Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih kepada tetuan pengurus laman pengakuan IIUM kerana memberi saya ruang untuk meluahkan pendapat.
Seperti yang kita tahu, semenjak kemunculan Grab di persada industri kenderaan awam ni, ramai dalam kalangan kita yang tidak berpuas hati. Ada yang tidak puas hati dengan Grab, Terutama sekali, dalam kalangan pemandu-pemandu teksi. Hal ini disebabkan oleh beberapa faktor yang dilihat memihak dan menguntungkan Grab seperti isu lesen PSV, puspakom dan kadar sewa harian teksi yang mahal, selain keperluan untuk menjalani ujian saringan kesihatan yang dilihat sebagai suatu proses yang renyah di samping kos yang tinggi.
Tidak kurang juga apabila bercakap pasal Teksi, ramai dalam kalangan pengguna yang membenci, bukan secara membabi buta, tetapi setelah menggunakan perkhidmatan teksi, mereka rasa tertipu dek kerana harga tambang yang tak masuk akal yang dikenakan oleh pemandu-pemandu teksi, selain perangai kebanyakan pemandu teksi yang dilihat tidak punya timbang rasa dengan menghisap rokok semasa membawa penumpang dan suka mengambil kesempatan terhadap pelanggan dengan menggunakan jalan yang jauh dan sesak untuk ke destinasi yang sangat dekat.
Bayangkan, anda nak pergi ke satu tempat tak sampai 10 kilometer jaraknya, tapi dicaj sebanyak RM 50. Walaupun anda tidak bergerak, tetapi disebabkan teksi mengenakan caj berdasarkan masa, meter RM tetap berjalan. Tidak kurang juga ada pemandu teksi yang mengenakan caj yang tidak masuk akal dengan tidak menggunakan meter.
Dibandingkan dengan Grab, yang punyai sistem yang lebih efisien, hanya mengenakan caj yang tetap dan berdasarkan jarak dan permintaan (read: demand) sangat diminati oleh para pengguna. Walaupun kadang-kadang pemandu Grab terpaksa menggunakan jalan yang jauh untuk mengelakkan banjir kilat mahupun kesesakan lalu lintas yang teruk, hal ini tidak menimbulkan kerisauan kepada para pengguna kerana caj yang dikenakan tidaklah mencekik seperti perkhidmatan teksi.
Selain daripada itu, pemandu teksi dilihat seperti tidak mahu maju ke hadapan dan menggunakan alasan-alasan yang menampakkan kedangkalan pemandu-pemandu teksi itu sendiri apabila mereka menuntut keadilan dari segi hak sama rata untuk mengambil penumpang dan beroperasi. Pokoknya sekarang, pemandu teksi perlu bertanya kepada pengguna yang menggunakan servis tersebut. Kenapa mereka tidak puas hati dan tidak mahu menggunakan perkhidmatan teksi?
Bukannya menyalahkan Grab yang lebih bijak mengambil hati para pengguna, di samping mempunyai sistem yang lebih efisien, yakni para pengguna dapat melihat sendiri kedudukan pemandu Grab yang terdekat sebelum memutuskan untuk menempah perkhidmatan Grab tersebut, selain mempunyai pilihan membuat bayaran yang dilihat sebagai menjadi pemudah cara semasa berurusan dan juga ruang untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap perkhidmatan Grab melalui ruang maklumbalas yang disediakan.
Jika dibandingkan dengan cara syarikat teksi beroperasi, umum mengetahui kebanyakan pemandu teksi lebih suka duduk sahaja di ruang menunggu teksi dengan harapan akan ada penumpang yang menggunakan perkhidmatan mereka. Lihat sahaja di pusat beli-belah dan di hentian komuter. Walaupun ramai pelanggan yang turun dari tren, kurang yang menggunakan perkhidmatan teksi.
Sikap sambil lewa sesetengah pemandu teksi dengan menghisap rokok semasa memandu, dilihat sebagai memukul rata dan mementingkan diri sendiri dengan membuat andaian bahawa para pengguna boleh menerima pemandu teksi tersebut merokok semasa memandu, menambahkan lagi rasa teruk apabila menggunakan perkhidmatan teksi. Bukankah tindakan pengguna itu adil jika dibandingkan dengan tindakan kebanyakan pemandu yang merokok dan mementingkan diri sekiranya para pengguna memilih untuk menggunakan Grab yang lebih bersih dan bebas bau rokok?
Apakah menjadi kesalahan jika para pengguna pula mementingkan diri? Bukankah hak memilih itu hak pengguna? Belum cerita keadaan kereta teksi yang hidup segan mati tak mahu tunggu masa nak roboh, membuatkan ramai pengguna rasa tidak berbaloi menggunakan perkhidmatan teksi. Jika dibandingkan dengan Grab yang mengenakan bayaran murah, khidmat penghantaran pula menggunakan kereta mewah, tidak kurang juga kereta yang well-maintained dan berada dalam keadaan yang baik. Jika dibandingkan dengan teksi, jauh panggang dari api.
Walaupun baru-baru ini, kerajaan telah mewujudkan langkah untuk memastikan kedua-dua perkhidmatan Grab dan teksi dapat bermain secara ‘fair play’ di medan perebutan pelanggan yang menggunakan perkhidmatan awam, langkah ini hanyalah bersifat menekan dan menghukum Grab yang tidak bersalah dan langkah yang diwujudkan kerajaan ini boleh diibaratkan seperti tindakan seorang bapa yang memanjakan anaknya yang degil dan tidak mahu berubah (Teksi) tetapi memarahi orang lain yang tidak bersalah (Grab), selain cara mudah untuk kerajaan mendapatkan wang secara paksa rela daripada Grab.
Pada pendapat saya, para pemandu Grab harus mengambil cabaran ini untuk membuktikan bahawa masalahnya bukanlah datang daripada perkhidmatan Grab. Tetapi daripada perkhidmatan syarikat teksi sendiri yang pada perkiraan saya, sudah tiba masanya, perlukan perubahan yang sesuai dengan peredaran zaman yang semakin moden dan berteknologi tinggi.
Selain stigma negatif masyarakat terhadap perkhidmatan teksi yang masih tidak berubah, sepatutnya membolehkan pemandu Grab lebih bersemangat dan syarikat Grab lebih maju ke hadapan kerana sikap Grab yang mesra maklumbalas dan menggunakan maklumbalas tersebut untuk bergerak lebih baik ke hadapan.
Akhir kata, terbukti lebih banyak keburukan daripada kebaikan jika menggunakan perkhidmatan teksi yang ada sekarang. Perkhidmatan teksi jika mahu bersaing secara sihat, perlu mengambil langkah-langkah drastik ke arah perubahan yang lebih mesra pelanggan dan teknologi. Jika ada dalam kalangan pembaca yang mempunyai pendapat berbeza, silalah komen. Saya terima semua pendapat. Sekian.
– Weighing Scale
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit