Di bulan Ramadhan ini, saya ingin mengambil kesempatan bersyukur kepada Allah SWT atas apa yang telah dikurniakan kepada kami sekeluarga. Secara khususnya, rezeki kepada anak-anak. Saya ingin bercerita secara ringkas sahaja, dan saya ubah sedikit data untuk mengaburi identiti saya.
Saya ada empat orang anak, 2P + 2L. Alhamdulillah, semua sempurna dan membesar dengan baik. Saya ingin berkongsi apa yang berlaku sewaktu mereka sedang membesar. Anak saya yang sulung seorang yang sangat cerdas, dan memang saya tidak ada masalah membesarkannya. Dia sangat pintar dan selalu menjadi rujukan kawan di sekolah serta adik-adiknya. Yang saya ingin ceritakan ialah anak saya yang kedua. Dalam pelajaran, dia agak lambat dan tidak sepintar kakaknya yang sulung. Semasa di sekolah rendah, dia agak okay… lulus semua subjek dan juga kadang-kadang cemerlang juga.
Masalah timbul apabila dia masuk ke sekolah menengah. Markahnya mula merosot, dan dia mula menunjukkan prestasi yang kurang memberangsangkan. Saya dan isteri cuba membantu anak kedua kami ini. Malam-malam kami cuba mengajarnya, tapi agaknya sebab kaedah yang tidak betul, prestasinya masih tidak banyak meningkat. Kami pun tidak pernah menjadi tutor sebelum ini… almaklum juga, mak bapak kan. Kadang-kadang rasa nak marah juga bila dia tak faham. Saya lebih garang daripada isteri… huhu.
Akhirnya, kami buat keputusan untuk menghantarnya ke tuisyen. Masalah timbul, sudah tentu, dari segi kewangan dan masa. Yuran tuisyen tidaklah mahal sangat, tetapi kami perlu menghantar dan mengambilnya beberapa malam setiap minggu. Ini yang jadi masalah sedikit sebab saya selalu juga balik lambat atau outstation. Tapi tak apalah… demi anak, kami usahakan juga.
Selepas beberapa lama, prestasi anak saya masih tidak meningkat. Markahnya masih di tahap lama walaupun ada sedikit peningkatan. Dia pula semakin down kerana kakaknya sangat pintar dan markahnya sentiasa tinggi.
Bermulalah sebenarnya masalah pembelajaran anak kedua ini. Ditakdirkan pula kakaknya dapat masuk SBP, dan dia tinggal di rumah dengan adik-adiknya. Kami semakin risau kerana dia semakin kurang minat untuk belajar.
Akhirnya, nak tak nak, atas nasihat guru dan cadangan kawan, kami memutuskan untuk mengambil tutor peribadi yang datang ke rumah. Tak terfikir pula sebelum ini nak mengupah tutor peribadi. Almaklum, mahal kan? Kalau satu subjek sahaja mungkin beberapa ratus ringgit sudah habis.
Fikir punya fikir, kami cuba cari jalan lain, tapi memang tak nampak dah cara lain untuk membantu anak saya ini. Akhirnya, saya dan isteri mengambil keputusan untuk mengupah tutor peribadi. Sudah tentu, masalah pertama ialah kewangan. Congak punya congak, untuk dua subjek yang anak saya paling lemah, jumlahnya sudah boleh beli sebuah Myvi. Aduh… pening kepala saya dan isteri.
Saya cuba buat perkiraan lain. Akhirnya, saya dan isteri bersetuju untuk bekerja sambilan bagi menampung kos tutor peribadi ini.
Sebelum ini, ada kawan yang ajak saya sertai dia buat kerja sambilan bantu bisnesnya. Saya tak berminat kerana ia mengambil masa saya dari keluarga, dah lah saya kadang-kadang balik lewat dan outstation. Tapi oleh kerana keperluan anak ini, saya menghubungi kawan saya dan bersetuju mengambil projek kecil sahaja supaya tidak terlalu banyak masa yang perlu diluangkan. Isteri saya pula setuju untuk buat kek dan mengambil tempahan secara dalam talian untuk kawasan kami sahaja (melalui Facebook taman dan masjid) supaya mudah untuk menghantar pesanan terus ke rumah.
Maka bermulalah fasa kerja sambilan kami. Memang penat juga. Bila saya tiada kerja dari kawan saya, masa yang ada sedikit saya bantu isteri buat kek. Tidaklah banyak mana pun tempahan yang kami dapat. Kami hanya mensasarkan jumlah yang cukup untuk menampung kos tutor peribadi ini.
Dua hingga tiga bulan berlalu, Alhamdulillah, syukur sangat anak saya menunjukkan peningkatan. Tutornya pun bagus, seorang pelajar IPT yang sedang buat sarjana dan mencari duit tambahan. Tutor itu juga mempunyai beberapa tahun pengalaman sebagai tutor. Budaknya baik dan lembut. Agaknya itulah ciri tutor yang anak saya perlukan… hahaha… bukan garang macam saya atau isteri (yang kurang garang sedikit).
Bila anak saya pertama kali lulus subjek yang dia lemah itu, saya sangat-sangat bersyukur. Isteri saya menghadiahkannya sebiji kek… hahaha… okay lah kan?
Akhirnya, anak saya menduduki SPM, dan dia mendapat A- dan B+ untuk kedua-dua subjek yang dia belajar dengan tutor peribadi. Saya sangat-sangat bersyukur. Saya mengambil projek tambahan dari kawan saya dan menyumbangkan separuh daripadanya kepada tutor tersebut sebagai tanda penghargaan kami.
Dengan keputusan SPM yang agak baik (5A) dan tiada C, anak saya memilih untuk masuk matrikulasi, dan dia merasa lebih tenang. Keputusan matrikulasi juga agak baik, dan kini dia sedang menuntut di IPT dalam jurusan yang sesuai dengannya. Dahulu, dia meminati sains, tetapi selepas dia mendapati dirinya tidak berapa mampu menguasai bidang tersebut, dia mengambil jurusan perniagaan. Dia reda dengan keputusannya, dan saya serta isteri pun tidak menghalang selagi dia minat dan yakin.
Sekarang, dia sedang bercuti semester dan berada di rumah menolong ibunya. Sekali-sekala, isteri saya masih mengambil tempahan kek dan dibantu oleh anak saya… tanpa dia tahu bahawa jualan kek itulah yang telah membantunya sebelum ini.
Di bulan Ramadhan ini, saya mendoakan agar anak-anak saya terus cemerlang dalam pelajaran dan kehidupan mereka. Kalau perlu saya berkorban tenaga dan masa di masa akan datang, saya harap Allah SWT memberi saya kekuatan. Mohon doakan untuk kami juga, ya.
– Ayah terharu (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit