Kenangan Yang Menyakitkan

Assalamualaikum, nama saya Delia. Bukan nama sebenar. Maaf tulisan berterabur sebab saya bukan penulis. Namun saya berharap agar luahan saya ini dapat dipaparkan. Saya tidak boleh mengadu kepada sesiapa.

Cerita saya bermula 40 tahun yang lepas. Ayah saya masa itu hanya kerja kampung. Ada kerja, ada duit. Ibu pula suri rumah. Kami ada 10 adik-beradik.

Hubungan kami dengan ayah sangat renggang kerana ayah seorang yang garang.

Abang pernah diikat dekat pokok limau yang penuh dengan semut merah, kakak dilempar dengan piring kaca hingga berdarah kepala, manakala saya pernah digantung dekat pintu dengan tali pengikat kerbau. Jadi kami tidak pernah ada kenangan indah dengan ayah.

Namun begitu, keluarga kami masih bersama walaupun tidak berjalan mulus sehinggalah kehadiran orang ketiga.

Ayah jatuh cinta kali kedua kepada mantan kekasihnya yang baru kematian suami. Janda anak enam. Ayah mula mengabaikan isteri dan anak-anaknya.

Ibu sempat berpoligami selama beberapa bulan sehinggalah ibu akhirnya menuntut cerai kerana ayah sama sekali tidak memberi nafkah dan lebih mengutamakan isteri dan anak-anak tirinya.

Ibu akhirnya ambil keputusan untuk pindah ke kampung nenek dan menumpang tinggal di rumah kakak iparnya.

Adat menumpang, memanglah tidak disenangi orang. Dengan anak yang ramai, akhirnya ibu dapat menumpang di rumah kosong yang tiada bilik, elektrik dan tiada air paip.

Bermacam-macam kerja yang ibu buat agar kami dapat meneruskan kehidupan dan persekolahan. Namun tekanan demi tekanan menyebabkan kakak-kakak dan abang juga adik tidak sanggup meneruskan persekolahan.

Kakak-kakak saya memilih untuk berkahwin awal untuk mengurangkan beban ibu. Seorang adik lelaki memilih untuk tinggal bersama ayah. Hanya saya dan seorang adik yang berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Ayah kami selama itu langsung tidak pernah menghulurkan bantuan. Saat dia senang dan berduit hanya untuk isteri, anak-anak tiri dan anak-anak baru dengan isterinya.

Setiap kali anak-anak datang minta bantuan, ayah dan ibu tiri akan bagi alasan tiada duit walaupun kereta baru, TV besar, peti sejuk besar dan rumah baru renovate. Tetap tiada duit.

Masa berlalu, ibu telah meninggal. Ayah semakin tua dan sakit-sakit. Anak-anak baru ayah menuntut agar kami turut sama menjaga ayah di hospital. Adil dalam membeli keperluan ayah.

Persoalannya, di mana ayah saat kami menderita? Di mana ayah saat kami kesusahan? Di mana ayah saat kami tidak punya apa-apa?

Bagi saya, masa memang berlalu tapi luka yang ayah beri tidak pernah sembuh dan masih menyakitkan.

– Delia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *