Kerana Dia Wanita Teraniaya

Assalamualaikum pembaca IIUM Confession. Aku L. Berumur 29 tahun. Confession ini bukan tentang diri aku. Tetapi tentang ibu saudaraku yang benar-benar dalam kesusahan sekarang. Aku dan keluarga besarku semua buntu bagaimana ingin membantu. Aku ‘flashback’ sikit tentang bagaimana ini semua bermula.

Beberapa belas tahun dahulu, ketika aku masih di bangku sekolah, aku membesar dengan melihat ibu saudaraku sebagai seorang wanita yang hebat. Berjaya, bekerjaya, anak-anaknya comel dan cemerlang. Dalam adik beradik ibuku, beliau yang paling kaya dan berjaya. Tetapi semuanya berubah sedikit demi sedikit kerana seorang lelaki bergelar suami.

Ibu saudaraku seorang wanita yang sgt baik agamanya. Solatnya terjaga, menjaga aib suaminya bertahun lamanya dengan cukup sempurna hingga kami seluruh keluarga tidak tahu apa-apa. Rupanya dia hidup seperti neraka di dunia.

Dahulu beliau mempunyai syarikat sendiri di utara tanahair. Memiliki banglo mewah, pekerja-pekerja yang ramai. Tetapi semuanya musnah kerana suaminya menggelapkan duit syarikat sehingga muflis. Mereka kemudian berpindah ke Kuala Lumpur. Memulakan hidup baru, menyewa rumah teres dua tingkat.

Jika dilihat pada hidup mereka, suaminya masih seperti orang senang. Menunjuk dan berbangga diri dengan asyik menukar kereta. Rupa-rupanya kereta yang diguna itu semua kereta ‘test drive’. Ibu saudaraku masih menjaga aib suaminya. Tidak sesekali diceritakan apa-apa keburukan, sehingga suaminya kantoi telah menikah dengan wanita dari negera seberang.

Ibu saudaraku kesal hingga kini, tetapi beliau tidak juga mengundur diri. Alasan anak-anak membuatkan beliau bertahan lagi. Lagi pula, beliau sudah tidak bekerja. Pengalaman mengendalikan syarikat sendiri, aku yakin beliau mampu bekerja dengan baik. Namun, kereta juga sudah tiada. Wang belanja untuk memulakan hidup baru juga tiada. Kini sepenuhnya mengharapkan ihsan adik beradik.

Untuk pengetahuan pembaca, beliau pernah sekali menfailkan penceraian kerana ketika itu beliau dipukul dengan teruk sehingga menjadi kes polis dan beliau juga pernah dipukul ketika sedang hamil.

Kami semua menyangkakan semuanya akan berakhir. Tetapi, ibu saudaraku membuat keputusan menarik balik keputusan utk bercerai. Kami juga tidak tahu puncanya. Pernah juga keluargaku berubat secara tradisional. Ada yang mengatakan ibu saudaraku sebenarnya telah diguna-gunakan. Kerana itu beliau sentiasa mudah memaafkan suami terkutuknya itu.

Terlalu banyak yang berlaku hingga aku tidak tahu dimana mahu ku cerita dan sambung lagi. Aku rasa, aku cuma mahu minta pandangan pembaca untuk keadaan terkini.

Rumah sewa yang mereka duduki sudah tidak berbayar hampir setahun. Tuan rumah tiada di Malaysia dan sangat memahami. Berminggu-minggu hanya makan nasi goreng kosong, suami tidak pulang, di rumah isteri kedua barangkali. Jangan harapkan barang dapur. Duit juga tidak dihulur.

Anak-anak (empat orang) masuk sekolah baru-baru ini perbelanjaan semua ditanggung ibuku dan adik beradik ibuku yang lain. Itu juga saat terakhir dibeli kerana ibu saudaraku tidak mahu menyusahkan orang lain, tetap juga mahu menunggu suaminya. Tetapi keluarga kami bertegas untuk membelikan anak-anaknya keperluan sekolah.

Berita terbaru, bil air dan elektrik mencecah ribuan ringgit. Notis amaran dah tiba minta segera dibayar jika tidak elektrik akan dipotong.

Kami semua buntu. Apa harus kami lakukan. Kerana keluarga besarku semua hanyalah keluarga dari golongan pertengahan. Setakat membantu belikan barang-barang dapur, keperluan sekolah, kami masih mampu. Tetapi untuk selesaikan hutang-hutang yang beribu itu, kami juga tidak mampu.

Jika harus keluar dari rumah sewa itu, kemana harus mereka pergi. Adik beradik ibuku semua sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak dan cucu yang ramai. Bagaimana harus kami tumpangkan mereka lima beranak di rumah kami. Aku buntu. Kerana tidak mampu berfikir dan tidak mampu membantu.

Maafkan aku kerana ceritaku tidak tersusun. Terlalu banyak cerita yang ingin ditulis sehingga tidak aku tahu dimana harus aku mula dan dimana harus aku akhiri.

Aku perlukan idea. Tolong. Terima kasih pembaca.

– Khayreen (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *