Assalamualaikum dan terima kasih yang tak terhingga aku ucapkan kepada warga IIUM kerana sudi menyiarkan kisah aku.
Aku harap kisah ini memberi pengajaran kepada semua gadis dan jejaka diluar sana agar jangan mengikut hati jika terlampau cintakan seseorang. Kelak pedihnya akan menikam diri.
Kerana sayang aku serahkan segalanya kepada Afiq (bukan nama sebenar), betapa bodohnya aku ketika itu. Aku dibutakan dengan sikapnya yang penyayang dan prihatin.
Tambahan lagi dia dilahirkan dalam keluarga yang baik, dan diberikan ilmu agama yang cukup dimana ibunya bekerja sebagai seorang pendidik manakala bapanya sebagai peorang penjawat awam. Manakala aku, hanya seorang gadis kampung yang kurang didikan agamanya.
Awal perkenalan kami adalah sewaktu kami sama-sama menuntut di salah sebuah IPT yang terletak di utara tanah air, dimana kami berada dalam kelas yang sama.
Aku amat kagum dengan sikap Afiq yang bersahaja dan sering menjadi buah mulut pensyarah akan kebijaksanaannya. Kami sering bertentang mata dan menyimpan perasaan antara satu sama lain, Afiq mula mendekati ku dan kami sama-sama menjalin hubungan cinta.
Kami juga telah beberapa kali berlebihan dalam menjalinkan hubungan cinta, hubungan yang dibina tidak ubah seperti sepasang suami isteri.
Pada awalnya aku agak berat hati untuk melakukan ‘perbuatan’ tersebut, namun setelah dipujuk rayu dan ditaburi janji manis untuk berkahwin dengan ku, aku tewas.
Ya, betapa bodohnya aku pada waktu itu! Benarlah kata orang sekali kita mendekati zina, maka kita sering kali akan mengkehendakinya.
Mengkehendaki nafsu yang satu itu merupakan keseronokan yang sementara, aku berasa jijik dengan diriku. Aku juga telah beberapa kali mengajaknya untuk bertaubat dan meninggalkan perkarata tersebut namun dia enggan.
Setelah tamat belajar, Afiq menyambung pengajiannya dalam jurusan kejuruteraan dan perisian dan teknologi maklumat selama 3 ½ tahun di selatan tanah air.
Manakala aku berkerja sebagai seorang pekerja swasta, aku juga pernah berhasrat untuk menyambung pelajaran namun aku tangguhkan niat itu terlebih dahulu kerana ingin membantu keluargaku.
Sewaktu tahun pertama beliau di universiti, hubungan kami diuji dengan kehadiran seorang wanita yang mengagungkan Afiq sebagai teman lelakinya di media sosial, aku agak goyah pada ketika itu dan aku memarahinya dan bertanyakan akan kesahihan perkara tersebut.
Seperti biasa, dia menidakkan akan perkara itu dan aku kembali mempercayai akan janji manisnya.
Sejak kejadian tersebut, hubungan kami mulai renggang, dan kemuncak kepada pengakhiran hubungan kami bilamana aku terjumpa sekeping gambar Afiq dan seorang wanita yang agak mesra di telefon bimbit miliknya dan aku mengambil keputusan untuk meninggalkannya.
Tahun ini genap 6 tahun kami berpisah, dia juga telah berjaya dengan kehidupannya dan telah berkhidmat sebagai salah seorang pegawai kerajaan di utara tanah air.
Jujur aku masih mengharapkan agar kami dapat bersatu sebagai pasangan suami isteri yang sah, agar dia mempunyai sedikit tanggungjawab atas perbuatan yang kami lakukan dahulu.
Tidak ada lagikah sekelumit rasa tanggungjawabnya kepada ku? Tetapi mana mungkin dengan jawatan yang disandangnya dia ingin memperisterikan aku wanita jijik ini.
Kadangkala dia juga ada bertanyakan khabar dan kami sering bersembang dan bertukar pendapat melalui aplikasi whatsapp, mendapat whatsapp darinya cukup membuatkan aku bahagia.
Aku sering mendoakan namanya dan menghadiahkan surah Yassin dalam setiap doa ku agar DIA permudahkan hubungan kami agar dapat berkahwin. Namun aku tahu aku hanya syok sendiri dan perkara ini tidak mungkin terjadi….
Benarlah kata orang, jangan pernah menyesal apabila ditemukan dengan orang yang salah kerana setiap orang yang datang dan pergi dalam hidup kita tentunya membawa banyak pengajaran untuk kita selami.
Hidup ini Allah yang temukan kita dengan seseorang yang kita anggap salah agar kita jadi lebih kuat.
Kini Afiq juga baru sahaja mendirikan rumah tangga pada tanggal kelahiran ku. Sakit, itulah yang aku rasakan sekarang. Aku disini kekal setia mendoakan kebahagiaan Afiq dan pasangannya. Tidak pernah sekali pun aku doakan kehancuran mereka.
Afiq, sekiranya kau membaca coretan ini cukuplah engkau tahu bahawa dengan melihat dikau bahagia juga merupakan kebahagiaan terbesar buat diriku. Hargailah pasangan kau seadanya dan janganlah dihancurkan hati seorang wanita yang telah diamanahkan oleh-Nya untukmu.
Doakan aku juga agar dapat melanjutkan pelajaran dalam peringkat ijazah sarjana seterusnya dapat menamatkannya dengan baik. Hal ini kerana musim Covid-19 membuatkan jadual kuliah ku terganggu.
Terima kasih kepada semua kerana sudi mendengar luahan aku.
– Nurul Hasanah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit