Kenapa Rezeki Aku Sempit

Assalamualaikum & salam sejahtera semua.

Tujuan confession ini ditulis kerana aku tiada tempat mengadu dan mental aku dalam keadaan kurang stabil. Jadi sekiranya confession ini disiarkan, dan terdapat pihak pihak yang ingin memberi kata kata, aku mengharap agar menggunakan bahasa yang baik tanpa ada rasa untuk menilai secara negatif.

Aku mulakan perkenalan diri. Aku berumur 26 tahun. Mungkin masalah aku ini jika dibaca sehingga habis hanyalah perkara kecil bagi kalian. Dan mungkin juga ada juga yang berfikiran seperti “Ah, orang lain lagi susah,” atau “Manja dan mengada” dan sebagai. Aku sudah tamatkan pengajian dua tahun yang lalu dan masih tidak bekerja. Ini merupakan salah satu masalah aku.

Ya, mungkin ada pertikaikan kenapa aku tidak mencari kerja. 1) Bidang pengajian aku (Bachelor Hons). Aku mengambil bidang pendidikan dan secara jujurnya, aku tidak minat sedikit pun bidang ini. Dah tak minat kenapa ambil juga? Aku ambil bidang ini kerana aku tidak ada perancangan. Hanya ambil secara semberono dan juga ikutkan kawan. Aku tahu ini bukan bidang aku minati tapi aku tetap ambil untuk peringkat ijazah kerana aku tidak tahu hala tuju aku selepas diploma. Itulah salah satu penyesalan dan pembaziran masa/wang terbesar dalam hidup aku dan ia betul betul menghantui aku. Aku terasa bodoh dan tersangat murung. (Untuk pengetahuan aku mengalami depression sejak sekolah menengah jadi sebab itu aku tidak tahu arah tuju hidup aku selepas spm). 2)Terlalu trauma semasa internship.

Ya, hati aku tidak secekal kalian. Tapi hanya Tuhan sahaja yang tahu terkesannya aku sehingga sekarang. Biarlah rahsia apa yang berlaku ketika internship. Dah lah tak minat, trauma, semua benda buat akan jadi tak ikhlas dan mental akan rosak. 3) Sudah memohon banyak kerja tapi background education aku tak menepati kerja yang aku mohon. Perkara inilah yang menyebabkan aku terlalu benci dengan diri aku. Jika aku dapat undurkan masa…

Namun, aku ada buat business online semasa belajar dulu (sehingga sekarang), dan disebabkan internship aku terpaksa berhenti seketika selama 4 bulan. Internship aku tiada allowance. Sepanjang 4 bulan itu, aku terlalu banyak keluar duit simpanan untuk ulang alik “kerja” yang jauh, beli bahan bahan dan sebagainya sehingga kering duit aku. Aku tiada income selama 4 bulan dan tidak aktif dalam mempromosi. Aku hanya menggunakan duit simpanan aku. Disebabkan aku tak aktif dalam social media, customers aku fikir aku sudah tidak menjual lagi dan tidak wujud. Walaupun selepas habis internship dan aku kembali mempromosi, namun seperti tiada guna. Ada lah juga dapat RM100 seminggu. Kadang-kadang RM100 dalam 2 minggu. Hujung bulan habis bayar bil dan hutang pengajian. Begitu lah hidup aku berputar. Aku all out dalam meniaga itu yang membuatkan aku terkilan. Duit modal sudah habis semasa intership, nak earn balik susah, saving lagilah tiada. Macam macam aku buat dan jual tapi tiada rezeki. Panggilan kerja juga tiada sehingga sekarang. Cuma rasa bersyukur aku masih tinggal dengan ibu bapa. Tapi sampai bila? Mereka bukan orang kaya. Ibu bapa pun sudah tegur. Aku tidak tahu menjadi dewasa ini terlalu susah.

Aku solat, aku berdoa, tapi pintu rezeki aku terlalu sempit dan sering sakit. Aku selalu berfikir mungkin rezeki aku belum sampai. Itu sahaja untuk menyedapkan hati aku. Lagi satu, aku ni sebenarnya kurang cantik secara fizikal (ya ya cantik itu subjektif tapi 1/10 je yang akan cakap aku cantik, itu pun dalaman), bila tengok orang orang yang cantik ni lebih murah rezeki…aku harap satu hari nanti aku cantik juga :(

Aku tahu ada orang yang lagi susah dari aku tapi tetap cekal, aku tahu ada orang yang tiada pendidikan tetapi tetap kuat mencari rezeki. Tapi itu orang lain. Aku lain. Aku mungkin tak secekal mereka, aku mungkin tak sekuat mereka. Bagaimana orang selalu kata “rezeki orang lain lain” begitu juga “ketahanan mental orang lain lain.” Setiap hari ku terasa seperti seorang yang gagal dan malang. Setiap malam aku menangis atas pelbagai sebab. Tiada siapa tahu. Kawan kawan selalu ingat aku berduit sebab aku berniaga online, tapi hakikatnya. Aku tersangat murung. Mungkin masalah yang aku hadapi ini masalah kecil bagi kalian, tapi tidak bagi aku kerana aku selalu menyalahkan diri sehingga aku selalu berfikir untuk membunuh diri. Maaf jika confession ini membuatkan aku seperti seorang yang mengada dan lembik. Aku ada banyak penyesalan tapi semua terlambat.

Sekian,Lily

– Lily

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit