Kenapa Lelaki Perangai Begitu?

Assalamualaikum warga IIUMC yang dirahmati Allah. Moga sentiasa dalam lindungan pemilik alam semesta ketika pandemik hebat melanda sekarang.

Indah pagi ni, hujan turun malam tadi. Tiba-tiba teringin rasa nak mengupas sikap orang lelaki dalam keluarga. Sebab tadi terbaca luahan hati seorang insan yang tak puas hati.

Begitulah. Kita balik pada akarnya. Kenapa lelaki bersikap begitu. Tidak semua tapi majoriti. Semua mahu dihidang, semua mahu dimanjakan. Hatta biar air secawanpun.

Baiklah. Asal usul masyarakat kita ialah masyarakat petani. Sebelum kedatangan Empayar British menjajah kita lama dulu kita adalah golongan petani dan pelaut.

Yang lelaki bekerja di ladang, di sungai di lautan untuk mencari rezeki. Yang wanita, anak perempuan dan isteri di rumah. Membasuh, mengemas, memasak dan berkebun keliling rumah.

Ayah dan anak lelaki keluar bekerja di sawah, masuk hutan mencari hasil hutan, bertanam pisang, jagung dan yang nelayan keluar ke laut mencari rezeki.

Kita boleh saksikan pembahagian tugas ini dalam filem-filem Melayu lama.

Kadang-karang wanita juga turut sama ke kebun. Bila pulang dah penat biasanya anak perempuan yang menguruskan rumah. Mak dah tak mampu nak menolong kerana teruknya kerja di sawah dan di ladang.

Anak lelaki tentu sahaja ke ladang atau ke laut bersama ayah mereka. Jadi boleh kita simpulkan begitulah pembahagian tugas zaman berzaman.

Penjajahan British hingga ke era moden mula membawa perubahan. Anak-anak yang dulu sekadar mengaji waktu malam mula hadir ke sekolah. Yang biasa disuruh belajar selalunya anak lelaki.

Anak perempuan ada juga yang belajar tapi lebih ramai yang duduk di rumah untuk belajar memasak, menjahit, mengait, menekat dan macam-macam lagi aktiviti untuk persediaan menjadi suri rumah.

Jadi sejak azalinya tugas wanita itu banyak di dapur. Dan mak dulu-dulupun tidak pernah atau jarang menyuruh anak lelaki masuk ke dapur.

Kadang kalau ada yang rajinpun dikatakan menyibuk lalu dihalau dengan sudip. Hahaha..

Dapur dianggap hak eksklusif kaum wanita.

Kini zaman berlalu. Lelaki dan perempuan sudah sama-sama menikmati hak yang sama dalam bidang pendidikan. Mereka sama-sama berjaya menjawat jawatan dalam pelbagai sektor.

Dan pada masa yang sama kehendak terhadap kehidupan moden meningkat. Rumah perlu diisi dengan semua kelengkapan dari A sampai Z. Kehidupan mula menjadi satu persaingan yang hebat.

Tapi akar dan tradisi kita tidak pernah berubah. Tradisi wanita ke dapur tetap kekal. Biarpun mereka bercantik-cantik ke tempat kerja akhirnya bila pulang ke rumah mereka berlemus di dapur.

Suami bersidai di atas sofa bersama henfon di tangan dan menjerit minta dihidangkan air. Hati siapa tak sakitkan. Hahaha

Baiklah. Siapa di sini yang ingin kita salahkan? Budaya dan cara hidup masyarakat kita atau ibu bapa yang membesarkan anak-anak?Tidak dinafikan ada juga ibu bapa yang mendidik anak sama rata.

Apa yang anak perempuan buat anak lelaki mesti buat sama contoh memasak, menyapu dan mengemas.

Atau ada yang buat pembahagian tugas ikut jantina contoh tugas kotor dan berat seperti buamg sampah dan cuci longkang beri pada anak lelaki.

Tapi berapa kerat yang buat? Dan bila kahwin jadilah pertembungan dua budaya dan cara didikan yang berbeza.

Konklusinya kita dah hidup di era moden, majoriti dah dapat pendidikan jadi kenapa tidak kita yang didik generasi seterusnya untuk buat tugas sama rata. Memandangkan dah tak ramai yang kerja keras di ladang, di rimba dan di lautan macam orang dulu-dulu.

Yang dah terlepas tak dapat dah kita perbaiki, ibarat dah jadi buluh kejung, tak mungkin dapat nak dlentur lagi.

Jadi jom pakat-pakat didik generasi akan datang ye, supaya dalam puluhan tahun lagi takdelah luahan sakit hati dengan sikap lelaki-lelaki yang duduk mengadap meja sambil tunggu nasi disendukkan. Hahaha

Maaf ye sampai di sini dulu. Semoga dapat menjawab sedikit pertanyaan kenapa orang lelaki macam tu.
Sekian.

– Wan Empuk Wan Malini (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *