Kerana Kau Seorang Guru

Hai dan asalamualaikum semua. Nama aku Nur (nama samaran) aku nak luahkan sesuatu yang dah lama aku pendam sejak aku berumur 15 tahun lagi. Ini tentang cikguku. Biarlah aku gelarkan dia sebagai cikgu H.

Aku tergerak hati untuk mencoret kisah ini kerana aku terkesan dengan kisah seorang guru yang viral sekarang. Aku sangat menyokong tindakan cikgu itu. Anak murid yang kurang sopan harus dididik jika tidak kelak masa depanya akan hancur. Tapi tidak aku, aku anak murid yang sangat takut akan cikgu. Sehinggakan cikgu sendiri telah mematahkan semangat aku untuk belajar.

Sekolah aku terletak di utara tanah air. Ketika aku di tingkatan satu, semuanya berjalan dengan baik. Aku belajar dengan tenang, aku ceburi banyak bidang kokurikulum. Aku aktif dalam sukan. Aku merupakan pelajar dalam kalangan yang menyerlah.

Aku ingat lagi pada waktu itu cikgu wanita itu mengajar kami sekelas mata pelajaran sejarah. Aku pernah membentang kerja kumpulan di hadapan kelas. Cikgu h pada ketika selalu memuji kepetahan aku berkata kata. Aku sangat seronok belajar dalam kelas cikgu H.

Namun semuanya berubah apabila aku melangkah kaki ke tingkatan 2, segalanya berubah sekelip mata. Cikgu H selalu cari kesalahan aku. Dia merupakan guru kelas aku, aku ingat lagi ketika kami semua berbincang untuk melantik penolong ketua kelas semua majoriti kelas menyokong aku, tapi cikgu H membangkang sekeras kerasnya. Pelik bukan, kenapa perangai cikgu H berubah sekelip mata.

Ini semua kerana, status aku sebagai anak luar nikah. Bagaimana dia tahu aku anak luar nikah? Selepas adik aku menjejakkan kaki ke tingkatan satu, bin kami tak sama. Menjadi kemusykilan buat semua guru guru.

Sejak dari itu cikgu H selalu memandang jelek pada aku, ilmu yang dia curahkan buat kami sekelas tidak pernah lekat dalam jiwa dan minda aku. Mungkin kerana dia tidak ikhlas mendidik aku. Dia bukan saja pulaukan aku, sesiapa yang berkawan baik dengan aku juga dipulaukan oleh nya. Sehinggakan ramai yang menjauhkan diri dari aku. Aku malu. Aku segan. Allah saja yang tahu keadaan hati aku ketika itu.

Aku merupakan pengawas pusat sumber, aku jalan kan tugasku seperti biasa, seperti yang termaktub di dalam jadual yang disediakan. Kebetulan, cikgu H merupakan cikgu pusat sumber, jadi aku sekali lagi menerima pelbagai kritikan dari cikgu H. Sehinggakan aku tidak tahan dan ingin menarik diri dari menjadi pengawas.

Aku maklumkan pada dia. Dia hanya tersengih. Aku ingatkan segalanya akan terhenti di situ, rupanya tidak. Dia memanggil aku berjumpa dia di kantin sekolah, pelbagai kata kata kesat di hamburkan kepada aku dihadapan pelajar dan guru guru lain. Sehinggakan seorang guru disitu juga ikut memerli aku. Ya allah, apa dosa aku. Aku tak minta dilahirkan menjadi anak haram. Aku tak minta.

Segalanya tidak terhenti di situ, sehinggalah pada suatu hari hati aku betul betul remuk dan sakit menerima segala perkataan sarkastik yang keluar dari mulutnya. Aku nekad. Aku pulang ke rumah. Berlakon sakit, tidak mahu ke sekolah. Badan aku penuh birat dibalun mak tapi aku tetap berdegil. Aku ingin berhenti belajar, akhirnya mak akur. Dan ya, aku berhenti belajar hanya kerana seorang guru yang berasa diri dia mulia. Tidak hina. Yang berasa keturunannya juga akan mulia.

Cikgu, seandainya cikgu baca confession saya, saya ingin ucapkan ribuan terima kasih untuk semua ilmu yang cikgu curahkan. Kerana kau yang bergelar cikgu masa depanku gelap.

Tapi sang pencipta itu maha kaya sungguh pun aku tidak berjaya mengengam segulung sijil spm, tapi aku masih mampu mencari rezeki yang halal. Masih mampu membeli kereta. Makan pakaiku masih cukup. Tidak seperti yang cikgu hamburkan pada aku pada tarikh 4.5.14 cikgu mengelarkan aku tak guna, tapi aku masih berguna cikgu, aku masih mampu berbakti buat ibu ayah aku walaupun aku tidak bergelar cikgu.

Aku sayang semua cikgu yang pernah menabur ilmu buat aku. Aku menjadi manusia sekarang kerana cikgu cikgu aku yang lain, yang sentiasa mendoakan dan menyokong aku. Yang sentiasa memberi kata kata semangat untuk aku terus melangkah maju. Cikgu H, semoga cikgu diampunkan oleh Allah atas semua kata kata dan perilaku cikgu kepada aku. Sesungguhnya aku telah memaafkan mu. Kerana aku tahu. Cikgu juga masih bergelar MANUSIA.

Buat guru guru diluar sana, didik lah kami dengan ikhlas. Tidak kira apa saja latar belakang kami, didiklah kami dengan sebetulnya supaya kami menjadi bangsa yang bermaruah dan berilmu. Cikgu halalkan ilmu mu.

Semoga cikgu viral akan mendapat keadilan. Amin.

– Nur (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *