Salam semua, aku bukanlah seorang isteri yang serba sempurna, tapi aku cuba terdaya aku untuk jadi yang terbaik buat semua.
Apa yang aku mahu luahkan, berkenaan suami aku. Bukannya aku nak buka aib, tapi aku perlukan ruang untuk meluahkan segala sesak dalam dada.
Nak dikongsi dengan keluarga, bermaksud aku buka aib suamiku, rakan-rakan apatah lagi. Jadi aku hanya mampu pendam dan simpan, sampai suatu tahap aku tertekan.
Aku bahkan mula cederakan diri sendiri sejak beberapa hari lepas. Lepas aku cederakan diri aku, aku rasa tenang sedikit. Aku tak tahu kenapa dengan diri aku.
Aku berkahwin dengan suami sejak 2 tahun yang lepas. Suami aku bukanlah kaki pukul atau seorang yang memperhambakan isteri.
Sifatnya baik, dia sayang pada aku, aku tahu di dalam hatinya memang jujur cintakan aku, malah aku juga sama. Aku sayang dia sepenuh hati.
Namun ada 1 sifatnya yang buat rumahtangga ini tidak seindah yang aku impikan .
Aku bukannya impikan rumah tangga yang mewah ,sempurna macam drama. Aku cuma nak suami aku tahu tanggungjawabnya. Mustahil dia tak tahu, cuma suamiku ambil ringan.
Selepas berkahwin, suamiku sering sakit-sakit dan mula culas untuk bekerja. Jika sebelum kahwin, dia kuat bekerja sebab nak cukupkan duit hantaran, itupun kongsi sorang separuh .
Disebabkan sakit sikit pun malas nk pergi kerja, majikannya mula beri surat amaran. Mungkin terasa egonya dicabar, suamiku tanpa berfikir panjang, terus berhenti kerja. Katanya tak rugi pun kalau berhenti dari situ, banyak lagi kerja lain yang dia boleh dapatkan.
Tapi mulutnya hanya mampu berkata-kata. Hari demi hari, dia tidak berusaha pun cari kerja. Bangun tidur pun hampir pukul 3 petang.
Bulan ke bulan, duit simpanan sudah hampir habis, tapi suami aku tenang sebab aku masih bekerja.
Yaaa, aku lah yang menggalas tanggungjawab. Membayar segala bil dan komitmen. Jika waktu dia bekerja dulu pun, kami berkongsi duit untuk bayar komitmen, kini sepenuhnya memang aku sorang yang terhegeh-hegeh.
Aku sabar sebab fikir dia takkan lama macam ni. Tapi apa yang aku lihat, suamiku sudah susah nak berubah. Hari-hari melepak hingga pagi buta, pukul 5 pagi baru nak tidur, rasa-rasa pukul berapa dia boleh bangun?? Aku mula rasa tekanan.
Tiap hari pulang kerja, aku perlu mengemas disebabkan seharian dia di rumah. Pinggan mangkuk dan cawan-cawan bersusun atas meja makan. Kalau orang luar tengok mungkin ingat ada 5 orang di rumah, sedangkan dia seorang yang gunakannya.
Tiap kali minum air, cawan baru diambil. Nak basuh memang tak la. Puntung rokok penuh bekas pun tak dibuang. Kotak2 rokok kalau boleh nak buat koleksi. Kalau aku tak kemas, memang takkan bergerak segala semak yang dibuat .
Kalau dulu aku kurang nak berleter, tapi sekarang aku rasa aku makin tak ikhlas menjalankan tanggungjawab aku.
Aku sering berleter ketika mengemas segala semak yang dibuat. Aku cakap aku penat balik kerja, dia yang seharian dirumah takkan tak boleh mengemas.
Sekurangnya buanglah puntung rokok dan kotak2 rokok nyaa. Berleterla banyak mana pun, suami aku buat tak tahu saja. Seolah dia tak buat salah.
Pernah sekali hari cuti, aku biarkan dulu sepah2 hingga malam disebabkan tak sihat, dan kebetulan ibu mertua aku singgah, ibu mertua aku yang kemas.
Dan pandai pula suami aku bising pada aku sebab tak kemas. Dia cakap apa ibunya akan fikir bila tak berkemas. Aku tak berkata apa.
Selain itu, suamiku suka meminjam duit. Tak cukup duit aku dipinjam dan tak pernah dibayar2, duit kawan-kawannya pula dipinjamnya.
Suamiku di luar, sangat ramah, hormat orangtua, pandai berbual hingga ramai orang senang dengan suami aku. Apa saja kawan2 nya nak minta tolong, tak pernah dia tak tunaikan. Katanya, kawannya selalu tolong dia, jadi dia tak sampai hati nak tolak.
Tapi bila aku nak minta dia buatkan sesuatu, susah sangat dia nak tunaikan. Aku tahu memandu, malah kereta juga kereta aku dari sebelum kahwin. Jadi aku memang dah terbiasa kesana sini sendiri.
Sengaja kadang-kadang terasa nak suami tolong bawakan aku kalau ada tempat hendak pergi. Kadang-kadang dituruti, tapi dia banyak suruh aku pergi sendiri. Mak dia sendiri nak ke klinik pun dia minta aku hantarkan.
Bukan aku berkira, sekurangnya dia patut ikut sekali, tapi tak tahula apa dalam fikirannya.
Aku baik dengan mertua aku, mak mertua aku pun baik dan layan aku macam anak sendiri, kadang2 kami sama2 mengumpat tentang suami aku. Tak salah kan, sebab mak mertua aku tahu perangai anak nya .
Pernah sekali aku minta dia tolong ayah aku menebas rumput dan lalang di kampung abah, alasan yang diberi yang dia sakit badan dan sendi, kalau dia pergi mungkin akan lebih teruk. Masakan tak sakit badannya kalau hari2 tidur lebih dari 10 jam.
Kalau aku habis kerja pukul 5, pukul 4 lebih baru dia sedar dari dunia tidurnya. Tapi dia tak rasa sakit badannya berpunca dari tidur berlebihan, katanya ada benda yang bersarang dalam badannya. Aku malas nak persoalkan.
Nanti dikatakan aku tak percaya benda ghaib. Aku sedih sebab kami 3 beradik perempuan. Ayah aku dah bersusah payah nak besarkan kami, tanpa anak lelaki, kerja-kerja berat banyak diuruskan sendiri.
Kami anak perempuan pun dah buat yang semampu untuk tolong ayah. Mungkin sebab itu, ayah ajar kami jadi kuat. Asas pertukangan, tukar lampu, mengecat, tukar tayar kereta pun kami tahu .
Aku ingat dah berkahwin, menantu lelaki boleh la jadi anak lelaki ayah yang boleh ayah harapkan. Tapi jauh sama sekali, aku pula jadi anak perempuan yang boleh harap untuk mak mertua aku.
Pernah aku cakap pada suami, kenapa dia tak boleh jadi macam aku, yang selalu tolong maknya.
Kenapa dia tak boleh tolong ayah aku. Waktu ambil vaksin, aku yang ambil cuti, bawa mertua aku pergi untuk ketiga-tiga dos.
Aku ok saja sebab aku memang tak rasa beban pun. Walaupun sebenarnya tanggugjawab suami aku yang bawa maknya. Tapi dia rasa aku boleh buat.
Jadi buat apa dia nak sponsor diri kan.
Aku agak bersyukur belum dikurniakan anak, walaupun sebenarnya sebelum kahwin, aku bercita-cita nak anak secepatnya.
Tapi cita-cita aku tu aku lupakan sebab aku tak pasti, kalau kehadiran anak dalam keadaan macam ni boleh mengembirakan aku atau mungkin aku dan dia akan terseksa.
Aku tak minta banyak pun, aku nak dia bekerja, sama-sama bayar komitmen. Bagi nafkah pada aku cukuplah RM50 pun tak apa. Asalkan dia tahu tanggungjawabnya.
Berkenaan pengeluaran KWSP 10K, aku fikir dia boleh beri aku sedikit, kalau betul dia sedar dan rasa bersalah sebab banyak harapkan aku bayar semuanya, tapi rupanya tidak.
Dia cuma beri sedikit itupun untuk tebus semula barang kemas yang aku pajak sebelum ni. Selebihnya dia bayar hutang. YA! hutangnya hampir 7 ribu! Malah duit aku yang sedikit pula digesa untuk keluar, risau tak cukup duit nanti.
Kini suami aku memang berlapang dada sebab dah tiada hutang, tapi dia lupa, dia masih tiada kerja. Dia mungkin akan berhutang lagi. Aku tak tahu selama mana aku boleh bertahan. Memang nampak tak teruk masalah ni, aku tak dipukul atau diseksa,
Tapi dalaman aku, hanya Allah saja yang tahu.
Kawan-kawan, doakan suami aku berubah. Ingat tanggungjawabnya. Aku dah sampai tahap tak redha dengan duit yang aku keluarkan untuk dia. Maafkan aku Ya Allah.
Sekian, terima kasih sudi membaca. Assalamualaikum..
– Naomi (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit