah MyVi untuk kegunaan H berulang-alik ke IIUM. Tanpa sebarang penyesalan atau ucapan terima kasih, H hanya “buat bodoh” seperti tiada apa yang berlaku.
Kalau ada seperkara tentang H ini, ‘deep down’ dia masih hanya seorang perempuan biasa yang mahukan perhatian dan kasih sayang. Jadi, H hanya akan melayan dan berbual dengan ibuku apabila dia ada konflik percintaan, soal rasa hati dan ‘crush’ kepada orang lain.
Dalam kepala & hati aku, aku terfikir bagaimana seorang yang begitu “heartless” boleh tergerak untuk mencintai orang lain tanpa ada sedikit kasih dan sayang kepada keluarga sendiri? Bagaimana seseorang yang menagih perhatian dan cinta seorang lelaki tidak boleh berfikir bahawa dia sendiri tidak pernah melayan tagihan kasih sayang ibu bapa dan adik-beradik sendiri?
Tetapi kerana sayangnya akan H, ibuku sentiasa memainkan peranannya dengan lembut hati dan ikhlas sekali. Situasi ini boleh membuatku menangis melihat betapa sucinya kasih seorang ibu itu kepada anak yang selama ini tidak pernah peduli akan rintihan ibuku. Kadang-kadang, ibuku akan tidur bersama H sebagai peneman kesedihan H yang hanya “mengejar bayang-bayang sendiri” dalam alam percintaannya.
Setelah sekian lama berduka kerana lelaki yang seorang ini, akhirnya H menemui pasangan yang baru. Aku namakan lelaki ini sebagai ‘R’. Sebelum ini, ibuku sentiasa berdoa agar H dapat menemui pasangan yang dapat membawa nilai positif kepada H.
Tetapi sebagai seorang yang pragmatis, aku sentiasa berkongsi pandangan dengan ibuku bahawa ‘relationship’ tidak boleh dijadikan sebagai pemangkin untuk kita berubah jikalau hati itu sendiri tidak bersedia untuk menjadi seseorang yang lebih baik. Aku juga katakan kepada ibuku bahawa semasin-masin doa ibu pun, “ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.” Allah akan turunkan pembalasan pada bila-bila masa, termasuk dalam konteks kehidupan semasa.
Setelah sekian lama memerhati, memang benar sangkaanku.
Walaupun R ini dikatakan sebagai orang yang ada budi pekerti, tetapi mungkin kerana latar belakang keluarganya yang suka bercakap kasar loghat Negeri Sembilan/Melaka, aku ada terdengar H mengadu kepada ibuku bahawa R tidak akan teragak-agak untuk memanggilnya “sial” dan meninggikan suara, sebagai contohnya. Itu baru perkara yang aku tahu, belum lagi perangai-perangai lain yang tidak pernah diceritakan oleh H kepada ibuku.
Sebagai penamat kepada luahan hati aku ini, aku berharap kita semua dapat merenungkan kembali hubungan kita dengan ibu bapa dan keluarga. Aku percaya bahawa sebaik mana pun rebung dibentuk, kata pemutusnya sentiasa berada di tangan kita. Kalau keluarga yang beriman tidak boleh mewariskan imannya, begitu juga dengan hati kita. Perangai yang buruk itu datangya daripada hati yang kotor dan hanya kita sendiri boleh menyucikan kekotoran itu, dan bukannya doa ibu, wang ringgit, mahupun persepsi orang lain.
– Abang
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit