Kenapa Ayah Buat Begini?

Assalamu’alaikum, aku N. Berasal dari KL tapi kini menetap di Pantai Timur atas urusan kerja. Aku ada lapan orang adik beradik, mak suri rumah dan cuma ayah yang bekerja, lagi beberapa tahun nak pencen.

Tujuan aku menulis ialah untuk meminta pandangan kalian dan awal lagi aku ingin tegaskan yang aku tak perlukan komen sarkastik tidak membina untuk post aku ni. Simpan sahaja komen sarkastik kalian tu di sebalik akaun palsu diam-diam.

So, kisahnya ayah aku seorang lelaki Melayu tipikal yang mana pada pemikirannya lelaki ialah raja dan perempuan mesti patuh dengan arahannya, kalau tak tak bau syurga. Oh ya, ayah aku ni ustaz. Tapi tu luaran je. Hakikatnya kami adik beradik dan mak mangsa kekejaman topeng ustaznya itu.

Ayah seorang yang financially incompetent, hutang keliling pinggang dan suka mengharap pemberian orang atas dasar ‘anak aku ramai orang patut tolong aku, dapat banyak pahala.’ Kewangan kami memang sempit tapi alhamdulillah berkat doa mak kami berjaya melanjutkan pelajaran dengan biasiswa. Dan, dengan duit biasiswa kamilah kami gunakan untuk bayar yuran adik-adik di sekolah, beli barang dapur, bayar bil rumah dan sebagainya.

Duit ayah? Entah. Kami tak berani persoal. Makian, tamparan, lemparan objek berdekatan dan pukulanlah jawabnya. Kami adik beradik tak pernah berani minta duit sejak kecil sebab setiap bulan bila ayah sempit, mesti kami akan dimarah. Duit nak, makan nak, katanya. Maka kami belajar bersungguh-sungguh supaya dapat perbaiki keadaan ini. Kami juga simpati sangat pada mak, setiap bulan tebalkan muka pinjam duit dari adiknya (makcik kami).

Sekarang aku dah bekerja, alhamdulillah. Tapi episod kesempitan wang di tengah bulan makin terasa. Rupanya banyak bil rumah yang ayah tangguh bayar sejak tahun 2004 hingga kami dapat surat peguam!! Nak tak nak aku yang sudah bergajilah yang perlu tanggung belanja, bil itu guna duit gaji kakak aku yang tak sampai 1k. Manakala duit ayah pula habis buat bayar hutangnya yang sudah berapa angka aku sendiri tak pasti.

Setakat pasal duit, takkanlah aku nak post kat sini. Tak, ayah bukan sekadar financially incompetent, dia panas baran, suka mencari kesalahan orang dan suka berkata kesat. Semakin bertambah umur, semakin lancang mulutnya memaki hamun kami dan mak setiap kali anginnya datang. Baru-baru ini, dia menyuruh mak hantukkan kepala ke dinding hanya kerana dia tidak puas hati dengan iparnya. Kami adik beradik hanya mampu menangis dalam bilik, tak berani melawan sebab kami tahu akan kena lebih teruk lagi. Mak pernah diperlakukan lebih teruk lagi hingga pengsan, cuma kini dia hanya akan suruh mak buat sendiri (seperti hantuk kepala di dinding) supaya kalau jadi apa-apa pada mak, dia boleh lepaskan diri kerana tak ada bukti dia yang menyeksa mak physically.

Ayah bukan sekadar mendera mental dan fizikal kami dengan kata kesatnya dan pukulannya, tapi juga mendera mak. Mak jarang dapat balik kampung sebab ayah selalu menyalahkan kami adik beradik ramai, susah mahu balik kampung. Dengan adik beradik mak pun ayah tidak mesra, tetapi selalu sahaja mahu tunjuk dirinya mulia dengan sengaja sembahyang di ruang tamu, konon tanggungjawabnya mengajak kepada kebaikan sudah terlunas sedangkan ada bilik khas untuk keluarga kami. Kemudian bila dia sudah selesai solat, dia akan bisik ‘ tengok tu sibuk sangat dengan urusan, solat entah ke mana,’. Padahal dia tak tanya sendiri pun pada pakcik/makcik aku sama ada mereka dah solat ke belum.

Mak sangat sabar dan kuat, kerana mak selalu fikirkan apa akan jadi pada kami kalau dia melawan. Tapi kini kami dah besar, aku boleh tanggung mak dan adik-adik. Ayah sudah tiada fungsi sebagai ayah lagi kerana terlalu banyak dia sakitkan hati kami. Nafkah kepada mak dan adik-adik sudah lama dia tidak beri, kerana pada pendapatnya aku yang sudah bekerja patut beri. Apatah lagi penindasan yang dilakukannya terhadap mak, seorang isteri.

Sekarang aku buntu apa yang patut dibuat. Kakak aku sendiri bakal peguam syariah, tapi dia juga tidak tahu apa yang patut dibuat untuk menyelamatkan mak dari berterusan ditindas ayah. Aku benci bila ada pakar motivasi kata perempuan yang malang ialah perempuan yang salah pilih suami, bersuamikan lelaki seperti ayah aku. Pakar tu lahir dalam keluarga yang harmoni, bolehlah kata begitu. Aku juga jadi benci membaca tips kewangan dari so-called pakar yang menyindir anak muda boros berbelanja. Mereka ada ayah yang baik, yang tak meminta, bolehlah sembang begitu. Sedangkan aku? Simpanan aku setiap bulan aku korek semula untuk mak dan adik-adik. Hendak beli kereta pun berkira, rumah apatah lagi. Tarikh gaji aku juga ayah aku hafal. Masuk sahaja gaji Subuh lagi dia telefon aku suruh masukkan separuh gaji aku ke akaun mak untuk dia guna bayar itu ini. Aku sendiri tak punya kuasa ke atas duit aku sendiri.

Aku tak tahu apa yang patut aku buat. Ada tak peruntukan undang-undang yang boleh selamatkan mak aku dan kami adik-beradik dari lelaki kejam seperti itu? Nak lari, tapi memikirkan adik yang masih bersekolah aku jadi buntu. Aku dah duduk jauh dari rumah, tapi kalau kalian jadi aku, sanggup ke kalian buat tak endah bila hari-hari adik beradik whatsapp, khabarkan pagi tadi ayah mengamuk, pagi tadi mak kena marah, kena maki dengan ayah. Aku tak nak lari sendiri, aku nak selamatkan mak dan adik beradik aku sekali.

Sekian, aku dah bingung sangat sekarang ni. Hari-hari tak putus doa mohon dilepaskan dari ujian ini. Doa mohon kuat tapi kami dah tak berdaya rasanya. Ampunkan kami ya Allah kerana tak kuat, tapi apakah kami tak punya hak untuk hidup bahagia seketika di dunia ini?

– N

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit