Kepada Si Patah Hati

Dalam hidup, semestinya manusia mempunyai keinginan hidup berpasangan. Semua orang mendambakan kebahagiaan yang berkekalan. Tiada siapa memilih untuk berduka.

Tapi itulah namanya ujian. Selagi kita masih bernyawa, hidup tidak akan pernah berhenti di uji.

Kerana ujian itu membezakan yang mana satu hambaNya yang beriman dan bertakwa kepadaNya. Kerana ujian juga meninggikan darjat manusia.

Aku manusia yang penuh dengan kesilapan. Yang tidak terlepas dari dosa.

Tapi, tiap kali aku terjatuh dan kecewa kerana mengharapkan kasih sayang manusia, tiap kali itu juga Allah ketuk pintu hatiku untuk sedar dan kembali mengharap pertolongan dariNya.

Maha suci Allah. Rezeki datang bermacam cara dan pelbagai rupa.

Adakalanya kesedihan yang kita rasakan itu seperti bala dan pembalasan, rupanya itu ialah rezeki Allah kurniakan pada kita seperti ‘blessing in disguise’.

Seringkali kita dengarkan orang berkata ‘self-love’ atau ‘love yourself before you love someone’.

Ya memang benar kebahagiaan itu perlu datang dari diri kita sendiri sebelum kita mencintai orang lain.

Biasa terjadi manusia mengharapkan kegembiraan dan ketenangan hidupnya datang dari pasangan yang dia cintai.

Kita lupa bahawa hati manusia Allah yang pegang dan manusia pandai berubah.

Mungkin ada di antara mereka mengatakan, mengapa ibu dan ayah ku cinta mereka abadi sejati hingga ke tua. Mengapa si fulan kekal bahagia bersama pasangannya hingga ke anak cucu?

Usah dipertikaikan mengapa dan mengapa kerana takdir dan ujian setiap kita berbeza. Kita tidak tahu apa bentuk ujian yang dilalui oleh orang yang kita nampak bahagia itu.

Kita tidak akan pernah tahu jadi tidak perlulah kita mencemburui kebahagiaan orang lain. Berbahagialah dengan dirimu sendiri sebelum berbahagia bersama orang lain.

Redha. Semua orang pernah dengar perkataan redha dan sebilangan tahu akan maknanya. Tetapi adakah kita benar-benar mengaplikasikan ‘redha’ tersebut dalam hati dan kehidupan kita?

Redha itu bermula dari hati, kemudian ke lidah dan perbuatan kita. Hati yang redha akan sentiasa tenang.

Jika anda mahukan ketenangan, redha denga apa sahaja ujian yang berlaku dalam kehidupan kita.

Ulang berkali-kali dalam minda anda, inilah yang terbaik untukku Allah berikan. Inilah yang terbaik untukku Allah pilih kerana apa yang berlaku dihadapan Allah lebih mengetahuinya.

Kita mungkin mahu sesuatu itu terjadi mengikut apa yang kita rancangkan, tetapi Allah akan berikan kita apa yang terbaik untuk kita sebab Allah sangat menyayangi kita hamba-hambaNya.

Tiada cinta yang lebih agung melainkan cinta Tuhan terhadap hamba-hambaNya.

Prasangka buruk. Elakkanlah dari berburuk sangka. Tiada yang lebih buruk, lebih sakit dari sikap buruk sangka. Memang mudah berkata-kata.

Dan manusia dalam tidak sedar selalu berburuk sangka pada Allah. Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami hamba-hambaMu yang hina ini Ya Allah.

Kita tidak sedar bila kita di uji dan kita berkata dalam hati, mengapa aku? Mengapa aku di uji begini ya Allah? Adakah sebab aku hodoh dan orang lain lebih cantik dariku? Ya Allah.

Sedarlah kita semua bahawa mempertikaikan dan mempersoalkan mengapa sesuatu itu terjadi pada kita ibarat kita berburuk sangka pada Allah.

Berdoalah minta pertolongan kepada Allah bila kita di uji dengan kesakitan, kehilangan atau kekecewaan dalam hidup.

Berdoalah jika hatimu tidak tenang. Berdoalah mohon pada Allah diangkat segala musibah dan kesulitan dalam hidupmu.

Berdoalah dengan yakin dan penuh pengharapan Allah akan memakbulkan segala permintaanmu yang terbaik untukmu.

Doakan saya bertemu dengan pasangan yang membawa saya lebih mencintai dan mentaati Allah.

Doakan saya bertemu pasangan yang menenangkan dan membahagiakan jiwa untuk sama-sama menuju redha Allah. Amin Allahumma Amin.

– Ms. Violet (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *