Kenapa Dengan Aku?

Assalamualaikum semua. Aku Bali. Berumur awal 30 an, seorang isteri dan ada seorang anak. Terima kasih admin sudi siar cerita aku. Kalau tak siar pun aku harap ada seseorang bagi nasihat kat aku. Lepas diduga beberapa kali gagal dalam mendapatkan zuriat, aku akhirnya diberi rezeki.

Alhamdulillah tapi sepanjang tempoh bersalin, aku berada dalam keadaan meroyan kadang-kadang sebab aku terlalu penat tak cukup tidur, dibanding-bandingkan cara berpantang dan mempunyai pasangan yang kurang membantu. Ditambahkan dalam masa yang sama jahitan bersalin aku pun terbuka. Aku pula dikurniakan anak yang “high demand” dan “colic”.

Apa yang aku stresskan adalah pertama:

Aku berpantang dirumah ibuku. Anak pertama aku tak tahu apa-apa, jadi aku mestilah perlukan tempat untuk bergantung. Seperti aku katakan tadi, aku meroyan dalam pantang. Aku menangis tiba-tiba, aku tak dapat tidur, aku tertekan. Anak aku selalu menangis walau sudah diberi susu dan ditenangkan. Menangis siang malam sampai aku tak tahu mana silapnya.

Ibu aku selalu kata susu badan aku tak ada, sebab tu anak menangis tapi aku ada bagi susu formula seperti ibu aku suruh. Selalu merendahkan aku dan hentam-hentam aku bila nampak aku menangis, bandingkan dengan orang yang anak ramai elok je berpantang. Ye aku tahu tu, tapi inikan pertama kali aku bersalin, janganlah dibandingkan terutama keadaan aku yang tengah rapuh masa tu.

Ibu aku juga selalu memerli aku dengan cakap sebabkan aku masa mengandung selalu sedih terasa hati dengan suami, anak pun jadi kuat menangis. Aku bertambah down dalam pantang bila dengar macam tu, bertambah murung dan aku jadi nak salahkan diri je. Salah ke aku bersalin dan berpantang disini?

Sebenarnya bila kahwin aku tak ada kawan-kawan mengadu masalah sebab aku ikut suami ke negeri yang memang asing bagi aku. Jadi kebanyakan aku luahkan kat bapa aku, bukan ibu aku sebab ibu aku bukan seorang yang mampu menyokong dengan kata-kata motivasi, tetapi lebih kepada menghentam. Mungkin ayah aku menceritakan kepada ibu, lalu ibu gunakan hal tersebut untuk dibangkitkan masa aku pantang. Sekali lagi aku menyalahkan diri, salah ke aku meluahkan tekanan pada ayah aku sendiri?

Tekanan kedua aku:

Pasangan aku seorang yang sangat kuat tidur, terlalu pentingkan tidur sampai aku tak tahu apa yang dipenatkan. Memang dari awal perkahwinan dia begitu kuat tidur dan lebih pentingkan tidur dari aku meskipun waktu sarat mengandung. Namun aku ingat selepas susah mendapatkan zuriat, dia akan memberi komitmen dan berubah tapi segalanya meleset.

Selepas aku bersalin, 2 minggu pasangan aku bercuti namun tiada satu hari pun dia akan korbankan tidurnya untuk sama-sama menjaga anak. Sepanjang cuti tersebut, siang tidur, malam apatah lagi meskipun anak menangis dia takkan bangun. Dia seorang yang walaupun diletupkan bom disebelah telinga, tetap takkan bangun.

Aku jadi tertekan, suami yang diharapkan dapat memberi sokongan emosi dan tenaga ternyata tak berguna. Malam anak menangis, aku akan uruskan anak, ibu ada bersama tetapi suami aku tetap teruskan tidur seperti tiada apa berlaku. Siang pun tetap tidur, bila ditegur kata bosan tak tahu buat apa sedangkan banyak perkara boleh tolong aku masa tu.

Aku bertambah tertekan, emosi, fizikal dan semua tak terurus. Sampai ibu aku kata, nasiblah dah tu suami awak. Ibu pun ada kata, asyik tidur je sedangkan cuti tak kerja. Aku jadi tersepit dgn keadaan. Aku salahkan diri lagi. Salah ke aku kahwin dengan dia?Silap rupanya aku kahwin dengan dia?

Yang ketiga aku tertekan sebab aku berperang dengan diri sendiri:

Aku nak menyusukan anak tapi disebabkan terlalu stress dan penat setiap hari, setiap masa maka, susu badan tak dapat dihasilkan dengan baik. Aku rasa berdosa dengan anak aku sebab aku tak bagi hak dia. Aku masih bagi susu badan tapi aku juga bagi susu formula. Itu yang aku kesalkan. Tiada sokongan sekeliling dalam menjayakan penyusuan anak aku.

Jahitan bersalin terbuka sebab aku terlalu banyak bergerak, membuatkan aku rasa sangat benci dengan diri sendiri kenapa aku tak pandai jaga diri, kenapa aku diuji macam tu. Aku tiada tempat meluahkan, sebab orang yang aku percayai untuk luahkan masalah aku akhirnya aku sendiri dihentam semula.

Akhirnya aku jadi mula nak salahkan takdir, sekarang ada masa aku boleh terima takdir, ada masa aku salahkan takdir. Aku rasa Tuhan tak pandang aku, Tuhan tak sayang aku. Kadang aku rasa aku nak bawa anak aku sama-sama terjun sungai, pendek kata biar mati bersama. Ada masa aku boleh kawal tekanan, ada masa aku menangis tanpa henti. Terutama bila sekarang masalah lain pula datang yang lagi besar dan aku tak tahu sampai bila lagi aku boleh kuat.

Cukuplah sampai sini, sebab aku rasa dah panjang dengan cerita yang berterabur ni. Kalau ada nak aku sambung, nanti aku sambung dengan masalah terbaru tu.

Terima kasih.

– Bali (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *