Assalamualaikum pembaca semua. Sebenarnya aku suka menulis di sini sebab boleh baca respons daripada korang melalui komen. Terima kasih admin jika siarkan penulisan aku kali ini.
Cerita ni mengenai kenangan yang tidak dapat aku lupakan seumur hidup. Lebih kepada bad memories zaman kanak-kanak.
Kisah ni berlaku pada tahun 2003 ketika aku baru darjah 2 di persekolahan. Aku membesar di utara tanah air. Bapaku seorang penoreh getah manakala mak aku seorang suri rumah.
Dulu-dulu murid yang miskin diberikan bantuan makanan di sekolah iaitu RMT. Murid-murid yang layak perlu makan di kantin pada waktu pagi. Aku salah seorang penerima RMT.
Nak dijadikan cerita, makanan RMT di sekolah aku sangatlah tak sedap.
Bukan aku tak bersyukur, tapi faham-fahamlah budak mana suka makanan yang tak sedap. Hidangan yang disediakan cuma ayam masak kicap sebesar ibu jari kaki dan nasi penuh pinggan tanpa kuah.
Waktu tu badan aku kecil sangat, orang ingat baru 6 tahun sebab aku kecil. Jadi aku selalu tak dapat habiskan makanan RMT sebab portion dia besar dah macam portion orang dewasa.
Ada satu hari tu cikgu lain ambil alih RMT, cikgu sebelum ni bertimbang rasa sikit. Tapi cikgu baru ni sangat-sangat garang ya. Aku pernah dengar dia luku kepala murid sampai berdarah sebab terkena cincin dia.
Jadi bila dia start incharge RMT, dia tetapkan undang-undang yang RMT wajib diambil oleh setiap murid yang layak dan wajib habiskan makanan.
Sesiapa yang makan tidak habis tidak dibenarkan pulang ke kelas dan akan dikenakan hukuman. Aku ni budak yang pendiam, jadi aku takut sangat-sangat dekat dia.
Hari pertama cikgu tu incharge RMT, aku menggigil sambil makan sebab aku memang selalu makan tak habis.
Jadi aku dah dapat agak mesti dia akan marah aku. Lama-kelamaan semua kawan-kawan aku habiskan makanan dan terus keluar daripada kantin.
Tinggal lah beberapa orang yang makan perlahan-lahan termasuk aku. Tiba-tiba aku teringat yang sebentar lagi waktu pendidikan islam, ustazah tu garang sangat.
Kalau aku terlewat masuk kelas habislah aku. Jadi muncul lah satu idea. Disebabkan tak dapat habiskan makanan, aku buang nasi ke bawah meja. Aku ingatkan aku selamat. Tapiiii…
Ada seorang budak depan aku ni menjerit. “Cikguuuu. Dia ni buang nasi bawah meja” sambil tuding jari pada aku. Bammm!! Rasa macam ada kilat sambar menyambar tiba-tiba.
Cikgu yang incharge untuk RMT tu terus melulu pada aku dengan muka bengisnya.
Lalu dia tarik tangan aku sehingga jatuh kerusi. Semua orang pandang aku termasuk makcik kantin. Dia sumbat nasi yang ada di bawah meja tu dalam mulut aku sambil aku meraung macam kena histeria.
Tergamak dia buat macam tu sedangkan aku baru berusia 8 tahun.
Memang aku bersalah, tapi dia tak patut buat macam tu.
Lepas tu dia halau semua budak masuk ke kelas. Tak adil bukan? Tinggallah aku seorang dalam kantin. Dia paksa aku berdiri atas kerusi sambil makcik kantin cuci lantai.
Seingat aku waktu tu tudung aku comot terkena sisa nasi. Mulutku masih bersisa sebutir dua nasi.
Menangis? Tak. Sebab aku dah puas meraung. Cuma masih tersedu-sedu mengenang nasib.
Aku rasa aku dipaksa berdiri di atas kerusi bermula jam 7.30 pagi sampai 9 pagi. Itupun sebab ada cikgu lain suruh Cikgu RMT tu lepaskan aku.
Sebelum aku turun daripada kerusi, cikgu RMT tu paksa aku tengok muka dia dan dia bagi amaran kalau aku buat lagi macam tu dia akan pukul aku. Aku menangis sampai ke kelas.
Sepanjang perjalanan nak ke kelas tu semua budak tengok aku macam aku ni penjenayah. Seharian aku bersedih. Sampai waktu rehat pun aku tak keluar kelas. Balik rumah terus demam 2-3 hari.
Sejak daripada tu aku jadi semakin pendiam, penakut, dan mudah menangis. Aku tak pernah beritahu sesiapa mengenai hal ni termasuk mak ayah aku.
Mak aku pernah tanya kenapa tudung comot, aku cakap aiskrim tertumpah kena tudung. Aku takut mak aku marah.
Dulu-dulu budak-budak semua takut nak mengadu dekat mak ayah. Bukan macam sekarang ni. Cikgu pun slumber saja pukul anak orang. Mungkin sebab sekolah luar bandar kot. Semua murid-murid dari golongan miskin.
Pengajaran daripada kisah ni, kalau korang jadi cikgu. Tolong jangan bagi hukuman yang terlalu berat dekat murid.
Jangan malukan murid sampai tahap yang teruk sebab korang boleh rosakkan mental murid tu sama macam apa yang aku dah lalui. Kenangan zaman kanak-kanak aku jadi buruk disebabkan dia. Aku trauma sampai sekarang.
Buat Cikgu Hashim (bukan nama sebenar), mungkin cikgu dah pencen sekarang. Tapi saya masih menanti permohonan maaf daripada cikgu.
Cikgu dah b*nuh self esteem saya. Dah 18 tahun berlalu tapi saya tak pernah lupakan muka dan perbuatan cikgu.
Disebabkan cikgu, saya kehilangan kawan-kawan dan harga diri. Saya membesar menjadi orang yang tiada keyakinan langsung. Nak order makanan di KFC pun takut nak buka mulut. Suara tak keluar.
Setakat tu dulu cerita aku. Maafkan aku jika ada tersalah tulis. Aku cuma nak luahkan apa yang terbuku di hati sekian lama. Terima kasih
– Malina (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit