Kepercayaan Yang Musnah

Assalamualaikum semua dan salam sejahtera.

Aku Melati. Ingin aku kongsikan kisah hidupku. Status emosi aku sekarang, boleh aku katakan aku sedang dalam kesedihan. Mari aku ceritakan kisahku…

Aku berusia 30an, membesar dalam keluarga yang susah. Adik beradik lima orang semuanya. Ibuku surirumah dan ayahku pekerja biasa dengan gaji RM2000.

Ketika usia adikku mencecah 2 tahun, ibuku dikejutkan dengan permintaan ayahku yang ingin berkahwin lagi 1. Aku pun tidak mengerti apa yang ayahku fikirkan, waktu itu…

Kami sudah memang sedia susah, loan bulanan kereta pun kadangkala tidak berbayar sebulan, selalunya bila makan, telur sebiji pun dibahagi dua, satu untuk tengahari dan satu untuk malam, dan ayahku boleh terfikir untuk berkahwin lagi satu.

Sejak dari peristiwa tersebut (ayahku meneruskan juga permintaannya untuk berkahwin lagi satu tu), ibuku sudah tak seceria dulu. Ibu selalu baring kesepian dan sudah tidak beriya menyiapkan segalanya untuk ayahku.

Dulu aku tidak mengerti, aku masih kecil. Sehinggalah aku sudah berkahwin.

Ya, kini aku sudah mempunyai keluarga kecilku sendiri. Aku dikurniakan 3 orang cahaya mata, 2 sudah bersekolah dan tadika, seorang lagi masih berumur bawah setahun. Usia perkahwinanku kini genap 9 tahun.

Aku juga surirumah seperti ibuku, membuat jualan kecil-kecilan dari rumah asbab anakku yang selalu jatuh sakit dan memerlukan lebih perhatian dari biasa. Suamiku kerja pejabat dengan gaji RM3000 sebulan.

Aku ingat lagi, semasa anak keduaku berusia 2 tahun, suamiku telah kantoi curang. Pecah sepecah-pecahnya hatiku waktu itu.

Aku fikir, bila suamiku sudah mengetahui susur galur kehidupanku, bagaimana peritnya perasaanku melihat ibuku dimadukan, suamiku akan lebih peka dan tidak melakukan yang serupa kepadaku. Ternyata aku silap.

Aku ingat lagi, bila sudah ketahuan, aku bawa anak-anakku ke tempat lain yang tidak diketahui suamiku.

Puas suami menelefonku, whatsapp memujuk supaya aku kembali tetapi hatiku telah terlalu terluka. Kepercayaan yang dibina sekian lama, hilang begitu saja.

Selama hari ini, yang suami katakan ada kerja lebih masa, kerja terlalu banyak dan sebagainya rupanya hanya sekadar alasan untuk suamiku keluar berdating dengan perempuan tersebut.

2 minggu aku berjauh diri. Anak-anak sudah menangis kerinduan dengan bapanya, maka aku pun bersetuju untuk kembali semula kerumah dengan syarat ini adalah peluang terakhir untuk suamiku.

Tiada lagi peluang akan diberikan selepas ini. Aku juga memberitahu suamiku, kepercayaanku kepadanya telah hilang semuanya. Aku tidak mampu untuk menjadi macam isteri mithali yang dulu.

Suamiku akur. Maka kembalilah kami hidup sebagai sebuah keluarga. Namun, semuanya tak lama. Hari ini suamiku kantoi lagi.

Owh ya, sejak peristiwa luka tersebut, suamiku benarkan aku memeriksa telefonnya ikut suka aku, yang penting aku kembali percaya kepadanya dan cintakan dia sama macam dulu.

Jadi, dari semasa ke semasa, aku akan memeriksa telefon suamiku untuk melihat jika dia masih seperti dulu.

Kebetulan, waktu itu kami baru pulang kerumah. Barangkali suami terlupa nak memadamkan segala apa yang perlu dipadam, maka aku terlihat suami kini rupanya aktif bermain apps OMI.

Semestinya, suamiku meletakkan kata laluan untuk apps tersebut. Lelaki, kalau dah letak kata laluan tu,tak mungkin untuk tujuan saja-saja. Pasti ada rahsia disebaliknya.

Suamiku masih belum mengetahui yang dia telah ketahuan. Aku mahu menyimpan bukti.

Kepercayaan yang cuba aku bina setelah peristiwa lepas pun masih belum penuh sepenuhnya… kini semuanya hancur kembali menyembah bumi. Aku sudah hilang kata.

Kenapa ya? Kenapa susah untuk seorang suami memberi perhatian hanya kepada seorang isteri?

Bukan mahu menolak poligami, tetapi anak 3 yang masih membesar dan hanya berbekalkan RM3000 sebulan saja tidak langsung mencukupi untuk suami berkahwin satu lagi.

Belum lagi dikira segala hutang-hutang suami yang hampir separuh gajinya. Belum juga dikira barang kemas isteri yang selamat dijual hanya untuk mencukupkan keperluan anak-anak.

Suamiku pula sejenis yang hanya mampu memberi perhatian kepada seorang saja. Kalau dia tengah berwhatsapp, janganlah ditanya apa-apa, memang tidaklah suami perasan.

Kalau jaga anak, jaga anaklah saja, semua benda lain macam basuh baju, masak makanan anak dan sebagainya tidaklah dibuatnya.

Bayangkan yang kantoi dulu pun sebab suamiku asyik mengadap telefon saja, kami yang dirumah ni macam patung, bercakap pun tiada yang mendengar.

Anak datang nak main pun tak dilayannya. Dia dalam dunia dia saja. Aku dan anak-anak bukanlah dunianya.

Kenapa? Kenapa ya lelaki susah menghargai peluang yang satu-satunya diberi? 9 tahun dan semuanya sia-sia. Aku sayangkan anak-anakku, tetapi aku rasa aku perlu sayang diriku dulu.

Membesar dalam keadaan aku sentiasa melihat ibu tak seceria dulu betul-betul menyedihkan diriku sebagai seorang anak. Adik beradikku 5 orang… tetapi kami semua tidak rapat diantara satu sama lain.

Semuanya kesan membesar dalam persekitaran yang tidak ceria, yang kurang father figure dan hidup susah hasil keputusan yang tak sepatutnya

(Aku sudah bekerja sampingan seawal 12 tahun sebagai pencuci pinggan, hanya untuk membantu mencukupkan makanan dirumah dan tolong ibu untuk sama-sama bayar bil rumah).

Satu perkara yang pasti, mereka, adik beradikku pun merasakan kehidupan ibu hanya kesedihan saja, tiada hubungan mesra ibu ayah macam ibu ayah orang lain.

Jika ibu ayah orang lain akan mengambil gambar bersama-sama, duduk rapat dan melakukan pose yang ‘sweet’, ini tidak pernah berlaku kepada ibuayahku.

Mereka sangat kekok, macam mereka tu housemate saja. Aku pun, tidak mahu anakku merasakan yang sama. Aku tidak mahu anakku melalui yang sama.

Aku percaya, jika aku bahagia, anak-anak pun akan bahagia walaupun mak ayahnya tidak lagi bersama.

Doakan aku ya supaya aku dipermudahkan dalam permasalahan aku ini.

– Melati (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *