Salam semua. Aku Kamilia, terpanggil untuk menulis berkenaan pengalaman sebagai isteri yang sombong dengan suami. Sudah masuk 15 tahun perkahwinan kami, dan semuanya adalah sebuah kisah yang begitu menginsafkan dari Allah.
Aku seorang pendidik, dan aku sudah mula bekerja pada usia 25 tahun serta berkahwin pada umur 28 tahun. Semestinya gaji itu agak banyak kerana sudah 3 tahun usia pekerjaanku, sedangkan suamiku baru bergelar pegawai polis pada tahun pertama perkahwinan kami.
Untuk pengetahuan semua, kami sebaya, dan kami sudah pun berusia 40 tahun.
Aku akui, aku begitu sombong dengan seorang yang bergelar suami. Aku menghina dia dengan cara lari rumah bawa anak-anak, tidak bercakap berhari-hari, memburuk-burukkan dia pada kawan-kawan,
Dan sepanjang tempoh 9 tahun perkahwinan, aku selalu tidak berpuas hati dengan suami yang tidak memberi nafkah, tidak belanja itu dan ini, hampir bercerai kerana tidak sabar dengan kemampuannya.
Aku begitu cemburu melihat kebahagiaan rakan-rakan lain yang dibelikan suami itu dan ini, sedangkan dia tidak walaupun hanya belanja makan sedap-sedap. Baju anak-anak, semua akulah yang berbelanja.
Sepanjang 9 tahun itu, sudah berkali-kali aku meminta cerai kerana tidak pernah berdamai dengan kemampuannya. Mengungkit pemberian, berkira dengan aku, itu sudah menjadi topik biasa pergaduhan kami.
Namun, Allah menakdirkan aku untuk berpindah negeri bekerja dan bermulalah episod perkahwinan jarak jauh kami. Kini sudah hampir 6 tahun kami berjauhan.
Apa yang aku katakan tentang kesombongan aku adalah, aku sangat boros berbelanja sehingga terpaksa mengikuti program AKPK kerana pinjaman peribadi dan kad kredit yang terlalu banyak walaupun aku pegawai kerajaan. Dan kini sudah pun 3 tahun usia aku bersama program AKPK.
Allah menguji aku, dengan hidup aku bersama tiga orang anak, sedangkan suamiku masih lagi bekerja di negeri lain. Di situlah bermulanya episod aku mengenal Allah dan kasih sayang-Nya.
Sewaktu Covid, aku terpaksa berjauhan kerana dia seorang pegawai polis yang tidak boleh pulang ke rumah hampir 3 bulan. Aku mula mengenal Allah apabila kehidupan aku adalah mengharapkan Dia, bukan lagi suami yang selama ini berada bersama.
Untuk pengetahuan semua, aku tinggal di rumah sendiri di negeri tempat aku bekerja, tempat asalku. Aku mula berasa cinta kepada Allah dan semakin dekat dengan-Nya kerana aku hanya tinggal bersama anak-anak.
Begitu rapatnya aku dengan Dia hingga aku rasa bahagia, dan ketika itulah aku rasa kebahagiaan itu adalah sebenar-benarnya apabila Allah bawa aku jauh dan hidup hanya bersama-Nya dan takdir-Nya.
Aku merasa cukup dengan apapun, tidak lagi cemburu melihat kebahagiaan rakan-rakan, malah aku memilih untuk tidak mengikuti sebarang media sosial. Aku hanya fokus kepada keluarga dan kerja.
Di situ, aku belajar apa itu qanaah apabila Allah mentakdirkan aku kini “bergantung” dengan suami dan pemberiannya setiap bulan.
Aku tidak lagi marah dan tidak lagi mengungkit tentang duit, walaupun separuh daripada gaji aku masih lagi membayar kereta dan rumah, anak-anak, dan sebagainya.
Tiada rasa di hati untuk berkata, “Aku bayar lebih, kau tak,” atau “Aku yang tanggung keluarga di rumah ini,” sedangkan suami balik hanya 3-4 kali sebulan.
Dia memberiku setiap minggu RM200 untuk aku hidup tanpa dia di sisi, tambahan pula suami sudah pun pergi bekerja lebih jauh. Semuanya ditanggungnya, aku hanya perlu meminta. Menitis air mata setiap kali mendoakan dia.
Itulah lelaki yang aku hina, yang sabar dengan aku dan kesombongan aku. Allah ambil sebahagian kebahagiaan, iaitu gaji dan AKPK. Allah minta aku merendahkan hati untuk selalu merasakan tidak hebat dengan apa yang dimiliki.
Sesungguhnya tiada apa lagi yang boleh aku katakan sekarang melainkan kesombongan aku selama ini Allah uji dengan mengambil sebahagian gaji aku dan meletakkan aku “di bawah” suami, bukanlah “di atas” dia.
Sekaya mana aku, Allah minta aku selalu rendahkan hati dan ego kerana syurga itu benar, di telapak kakinya.
Suami tak pernah lokek, dan walaupun hanya makan nasi dan tomyam biasa, tidur di hotel RM100, pergi ke kedai Eco, itu sudah cukup untuk aku dan anak-anak.
Di sini, Allah mengajar aku untuk bersyukur dengan nikmat-Nya dan aku tak meminta lebih. Aku bahagia dengan apapun pemberian suamiku. Menjadi sombong meletakkan aku paling rendah dalam perkahwinan aku.
Suami pernah beritahu yang Allah berikan dia pangkat untuk bantu aku dan anak-anak, sedangkan aku dulu begitu sombong hingga merendahkan dia, meletakkan peranannya dalam hidup aku begitu kecil, sedangkan dia SUAMI dan itulah syurgaku.
Wahai isteri, berdamailah dalam kemampuan suami kita. Walau dia tak beri apapun, itu adalah yang Allah takdirkan untuknya, dan kita perlu hidup bersamanya.
Bersabarlah, sesungguhnya kebahagiaan akan datang pada kita. Bersangka baiklah dengan Allah. Sabarlah dalam nafkah, sabarlah dalam memberi sedekah dalam keluarga.
Suami tak lupa dan dia tidak buta. Dia tahu kita berkorban. Satu hari, Allah pasti balas kebaikan untuk kita, bersama doa-doa isteri yang tiada hijab untuk suami kita. In shaa Allah.
– Kamilia (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
I like this. She’s spot on