Kenyang Hasil Istighfar

Aku seorang yang berkerja sendiri @ peniaga. Aku dah berniaga macam-macam daripada berniaga online sehinggalah perniagaan Aku berkembang dengan menjadi pengimport barangan dari luar negara.

Namun adat berniaga mesti ada pasang surutnya. Bermula pertengahan tahun 2017 perniagaan Aku semakin merosot sehinggalah pada tahun 2018 Aku terpaksa menutup semua perniagaan dan balik ke kampung.

Aku meneruskan hidup dan menyara anak serta isteri dengan berniaga online sepenuh masa. Hidup kami umpama kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Tapi rezeki sentiasa ada dan kami anak beranak tak pernah lagi kelaparan sebab tak makan, Alhamdulillah.

Suatu hari selepas menjemput anak-anak dari sekolah. Perutku terasa sangat lapar. Jam dah pukul 2 tapi isteriku belum menyediakan lagi makan tengahari sebab bayi kami tak berapa sihat pada hari tersebut dan asyik meragam. Kebetulan pula baki makanan pagi tadi hanya cukup untuk anak-anak aku yang baru balik dari sekolah.

Aku terfikir hendak membeli makanan di luar tapi Dalam kocek aku ada RM3 sahaja. Hari tersebut belum ada “sale” so aku memang tak ada saving. Nak beli apa dengan RM3 ni?

Setelah berfikir sejenak Aku teringat ada satu gerai cendol depan masjid di pekan tempat Aku tinggal. Dia jual cendol pulut tapai RM3. Aku fikir bagus juga makan cendol ni, boleh hilang dahaga dan hilang lapar.

Tanpa membuang masa Aku pun Pergi ke gerai tersebut. Masa tu pukul 4 petang, selepas makan boleh terus solat asar berjemaah. Aku memang menjaga solat 5 waktu berjemaah selepas kena tarbiah sentap dengan seorang kawan. Dia cakap “kau kerja sendiri so tiada alasan untuk kau tinggal solat berjemaah sebab kau boleh urus masa sendiri” (harap-harap anda semua pun jaga Solat berjemaah)

Namun alangkah kecewanya sebaik sahaja aku sampai depan masjid, gerai tersebut tutup. Gerai lain ada tapi harga RM3.50 Duit Aku tak cukup!!! Dengan perut lapar Aku melangkah masuk ke masjid. Mungkin ada hikmahnya.

Aku teringat kata-kata seorang ustaz dalam ceramahnya bahawa “rezeki kita tertahan kerana dosa-dosa kita sekarang atau di masa lalu. Salah satu cara untuk Allah mengampunkan dosa-dosa kita ialah dengan memperbanyakkan istighfar”.

Aku pun mengambil wudhu. Selepas solat sunat tahiyyatul masjid, Aku terus beristighfar sebanyak mungkin. Aku takin dengan janji Allah. Aku ucap استغفر الله العظيم sambil di lubuk hati Aku berdoa “Ya Allah aku lapar, Engkau Maha Berkuasa, rezekikanlah aku dengan makanan” sehinggalah bilal melaungkan azan Asar.

Setelah solat Asar, aku duduk di tangga masjid. Sambil memeriksa mesej yang masuk dalam telefon, bibirku tak putus-putus beristighfar. Lebih kurang 10 minit Aku duduk di situ, tiba-tiba datang seorang lelaki membawa kotak seperti kotak air mineral. Dia mendekatiku sambil mengeluarkan suatu bungkusan dari kotak tersebut, “ dik…nah ambil nasi ni, tadi ada jamuan kat bilik mesyuarat masjid”.

Aku mengambil bungkusan tersebut dengan rasa terkejut. Ada nasi bungkus lauk ikan gulai yang masih panas dan sebotol air. Hatiku menangis kegembiraan . “Ya Allah engkau telah memperkenankan permintaan hambamu ya Allah”, getus hatiku.

Itulah nasi bungkus yang paling sedap pernah aku makan. Mungkin sebab lapar dan mungkin juga sebab cara menjemputnya dengab ISTIGHFAR.

Saudaraku semua, biar sebesar mana pun masalah yang kita hadapi, mintalah kepada Allah terus menerus. Jangan berputus asa. Yakinlah pertolongan Allah pasti datang.

– Nej (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *