Keputusan

Kisah ini sekadar perkongsian untuk persediaan hati-hati yang sedang bercelaru mencari jalan takdir kehidupan. Mungkin kalian juga dalam keadaan sama sepertiku.

Cuti pertengahan semester itu membawa kepulangan aku dengan kejutan yang teramat. Namun, aku cuba untuk tidak cepat melatah. Melihat keadaan mak mulanya membuat hatiku gembira dan tenang kerana kelihatannya semakin berisi. Namun, tekaanku salah. Itu bukan petanda sihat. Keadaan kaki, betis dan peha mak sangat bengkak dan sembab.

Aku benar-benar risau dengan keadaan mak. Kuliah tetap juga perlu diteruskan apabila cuti pertengahan semester ini habis. Tambahan pula, aku sedang membuat persiapan untuk subjek yang boleh dikatakan ‘sukar’ untuk pelajar Pengurusan Hartanah semester lima. Ianya dinamakan Estate Management Property Exhibition (EMPEX). Hampir 80% projek ini dijayakan. Hanya tunggu untuk bahagian financial dan model pembangunan serta persiapan booth sahaja lagi.

Cuti ini memang aku rancang untuk pulang awal dua hari sebelum kelas bermula. Aku pulang seperti biasa walau hati tetap berat dan perasaan pula begitu gundah. Impian tetap perlu dicapai.

Namun, manusia hanya mampu merancang. Tuhanlah yang berhak dan berkuasa menentukan segalanya. Aku menerima panggilan daripada ayah yang membawa khabar tentang keadaan mak. Mak memang menghidap kencing manis sudah lama. Semakin lama, bertambah pula darah tinggi, dan kali ini didiagnosekan menghidap buah pinggang tahap akhir.

Aku tertekan dengan keadaan di mana ayah selalu membuat panggilan dan menggesa aku pulang sedang aku banyak assignment perlu disiapkan. Aku melepaskan marah pada ayah. Menyimpan risau dalam hati terhadap mak. Banyak kali menangis sendiri mengenang apa yang terjadi. Hal ini mungkin kerana hanya tinggal lima minggu sahaja lagi untuk menghabiskan semester lima.

Dalam rasa tertekan yang aku hadapi, sering di dalam hati aku memohon kekuatan daripada Allah agar dipermudahkan urusan ini walau apa pun yang terjadi dan apa yang tergerak di hati aku memohon dipermudahkan langkah dan dicekalkan hati.

Benar.

Allah membisikkan pada hati agar membuat cuti khas iaitu cuti kecemasan yang disediakan oleh pihak universiti untuk satu semester. Limitnya hanya dua semester sahaja yang dibenarkan. Namun ia juga bergantung kepada alasan pelajar. Keputusan ini aku buat agar tidak terganggu kerja kumpulan yang memerlukan tanggungjawab dan ambil bahagian dalam ahli kumpulan. Begitu juga kerana tarikh peperiksaan akhir juga semakin hampir.

Sebelum membulat tekad, aku menghantar mesej kepada sahabat seperjuangan menggunakan aplikasi Whatsapp sebagai memberitahu apa yang sedang aku alami dan meminta pendapat daripadanya.

“Salam. Ida, apa yang saya nak cakap ni, semua belum tahu. Sebab ida paling dekat dengan saya dalam pelajaran. Kita back up each others. Sokong each others. Saya tak mintak semua ni berlaku. Tapi keputusan saya dan keluarga dah buat dan semua setuju. Mungkin minggu ini saya akan uruskan cuti khas. Saya akan jumpa En.faizal dan semua lecturer yang ajar kita. Maknanya saya akan repeat balik semester 5 nanti. Tapi, tak tahu bila. Sepatutnya nak ambik sem depan, sebab dah nak akhir. Tapi keadaan mak tak mengizinkan sangat-sangat. Terkejut saya balik hari tu. Tadi mak masuk bilik operate. Mengejut. Paru-paru dia berair da. Saya balik hari tu,saya happy sebab mak makin gemuk. Tapi saya silap. Rupanya tu sembab. Bukan gemuk. Semua bengkak dari perut paha sampai kaki. Saya tahu hati mak merintih. Perlukan saya. Saya dah tak nak fikir. Setiap sem macam ni Da. Bukan saya mengeluh dengan ujian. Tapi, saya nak pilih mak. Masa depan saya, tak apalah lambat siket. Susah jugak nanti. Tak tenang.”
5 Mei 2017, 21:58

Ini antara isi Whatsapp yang dihantar kepada Ida, rakan kelas aku merangkap roommate aku. Memang kami sentiasa bekerjasama dalam kumpulan assignment. Dua jam kemudian, aku mendapat reply daripada Ida.

“Ya Allah awak. Ida tak tahu nak cakap apa. Berat dugaan awak. Emm. Kenapa mak boleh jadi macam tu. Kesian sungguh keadaan mak. Semua berlaku ada hikmahnya, bersangka baik. Sebenarnya ida harap mak awak sihat sepanjang awak still belajar and moga tak ada apa-apa.”
“Awak buatlah istikharah. Itu yang sebaik-baiknya. Jika jawapan daripada istikharah awak adalah dengan cuti khas tu , ida reda and sokong sepenuhnya.. Hati ida berat nak cakap, ida memang tak nak awak repeat and nak sama-sama habis belajar. Tapi dalam masa yang sama ida rasa mak kita kena utamakan sebab dia tu lah dunia dan akhirat kita.”
“Dalam masa sekarang ni, mantapkan hati dengan al-quran dan zikir,moga jadi penguat dalam hati dan diberi ketenangan. Tengok mak sakit memang sedih, emosi mungkin akan terganggu. Awak kena banyak-banyak bersabar. Awak kuat . Allah hantar ujian ni kat awak sebab dia sayang awak. Ayah awak mesti sedih sangat. Yang penting jangan lupa istikharah. Tak apalah awak kalau lambat habis belajar. Abah ida selalu cakap “Dalam belajar tak ada istilah terlewat.” Rezeki Tuhan tu luas dan ada kat mana-mana. Ida tengok awak boleh pergi jauh dan boleh berjaya. Apa-apa jadi kat family awak,Ida harap awak banyakkan bersabar. Jangan lupa istikharah, istikharah , istikharah.”
5 Mei 2017, 23:13

Airmata aku menitis ketika membaca bait-bait ayat yang dikirim oleh sahabat sebagai kekuatan hati yang sedang gundah. Aku panjatkan kesyukuran kepada Allah kerana memberi aku orang yang baik-baik disekelilingku dan disaat aku benar-benar memerlukan.

Dengan balasan mesej tersebut, aku cuba pula berbincang dengan seorang pensyarah yang mana semester lima ini aku betul-betul terikat dengan satu projek penting seperti yang dinyatakan sebelum ini. Projek yang mungkin memberatkan hati aku untuk membuat keputusan besar ini.

Aku kuatkan hati menghantar mesej kepada Dr. Hafiszah. Pensyarah untuk projek EMPEX tersebut.

“Assalamualaikum Dr. Saya Siti Norhidayah binti Mamat, dari kelas AP225 5B. Dr, saya tak tahu nak cakap macam mana. Tapi, ini masalah keluarga. Mak saya sakit dan kritikal sekarang. Ayah dan abang long sarankan saya untuk ambil cuti khas. Sebab mak perlukan penjagaan rapi. Saya nak tanya pendapat Dr. Sebab ni dah dekat-dekat penghujung semester. Tak salahkan Dr kalau saya korbankan dulu masa belajar untuk fokus pada mak ? Nanti bila keadaan dah mengizinkan, insya-Allah saya tetap akan habiskan degree. Saya belum maklumkan kepada Ketua Program. Saya harap keputusan ini tak salah.”

Banyak soalan yang ditanyakan perihal keluarga. Begitu mengambil berat terhadap situasi yang aku hadapi. Namun, kata-kata nasihat daripada beliau begitu menusuk kalbu. Kata-katanya membuatkan aku rasa keputusan yang aku buat adalah sebaik-baik keputusan.

Kata Dr. “Menjadi tanggungjawab anak untuk bantu mak ayah bila diminta, jika mereka mampu lalui, mereka tak akan minta pertolongan daripada awak. Tentang belajar. Insha-Allah ada jalannya tu nanti.”

Aku mengambil kata-kata itu sebagai doa daripada seorang guru. Sungguh, doa guru itu dimakbulkan Allah. Hatiku semakin tenang dan menunggu prosedur seterusnya memandangkan hari itu adalah hari cuti. Aku perlu segera berjumpa dengan Ketua Program untuk memberi makluman sebelum membuat permohonan secara rasmi.

Apabila hari yang dijanjikan tiba, aku ke pejabat untuk menyelesaikan urusan dan mendengar pendapat daripada Ketua Program, Sr. Faizal. Beliau terkejut dengan situasi yang aku hadapi kerana memang tinggal sedikit masa sahaja lagi untuk ke penghujung semester. Namun, beliau memberi harapan dan kata positif.

“Saya tak boleh halang apa pun keputusan awak. Ini soal ibu. Pulanglah.”

Ya Allah, hati aku menangis.

Sungguh tiada siapa yang akan menghalang keputusan kita jika soal ibu. Itu tandanya mereka orang yang berilmu.

Teringat kata seorang teman, “Ibu hanya satu di dunia. Jika sudah tiada, maka tiada penggantinya. Tapi, universiti, pelajaran tetap ada. Soalan peperiksaan masih diulang-ulang setiap semester. Kau masih boleh mencapainya bila masa mengizinkan.”

Aku mendapat banyak kata hikmah daripada sahabat seperjuangan.

“Pulanglah, kami tak halang sebab itu untuk mak.”

“Ya Allah, ini keputusan besar. Hebatlah.”

“Banyaknya pahala awak.”

“Kuatnya awak, padahal sedikit sahaja lagi masa untuk habiskan semester.”

Masya-Allah. Ramainya insan yang prihatin. Banyak kenangan kita bersama. Aku juga tak lupa kata nasihat daripada pensyarah subjek Revenue Law, Madam Suhana. Katanya,

“Berbaktilah buat mak awak. Besar pahala dan ganjaran yang awak akan dapat. Tiba-tiba teringat kat arwah mak saya. Semoga dipermudahkan urusan awak. Cerita awak lebih kurang macam saya. Sewaktu saya master dulu, mak saya sakit,beberapa kali masuk hospital. Untung saya dapat lecturer yg memahami. Ulang alik saya from Jb-Kl, banyak kali ponteng kelas sebab nak jaga mak saya kat hospital. Tapi, Alhamdulillah, berkat doa seorang ibu tu, insya-Allah ada ganjaran yang akan menanti. Perlu sabar dan banyak-banyakkan berdoa. Please, keep strong. Yang penting, dahulukan ibu bapa. Besar ganjaran yang awak akan dapat.”

Keputusan aku adalah muktamad. Mereka insan yang Allah hantar sebagai penguat semangat yang kadang-kadang jatuh rebah ini. Aku pilih ibu.
Aku pulang segera ke hospital dengan perjalanan yang memakan masa selama lima jam. Shah Alam-Kemaman. Dalam perjalanan, tidak putus aku berdoa agar mak diberikan kekuatan dan dikurangkan kesakitan. Lebih mengejutkan, ketika aku menyemak akaun maybank untuk mengeluarkan sedikit perbelanjaan, terpandang angka berjumlah RM 2000 sumbangan daripada ayah kawan aku untuk perbelanjaan rawatan mak.
Masya-Allah. Maka nikmat manakah yang mahu didustakan ?

Ketika tiba di hospital, aku melihat mak sedang lena. Aku hanya duduk diam disisinya menunggunya sedar dari lena. Mak terkejut melihat aku disisi. Beliau tidak tahu keputusan yang telah aku buat. Sebelum menceritakan perkara sebenar, aku cuba menyelami isi hatinya. Aku ingin selami hati seorang ibu. Apa yang beliau inginkan sebenarnya.

“Mak, adik balik dalam jangka masa yang lama.”

Terkejut.

“Adik buat permohonan cuti khas. Cuti untuk jaga mak. Ada disamping mak. Mak reda tak dengan keputusan adik ?”

Airmatanya mengalir. Mengusap lembut jemariku.

“Mak memang nak adik.”

Masya-Allah.

Aku ceritakan kepada ayah bait perbualan ini. Memohon maaf atas rasa marah terhadap kekerapan panggilan telefon daripadanya. Ayah diam.
Keesokannya, ayah meluahkan isi hatinya.

“Ayah risau. Ayah tahu mak memang nak adik. Cuma dia tak bagitahu kita. Maaf kalau rasa ayah seakan memaksa. Ayah langsung tak berniat. Buatlah keputusan yang tepat. Ayah sokong apa sahaja yang wajar. Betul, dia ibumu. Tiada ibu bapa yang ingin menyusahkan anak-anak. Terimalah dengan hati terbuka. Tentang belajar, insya-Allah ada jalan untukmu nanti.”

Ya Allah. Ampunilah segala kekasaranku. Gantikan ia dengan kelembutan. Ampunilah atas rasa keterpaksaanku. Gantikan ia dengan keikhlasan.

Mungkin ini adalah jalan yang sedang Allah hadiahkan untuk aku menakluki syurga-Nya yang terindah dan abadi. Benar, setiap orang punya impian dan cita-cita tersendiri. Kita hanya mampu merancang. Perancangan Allah adalah sebaik-baiknya.

Impian dan cita-cita akan ku sambung apabila takdir sudah mengizinkan bersama doa mereka dan keizinan Tuhan. Tuntunilah langkahku Tuhan.

– Khazinatul Hidayah

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit