Kerana Tajamnya Lidah Seorang Ibu

Assalamualaikum warga IIUM Confession. Terima kasih admin kerana menyiarkan posting ini.

Nama aku Maya (bukan nama sebenar). Seorang gadis berusia 20an dan masih belum berkahwin. Tinggal sebumbung dengan family di daerah selatan Malaysia.

Sebelum pergi lebih jauh, ingin aku beritahu bahawa posting ini bukannya untuk memburukkan. Ia sebagai pengajaran terutama kepada wanita yang bakal bergelar ibu atau yang sudahpun menjadi seorang ibu.

Oh ya, aku ceritakan sedikit latar belakang keluarga supaya kalian lebih faham cerita ini. Aku anak ketiga daripada lima orang adik beradik.

Ayah dan ibu kerja biasa-biasa sahaja. Tapi kalau pertama kali orang melihat ibu, biasanya mereka akan anggap ibu aku ni ustazah kerana pakaian yang labuh dan menutup aurat. Mungkin kerana nenek aku seorang ustazah, jadi asbab didikan yang baik, ibu terbentuk begitu.

Hubungan aku dengan ibu tidaklah terlalu rapat. Dan sejujurnya, mustahil untuk menjadi rapat kerana beberapa sebab.

Kisahnya bermula dari zaman aku di sekolah rendah. Ibu tidaklah terlalu garang, cuma kebanyakan kata-katanya benar-benar mengubah personaliti aku.

Seorang anak yang masih di sekolah rendah biasanya sudah mula faham apa itu bahasa kasih sayang, apa itu sindiran, dan apa itu merendahkan.

Aku masih ingat kejadian waktu aku di Darjah 3. Masa ni musim cuti sekolah dan ada beberapa orang sepupu datang menginap di rumah aku. Lepas isyak dan selesai makan, kami sama-sama ke meja belajar untuk buat kerja sekolah. Aku lemah Matematik.

Sepupu aku bersungguh-sungguh terangkan cara untuk selesaikan soalan tu, aku masih tak faham. Akhirnya mereka panggil ibu untuk terangkan caranya. Lepas ibu terangkan, aku makin tak faham.

Dan akhirnya ibu berkata “dia tak pandai, biar la. Kamu sambung soalan lain”. Kata-kata ibu disambut dengan gelak tawa dari sepupu. Jatuh merudum keyakinan diri aku masa tu. Terus aku label diri aku sebagai anak yang tak pandai.

Pernah sekali tu ibu dan ayah rancang nak buat rumah terbuka sempena Aidilfitri. Masa ni saudara dan sepupu ramai yang request nak menginap di rumah kami. Family gathering katanya.

Jadi kami bertungkus lumus kemas rumah. Waktu ni ibu nak masukkan tilam baru ke dalam bilik yang sepupu aku akan duduk nanti.

Bilik tu dah ada 2 tilam, jadi aku suggest untuk masukkan ke dalam bilik lain. Kemudian ibu balas, “diamlah, kau bukan tahu apa”.

Lepas kejadian tu, aku betul-betul jadi pendiam. Aku takut nak bagi apa-apa pendapat dalam rumah ni sebab pendapat aku akan selalu salah.

Dan ada satu kejadian yang melukakan hati aku yang masih aku ingat sampai hari ni. Waktu Form 5, aku merupakan target student untuk dapat straight A disebabkan rekod akademik yang baik.

Jadi tahun itu aku sibuk dengan kelas tambahan. Buku juga lebih banyak diperlukan untuk latih tubi.

Aku struggle betul-betul sebab dulu aku lemah akademik. Aku yakin SPM ni akan jadi jalan untuk aku menyerlahkan potensi agar tak dipandang rendah lagi oleh ibu.

Dua bulan sebelum periksa, cikgu beritahu ada penerbit yang keluarkan buku edisi khas untuk pelajar SPM. Keluaran terhad. Masa ni semua kawan aku berlumba-lumba untuk beli. Mahal harga buku tu, cecah RM60.

Aku jarang meminta dengan ayah sebab selalunya jawapan “takda duit” itu akan diulang seperti zikir. Jadi aku tanya kepada ibu.

Jawapan yang aku dapat ialah “tak habis-habis beli buku. Ni kalau tak straight A kau pulang balik duit ibu”. Mungkin ada yang sangka ibu melawak.

Tapi seorang anak lebih mengenal ibunya. Aku tersentak masa ni. Salahkah aku minta sedikit wang dari ibu ayah sendiri? Aku tak buat perkara terkutuk, aku nak beli buku untuk belajar.

Apabila dah semakin dewasa, aku lebih rapat dengan kawan-kawan dan saudara-mara berbanding dengan keluarga sendiri sebab aku selalu dapat ‘acknowledgement’ dari mereka.

Waktu nak pilih course untuk sambung degree, aku banyak minta pandangan kawan-kawan dan sepupu.

Aku pernah dimarahi ibu kerana tak cerita pun dekat dia course mana yang aku minat. Katanya aku lebih mengutamakan orang luar dari ibu sendiri. Tidakkah dia tahu kenapa aku tidak bercerita kepadanya?

Sekarang, aku sudah pun bekerja di sebuah syarikat yang agak ternama. Aku cuba perbaiki hubungan dengan ibu. Hal-hal kerja yang menggembirakan aku pasti cerita agar ibu tahu tentang kehidupan seharian aku di pejabat.

Aku pernah menang cabutan bertuah pada malam Annual Grand Dinner. Sebuah television yang agak mahal harganya. Adik-adik bersorak bila aku balik rumah bawa hadiah besar.

Tapi respond yang aku dapat dari ibu hanya lah “buat apa TV banyak-banyak ni, hiburan melampau lah keluarga ni nanti”. Terguris betul hati aku malam tu. Apa lagi yang perlu aku buat untuk dapat secebis pujian dan sokongan dari ibu?

Aku masih waras dan sedar bahawa syurga aku ada pada ibu. Tapi aku buntu, di manakah jalan ke syurga itu?

Aku hanya berharap jika suatu hari nanti aku diizinkan untuk menjadi seorang ibu, aku akan jadi kawan, penyokong, dan pendukung penuh kepada anak-anak aku nanti. Sebab aku tahu sakitnya hidup tanpa semua itu.

Dan aku juga berharap ibu-ibu di luar sana dapat membuka mata bahawa kata-kata yang datang dari lidah kecil itu sebenarnya lebih tajam daripada pedang, bila-bila masa sahaja boleh melukakan dan menghancurkan.

Semoga kita semua berjaya menemui jalan ke syurga itu. Doakan aku.

– Maya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *