Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Terima kasih admin kerana sudi menyiarkan luahan hati insan kerdil ini. Jika dilihat tajuk, mungkin sudah ramai yang dapat meneka cerita apa yang ingin aku kisahkan. Ya, ini kisah mengenai ibu bapaku. Insan yang amat aku sanjung, hormat dan sayang. Sebelum itu, sedikit pengenalan tentang diri ini, aku seorang perempuan dan mempunyai seorang adik, juga sama jantinya denganku.
Tujuan aku meluahkan rasa ini bukan untuk dikeji apatah lagi membuka aib sesiapa. Aku hanya inginkan pendapat kalian tentang bagaimana caranya supaya aku dapat membanggakan kedua orang tuaku. Alhamdulillah, aku dilahirkan dalam sebuah keluarga yang bahagia walaupun hidup kami hanya sederhana.
Aku dan adik mempunyai jarak umur yang agak jauh, iaitu 5 tahun. Jika dilihat dari segi sikap, kami berdua sangat berbeza. Aku jenis yang pendiam manakala adik pula peramah orangnya jadi antara kami berdua, adik sering mendapat perhatian dari mana-mana kelompok manusia. Mungkin ada sedikit rasa cemburu tetapi mana mungkin aku mengubah diri aku untuk menjadi sepertinya (adik). Setiap kali adik mendapat pujian, aku tersenyum gembira. Aku senang melihat adik bahagia kerana itu doaku setiap hari.
Hanya apabila ibu dan ayah mula membandingkan kami berdua, aku mula rasa rendah diri. Aku tidak sehebat adik. Adik anak yang solehah, aktif sukan serta semua jenis pertandingan di sekolahnya sedangkan aku? Aku seorang yang pemalu dan selalu merasa rendah diri setiap kali aku lihat adik berjaya buatkan ibu dan ayah bangga dengannya.
Bagi ibu dan ayah, aku ni anak yang lemah kerana aku tidak pernah menyertai sebarang jenis sukan apatah lagi mana-mana pertandingan. Aku hanya duduk diam, gemar membaca dan seringkali memerhati sikap manusia di sekelilingku. Mungkin kerana itu aku suka menulis kerana menulis membuatkan aku rasa tenang. Setiap kali aku dilukai dengan kata-kata ibu atau ayah, aku menulis. Kadangkala basah kertas yang aku tulis dengan air mata.
Aku bukan mahu mengungkit namun aku sudah lali dengan janji ibu dan ayah yang tidak pernah ditepati. Aku penat untuk menjadi sempurna untuk mereka (ibu dan ayah). Bagi mereka, aku perlu memperolehi keputusan yang cemerlang setiap kali peperiksaan terutamanya peperiksaan besar. Satu peristiwa yang aku tidak mungkin lupakan apabila aku tidak mendapat ‘straight’ A di dalam peperiksaan PMR, aku dipulaukan keluarga. Namun aku tebus kembali ketika SPM. Selepas SPM pun ada masalah juga apabila ayah mahu aku menjadi guru walhal cita-citaku adalah sebaliknya.
Aku ingat semuanya sudah selesai walaupun kadangkala ibu dan ayah masih membandingkan aku dan adik. Kata ibu, adik lebih tinggi ilmu agamanya berbanding aku. Ibu dan ayah juga lebih percayakan adik berbanding diri ini. Ceritanya berlarutan sehingga keputusan SPM adik keluar baru-baru ini. Jika dihitung bilangan A, keputusanku jauh lebih bagus darinya namun ibu dan ayah masih juga bangga dengan adik. Kata ibu, adik sudah buat yang terbaik. Jadi mengapa suatu ketika dulu aku dipulaukan hanya kerana aku tidak memperolehi ‘straight’ A? Aku kecewa malah luka itu kembali berdarah. Sakitnya itu hanya aku yang rasa.
Jika kalian di tempatku, pasti kalian juga tidak mampu memberitahu satu persatu sakit di hati yang di pendam selama ini. Aku sayang ibu dan ayah kerana itu aku simpan dan pendamnya. Biar sakit itu hanya aku yang tahu kerana mereka syurga di hatiku.
Aku bukan minta untuk dikeji atau sebagainya tetapi aku hanya mahu pendapat kalian untuk aku terus berusaha membahagiakan serta membanggakan ibu dan ayah kerana di saat ini aku merasa gagal untuk menjadi anak yang baik buat orang tuaku.
-KAKAK-
– KAKAK
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit