Kenali Autisme

Assalamualaikum & salam sejahtera kepada semua pembaca. Pertama sekali saya perkenalkan diri sebagai Dyra sahaja, berumur lingkungan 30-an dan mempunyai seorang anak.

Kebelakangan ini confession iium ini selalu menceritakan tentang kisah lelaki pilihan, wanita pilihan, duit hantaran, kumpul duit nak kahwin dan yang berkaitan. Itu memang tak dinafikan akan ada dalam benak fikiran anak-anak muda sekarang terutama yang merasakan diri telah benar-benar bersedia melangkah ke alam rumahtangga.

Tetapi tahukah anda bahawa akan lebih banyak perkara yang besar akan berlaku selepas perkahwinan malahan ada yang tak diduga sama sekali.

Berbalik kepada tajuk di atas, saya dan suami adalah insan yang diduga mempunyai anak autisme. Perkara yang sungguh tak dijangka memandangkan anak yang dilahirkan tiada masalah kesihatan, tidak pernah masuk hospital sehingga kini dia telah berumur 5 tahun. Saya masih tidak tahu apa punca sebenar tetapi sewaktu dilahirkan anak mengalami kuning berterusan selama sebulan. Terapis cakap mungkin ini puncanya walaupun tiada kepastian.

Ciri-ciri autisme anak saya yang mungkin berlainan dengan anak-anak autisme lain (sebab autisme ni banyak spektrum jadi ciri-ciri ada yang tak sama) :-

1) languange delay (percakapan masih ditahap 1-2 tahun)
2) sentiasa berjalan/bergerak walaupun tengah menonton tv (sebab dia juga hyperactive)
3) kurang bergaul dengan rakan sebaya (kalau budak kecil lagi dia tak suka)
4) tiba-tiba mengamuk, kadang-kadang ketawa

Kes autisme ni semakin meningkat saban hari. Kalau anda semua di sini terutamanya muda-mudi yang tengok ada kelakuan anak-anak yang pelik contohnya mengamuk dikedai makan atau pasaraya janganlah mudah menghukum
mengatakan ibu bapa tidak pandai didik anak. Mungkin anak-anak tersebut adalah penghidap autisme. Percayalah kami sentiasa berusaha memberi didikan terbaik buat anak kami.

Perlu diketahui juga bahawa kos terapi bukan murah dan tidak semua ibu bapa mampu untuk bawa anak ke terapi swasta. Kebanyakannya ramai yang hanya mampu membawa anak untuk terapi ke hospital kerajaan sahaja (mudah-mudahan rezeki kami dimurahkan dalam usaha membesarkan anak syurga ini)

Pandangan masyarakat satu lagi masalah yang kami hadapi. Keluarga sendiri pun tidak cuba untuk memahami apa itu autisme padahal maklumat hanya dihujung jari. Yang disibukkna selfie sana-sini, upload gambar sedihlah, tersengihlah, nak tidurlah etc. Lepas tu setiap kali balik dari hospital terus tanya dah sihat ke belum?
Autisme bukan penyakit yang ada tempoh masa sembuh. Autisme adalah simptom yang kalau diperhatikan betul-betul baru boleh perasan ada kelainan dalam diri penghidapnya. Ubatnya adalah terapi yang berterusan sama ada dihospital kerajaan, swasta atau terapi persendirian. Ada yang cakap mereka lembap/bodoh tetapi mereka bekerja keras untuk naik sama taraf dengan anak-anak tipikal. Satu perkataan yang dapat disebut oleh mereka adalah hadiah paling bermakna bagi kami ibu bapa yang menghadapi ujian ini.

Kepada muda-mudi terutamanya yang merancang untuk berkahwin, jangan dibazirkan terlalu banyak duit untuk majlis perkahwinan dan kalau boleh elakkan daripada membuat pinjaman daripada mana-mana pihak. Lebih baik anda tumpukan rancangan selepas berkahwin kerana ujian seterusnya akan bermula selepas itu.

Terima kasih
Dyra

– Dyra

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit