Kerana PS4

Assalamualaikum pembaca IIUM Confession. Saya Sofia. Tujuan saya menulis disini adalah untuk meminta pandangan kerana saya betul2 buntu apa harus saya buat.

Saya telah berkahwin beberapa tahun tetapi belum dikurniakan zuriat. Suami saya baik sangat orangnya. Dari sebelum kahwin sehinggalah selepas berkahwin, sama saja baiknya. Cuma semenjak akhir2 ini dia berubah kerana game, lebih tepat lagi kerana PS4.

Suami saya seorang yang lemah lembut dan tak pernah naik suara. Selalu membantu kerja2 rumah, malah dia lebih rajin daripada saya.

Dia juga jenis yang menjaga solat, selalu solat disurau atau masjid berdekatan rumah. Kalau bab baca quran, dia yang paling rajin. Lepas subuh baca yaseen, lepas magrib baca mana2 surah dan lepas isyak mesti baca al-mulk.

Sebelum tidur wajib solat sunat witir sebagai penutup. Tahajud tu ada juga dia buat walaupun bukan tiap2 malam. Semua ni sebelum kahwin lagi saya tahu dia memang macam ni.

Kawan2 dia semua kata saya beruntung kahwin dengan dia. Sejak awal kahwin, dia ajak saya sama2 join aktiviti dia ni.

Saya seronok sangat sebab dapat kahwin orang baik2, dapat belajar untuk mendalami agama, dapat solat Jemaah sama2 tak pernah miss kalau dua2 ada dekat rumah. Banyak lagi la kebaikan2 dia.

Tapi semua ni berubah lepas handphone dia rosak dan dia membeli phone yang baru. Phone yang rosak tu biasa2 saja, bila beli yang baru dia beli yang elok sikit. Bila spec dah tinggi, dia download la beberapa game.

Mula2 saja nak main, lama2 dia terjebak dengan game yang boleh main dengan kawan2 yang boleh perang sama2.

Lepas tu upgrade lagi PS sebab lagi syok skrin tv lagi besar kan. Saya masa tu tak halang sebab saya tahu dia juga bosan.

Ye lah tak ada anak lagi kan. Nak buat apa saja duk dekat rumah tambah2 masa pkp. Bermula la perubahan diri dia. Allah, sedih sangat bila ingat balik. Kalau tahu la saya suruh saja dia beli phone biasa2.

Solat dah mula lewat sebab terlajak main game. Dulu sama2 solat Jemaah sekarang dia suruh saya solat dulu sebab tengah sibuk berperang. Saya pula rasa tak sedap nak tunggu dia takut lewat sangat solat.

Al quran jarang baca sebab lepas solat tergesa-gesa nak join main game balik. Yang paling sedih, dah selalu sangat terlepas solat subuh.

Dulu ada jarang2 kami berdua terlepas sebab tak sedar langsung, dia terus bangun qada solat sebab rasa bersalah dan dosa sangat. Sekarang banyak kali saya kejutkan pun, dia bangun duduk kejap last2 tidur balik.

Saya solat subuh berseorangan, lepas tu tertidur sekejap. Bila sedar balik saya terus terkejut sebab ingat tadi dia belum solat.

Saya kejutkan dia tanya dah solat subuh ke belum, dia dengan selambanya cakap tak solat lagi. Terus sambung tidur macam tak ada apa2. Waktu subuh pun dah habis.

Macamana tak mengantuk kalau malam2 tak tidur duk melayan game tu. Pernah saya paksa dia masuk tidur sekali sebab saya terus off plug ps5, yes dia masuk.

Tapi dia tunggu saya tidur dia sambung main dekat phone dalam gelap tu. Saya pura2 tidur masa tu. Bila saya saja2 gerakkan badan sikit terus dia sorok phone dan buat2 tidur.

Kadang2 dia keluar balik main PS dekat luar bilik. Ya Allah sedih hati saya lihat suami yang saya kasihi jadi macam ni.

Kenapa jadi macam ni abang? Saya harapkan abang untuk pimpin saya ke syurga, untuk kita sama2 jadikan rumah tangga ni diredhai Allah. Sebab saya tak dapat bagi abang zuriat ke abang jadi macam ni. Saya penat jadi macam mak pada suami. Macam budak kecik.

Nak kena kejutkan solat tiap2 hari, bentangkan sejadah, cari kain pelikat sebab nak mudahkan dia solat plus nak biar sempat solat sebab waktu dah nak habis.

Ya saya tahu itu semua ladang pahala tapi saya penat sebab saya ni pengikut, bukan pemimpin. Bagi saya suami itu pemimpin dalam rumah tangga. Takkan lah isteri nak kena remind tiap2 hari waktu solat.

Kalau sebab zuriat, saya dan dia telah pergi ke hospital untuk cek, alhamdulillah kami berdua okay tak ada masalah, cuma belum ada rezeki. Doakan kami ye dikurniakan zuriat yang baik2 tahun ni. Kami dah usaha dengan cara moden dan tradisional, tapi belum berhasil.

Saya cakap dekat suami macamana Allah nak kabulkan doa kita kalau solat pun lambat, tak jaga solat subuh, alquran pun tak sentuh.

Macamana Allah nak bagi rahmat dan keberkatan dalam rumah tangga kita? Macamana Allah nak bagi kita anak kalau kita solat pun tak jaga, anak nak jadi apa? Dia diam saja, berubah kejap.

Tapi lepas tu tetap main game macam biasa. Dia ada masalah kah? Dia bosan sebab tak ada anak kah?

Ya dia banyak kali cakap nak baby tapi nak buat macamana. Bukan saya yang tentukan semua tu. Tu semua Allah punya kerja. Saya ingat bulan puasa ni dia akn berubah tapi tak pun.

Dia balik kerja terus buka game sedangkan saya lintang pukang dekat dapur. Saya tak kisah bab masak tapi tolong lah sedikit siapkan meja ke, sapu2 rumah sikit.

Kalau tak nak tolong tu saya harap dia tunjukkanlah contoh yang baik macam baca quran ke, manfaatkan bulan puasa ni bukan sia-siakan waktu yang Allah bagi.

Kalau dia baca quran tak ada la saya rasa nak marah walaupun tak tolong kerja rumah. Saya dah penat tegur cara lembut. Takkan nak saya cakap kasar. Pernah sekali saya ternaik suara kata nak bawak masuk kubur ke game tuh?! Dia sentap.

Dia buat silent treatment pada saya few days. Last2 saya yang minta maaf. Sebelum ni banyak terlepas subuh, lately banyak terlepas isyak sebab lepas magrib sambung main game sampai tengah malam ke pagi pastu tertidur. Nampak tak makin lama makin teruk.

Saya pernah sekali dua bercerita tentang suami saya ni pada ibu mertua. Alhamdulillah saya dikurniakan keluarga mertua yang baik2.

Saya cuma cerita yang suami saya kuat main game dan solaat lambat dengan harapan dia dengar nasihat ibunya, pasal terlepas solat ke apa saya rahsiakan dari ibu mertua saya.

Ibu mertua saya terus call suami saya dan ingatkan dia tentang tanggungjawab2 dan pengorbanan sebagai suami, sebagai orang islam. Kadang2 ibu call saya tanya mcamana suami, saya cuma cakap belum ada apa2 perubahan ibu.

Ibu suruh saya campak phone dan PS suami keluar rumah (rumah kami apartment tinggi tingkat 17). Ibu suruh saya rosakkan PS5 dengan potong wayar atau rendam dalam air diam2 biar suami tak dapat main.

Kalau dia hantar dekat centre untuk repair mesti kantoi. Saya belum berani cuba cara tu sebab saya takut reaksi suami macamana.

Dia tak pernah marah sebelum ni tapi tiba2 hari tu saya cakap dekat dia abang dah banyak kali tinggal solat subuh. Dia terus jerkah saya kuat katanya “mana ada tinggal solat!!!!, jangan tuduh bukan2 !!”

Saya tak pernah lihat dia marah jadinya saya agak terkejut dan menangis sebab belum pernah dia berkasar macam tu.

Sebab itu juga saya takut nak buat yang MIL saya suruh. Lagipun dia beli mahal. Saya takut reaksi dia silap2 boleh gaduh besar. Saya tak pernah fikir untuk berpisah. Saya tak halang dia nak main game asalkan jaga solat dan amalan2 lain.

Dia baik, nafkah semua ok malah tak pernah berkira bab duit dengan saya. Cuma sejak terjebak dengan game dia solat lintang pukang dan sikap dia berubah sangat. Saya risau pasal solat tu saja sebenarnya.

Saya tak sangka orang ketiga dalam rumah tangga kami bukannya perempuan murahan, tapi game yang mahal. Saya runsing sangat pasal dia. Atau saya yang overreact?

Tolong la bantu saya. Saya perlukan nasihat yang membina. Minta maaf kalau ada salah silap.

Harap kaum lelaki boleh ambil pengajaran. Janganlah abaikan solat dan keluarga disebabkan game. Sampai bila nak main game tu. Adakah game tu akan bermanfaat untuk kita bila kita sakit, bila kita tua dan bila kita meninggal nanti?

– Sofia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *