Rasanya dalam beberapa tahun kebelakangan ni, media sosial selalu mentertawakan, menjenakakan, dan mempermainkan nama kanak-kanak yang panjang dan mengutuk mak ayah yang menamakan anak mereka dengan nama yang panjang.
Orang ramai mengatakan yang mak bapak syok sendiri dalam memberikan nama anak yang terlalu panjang dan mengarut, tetapi akhirnya panggil mat, boy, din, dan berbagai lagi nama pendek yang sekadar 3 huruf sahaja.
Tetapi orang ramai tak pernah tanya bagaimana dan kenapa nama itu panjang?
Pengalaman saya sendiri yang mempunyai nama yang panjang, dan ada adik beradik yang mempunyai nama yang panjang. Dan nama anak-anak saya sendiri juga panjang. Saya rasa saya boleh menceritakan secebis penjelasan kenapa sesetengah nama orang panjang.
Pertama kali, tipikal nama Islam di Malaysia ini akan mempunyai nama Muhamad di depan. Jadi itu sudah satu nama. Nama saya yang kedua adalah nama pemberian ayah saya, dan nama ketiga saya adalah pemberian pak cik saya.
Ibu saya menceritakan yang ketiga adalah disebabkan peristiwa penting yang berlaku pada zaman saya dilahirkan. Nama ayah saya bagi pula sebab nama tersebut adalah perkataan arab yang ayah tertarik ketika membaca al-Quran.
Adik saya pula, nama pertama adalah Muhamad dan nama kedua adalah pemberian nenek saya, Manakala nama ketiga adik saya adalah pemberian Nek Cu ( beradik nenek.)
Nama yang diberikan nenek adalah sempena nama abang mak saya yang telah mati pada usia kecil. Cerita mak saya, sewaktu adik saya ini dilahirkan, Adik saya amat mirip dengan abang pertama mak. Jadi mak memberikan nama tersebut untuk mengenang cerita nenek pada mak.
Nama ketiga yang diberikan oleh Nek Cu adalah sebab Nek Cu sakit dan akan meninggal tak lama lagi. Nek Cu tak ada anak. Jadi dia meminta pada mak saya untuk bagi nama.
Mak saya tunaikan dan menambah nama yang ketiga. Sewaktu saya kecil, saya sempat jumpa Nek Cu saya tu. Dia dah lama meninggal sebab sakit dari muda.
Adik saya yang ketiga, nama pertama adalah Muhamad, tipikal seperti nama kami berdua untuk seragam. Manakala nama kedua adalah nama yang diberikan mak. Sebab nama saya dan nama adik yang kedua, mak tak bagi lagi.
Tetapi sebab nama mak beri itu mempunyai maksud yang tidak lengkap dalam bahasa arab, mak saya tambah lagi satu nama belakangnya untuk melengkapkan nama tersebut supaya memberi makna yang cantik dalam bahasa Arab setelah dicadangkan oleh pak cik saya yang berkelulusan bahasa arab.
Oleh kerana saya membesar dengan nama yang panjang, dan warganet selalu mempermainkan dan membuat jenaka nama panjang, saya berazam untuk memberikan nama yang pendek pada anak.
Setelah anak pertama saya lahir, saya cuma bagi satu nama sahaja (5-7 huruf sahaja). Sebenarnya nama tersebut adalah tokoh islam yang hebat pada kurun ke 10 di sepanyol jadi bukankah tipikal nama Arab.
Tetapi nama itu mendapat tentangan ahli keluarga mentua sebab nama tersebut tak ada maksud dalam bahasa Arab dan jika tersalah baca, nama tersebut akan memberi maksud tidak elok dan boleh jadi negatif dalam bahasa arab untuk menjadi nama.
Negatif bukanlah mencarut atau nama yang buruk, cuma negatif yang biasa-biasa. Seperti bulat, petak, terkejut, dan lain-lain yang tidak sesuai diberikan pada nama orang.
Tapi kalau ikutkan, ada je nama arab yang orang inggeris dengar adalah mencarut dan lucah.
Kawan saya nama sadiq, tetapi selalu kena ejek dengan kawan-kawan dia dengan menukar nama jadi “Suc* xxxx”. Kawan saya nama Fakruddin, orang selalu padam nama ruddin.
Zaman saya di Universiti dulu, kami ada rakan sekelas dari India yang bernama Sukhdeep dan Hardeep. Sampai mereka berdua tak nak dekat dengan masing-masing sebab nama mereka adalah sesuatu yang tak elok dalam Bahasa Inggeris.
Nama kawan Inggeris saya pula adalah sesuatu yang bodoh dalam bahasa Russia. Kawan Russia terbahak-bahak apabila pertama kali dengar nama rakan Inggeris saya.
Ada satu nama kawan saya Kayla, tetapi rakan Urdu ketawa sebab Kayla bermaksud Pisang. Ada nama rakan Inggeris lain, nama dia bermaksud darah lembu dalam bahasa korea.
Jadi, no point nak kisah sangat nama dalam arab ke, tamil ke, cina ke, melayu ke, yang bagi maksud tak baik atau kelakar dalam bahasa lain. Sebab pasti dalam bahasa lain, pasti akan ada satu bahasa yang merasakan nama kita ni adalah sesuatu yang lucah atau kelakar.
Sorry termengarut jauh pula. Sebab saya tengah geram.
Oh ya, dipendekkan cerita, saya terpaksa membatalkan niat saya. Saya memberikan satu nama arab yang lain dan ditambah dengan satu lagi nama arab yang lain atas permintaan keluarga.
Isteri saya juga mahu nama anak saya ditambah nama Muhamad. Jadilah nama anak saya Muhamad xxxx xxxx bin Muhamad xxx xxx. 7 nama.
Ya, mungkin orang akan kata, kenapa tak bagi nama Melayu yang asli seperti Guntur, Awang, Agung, Sentosa, Baiduri, Bintang, Teratai, Melur, Citra, Cendana, Anggun, Nadi, Romansa, Taji, dan barbagai lagi nama Melayu asli yang cantik dan baik? Nak sangat sepanyol tu buat apa?
Saya dah cuba. Sebenarnya itulah nama asal yang saya nak bagi. Saya nak bagi nama Melayu asli. Tetapi awal-awal lagi ahli keluarga tak setuju. Mereka kata tu nama tak identitikan Islam.
Isteri juga tak bersetuju sebab bagi dia, nama-nama tersebut telah outdated dan orang dah tak bagi. Tetapi dia tertarik dan setuju dengan nama tokoh islam di sepanyol tu.
Anak kedua saya, saya beri isteri sepenuh kuasa untuk menamakan anak kami. Sebab kami dah buat konsesi untuk bergilir-gilir bagi nama anak. Kami buat lambung syiling untuk tentukan siapa yang pertama untuk namakan.
Saya dapat yang pertama, dan isteri dapat yang kedua. Jadi, yang ketiga nanti jika ada rezeki, saya pula akan namakan. Ke empat nanti baru dia. Sebab kami rancang cukup sampai 4. Tak nak lebih dari tu.
Isteri saya pula juga menerima nasib yang sama saya seperti saya. Ahli keluarga banyak bagi cadang nama itu ini. Masing-masing ada peristiwa dan sejarah masing-masing untuk nama itu.
Akhirnya nama anak saya yang kedua mempunyai 3 nama juga. 1 nama yang dia beri, dan dua nama adalah nama yang disarankan ahli keluarga yang lain.
Ya, mungkin ramai akan cakap. Yang ikut cakap keluarga tu kenapa? Tu kan anak kau.
Kalau ikutkan hati memang nak bagi je nama yang saya nak. Tetapi yang memberi cadangan tu orang tua dan saudara mara terdekat, kami ni ikutkan malas nak ikut, tetapi terpaksa jaga hati mereka.
Nanti korang dah ada anak sendiri dan dapat saudara mara yang bila dengar nama cadangan kamu nak bagi dan mereka tak bersetuju. Barulah korang akan faham perasaan mak ayah yang tak berniat pun nak bagi nama anak panjang. Kami bukan syok sendiri, tetapi nak jaga hati orang sekeliling.
Itupun JPN dan hadkan nama untuk 80 aksara sahaja. Jika tak bagi had, mungkin panjang lagi nama anak sebab campur tangan saudara mara.
Kalau ikutkan hati, saya nak je stay luar negara lepas grad haritu dan bagi nama anak di luar negara waktu tak ada saudara mara melawat dan mula bagi cadangan nama berbagai-bagai kat kami.
Bila tengok nama anak panjang ni, tanya dulu. Kenapa nama anak panjang. Bukan terus cop kami ni syok sendiri nak bagi nama anak panjang-panjang. Lepas tu “make fun” nama anak-anak kami.
– Ayah Yang Bagi Nama Anak Panjang (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit