Kerana Terlalu Excited Kenalkan Kepada Ahli Keluarga Akhirnya Kami Berpisah

Aku Tulip. Dalam usaha aku mencari jodoh, aku telah berkenalan dengan beberapa orang sejak tahun lepas.

Aku sempat berkenalan dengan beberapa orang yang menggunakan perkataan kahwin semata-mata untuk cuba mengambil kesempatan ke atas aku.

Aku memang dah masak dengan taktik diorang ni, jadi bila diorang mulakan langkah untuk ajak aku bercuti luar kawasan memang aku elak. Macam-macam cerita jugak lah diorang ni. Anak artis pun ada. Kalau ada permintaan akan aku ceritakan nanti.

Tahun lepas aku berkenalan dengan Freddie (bukan nama sebenar) yang berasal dari Borneo.

Freddie tak pernah buat sebarang percubaan untuk mengambil kesempatan ke atas aku. Dia tak pernah mintak gambar selfie, tak pernah membuat cubaan untuk panggil aku dengan panggilan manja ataupun buat apa-apa cubaan untuk mengorat aku.

Kami berkenalan melalui dating apps. Pada awal perkenalan aku memang tak tertarik dengan Freddie. Cuma aku selesa untuk berkawan dengan dia.

Freddie seorang yang sangat sibuk dengan pekerjaannya. Tapi sesibuk dan selewat mana pun dia habis kerja, dia akan video call aku. Tapi bukanlah hari-hari. Hari cuti Freddie akan ajak aku jalan-jalan walaupun tak ada destinasi tapi kami masih keluar bersama pergi beli groceries atau keluar makan.

Aku perasan setiap kali kami keluar Freddie macam taknak balik cepat. Lepas makan dia hantar aku balik dan dia akan ajak aku minum di kawasan berdekatan rumah aku.

Selepas hantar aku di lobi rumah, dia akan tunggu sampai aku hilang dari pandangan baru lah dia gerak pulang. Pernah terdetik dalam hati aku, “Freddie ni macam ada perasaan dekat aku je”.

Aku cuba untuk teruskan perkenalan walaupun aku tak ada apa-apa perasaan pada dia. Cuma suatu hari semasa menunggu makanan sampai di kedai makan, Freddie main game. Semasa berbual tentang game tu, Freddie ada cerita dia penah hempuk fon sebab fon “hang” lepas dia berjaya setelkan level yang susah tu.

Disebabkan cerita tu aku membuat kesimpulan yang Freddie ni seorang yang baran. Sejak dari tu aku jadi acuh tak acuh untuk berhubung dengan Freddie. Kitorang terputus hubungan selama dua bulan. Dia tak tegur aku dan aku pun tak tegur dia. Tapi yang last dia yang tak reply whatsapp aku.

Selepas dua bulan kami tak berhubung aku cuba untuk komen pada status Freddie. Dari situ kami menjadi rapat semula.

Aku memang tak pernah cuba untuk buka hati pada Freddie sebab dia pun tak pernah bagi petanda yang jelas tentang perasaan dia pada aku. Aku taknak lah kecewa lagi. Cuma kali ni aku nampak Freddie cuba untuk memperkenalkan aku kepada beberapa orang ahli keluarga yang rapat dengannya.

Freddie dah lama tidak berhubung dengan ibu bapa di kampung disebabkan satu peristiwa yang terjadi antara Freddie dan ibu bapanya dulu.

Sejak kecil lagi Freddie tak mendapat perhatian dan kasih sayang dari ibu dan bapanya. Freddie dibesarkan oleh atuk dan nenek. Sejak berlakunya peristiwa beberapa tahun lepas, Freddie menjadi lebih rapat dengan makciknya Zura (bukan nama sebenar).

Peristiwa tersebut telah mengakibatkan Freddie terlantar di hospital dan Freddie juga sudah hilang harapan untuk meneruskan kehidupan.

Makcik Zura dan suaminya lah yang banyak menjaga dan memberi semangat semula pada Freddie. Mereka datang dari Borneo ke semenanjung untuk melawat dan menjaga Freddie sedangkan ibu bapa Freddie langsung tidak ambil peduli tentang Freddie.

Makcik Zura menjadi tempat untuk Freddie meluahkan segala isi hatinya. Segala perkara penting dalam hidupnya akan diceritakan kepada Makcik Zura.

Suatu hari aku keluar dengan Freddie. Kami memang tak ada tujuan nak kemana hari tu. Bila Freddie tanya aku nak kemana, dengan nada berseloroh aku cakap nak pergi memancing di pantai. Freddie terus bersetuju. Aku gurau je tapi boleh pulak si Freddie tu layankan otak gila-gila aku ni.

Sepanjang perjalanan sejam setengah tu Freddie sibuk berborak dengan Makcik Zura melalui telefon. Tiba-tiba dia bagi telefon tu pada aku. Dia suruh aku berborak dengan makcik dia. Aku ingat dia bercakap fon dengan salah seorang makciknya (Makcik Kay) yang bukan beragama Islam tu.

Aku pernah jumpa Makcik Kay ni. Dah dapat fon aku pun takde la nak bagi salam sebab aku ingat itu Makcik Kay. With high energy aku terus cakap “hello”, sekali makcik dia bagi salam. Terkejut beruk aku, “Makcik Kay ni memang jenis bagi salam ke walaupun bukan Islam?” tanya aku dalam hai.

Aku pun terus jawab salam dan tone down percakapan aku selepas aku tau yang bercakap tu Makcik Zura. Dalam perbualan telefon tu Makcik Zura bagitau aku yang “Freddie bagitau makcik, dia suka Tulip”. Tergamam aku tak tahu nak cakap apa.

Lepas aku habis cakap dengan Makcik Zura, Freddie tanya “Makcik Zura cakap apa dengan awak?” Aku cuma bagitau yang Makcik Zura cakap Freddie rapat dengannya dan akan bercerita tentang segala hal penting dalam hidupnya pada Makcik Zura.

Kami memancing sampai pukul 5.30pagi di pantai. Malam tu memang ramai memancing disitu sebab hari minggu dan ada tapak perkhemahan. Kami tidur dalam kereta sekejap sementara menunggu subuh.

Freddie ada banyak peluang malam tu untuk mengambil kesempatan ke atas aku tapi tak sedikit pun dia cuba untuk berbuat apa-apa pada aku. Sentuh tangan pun tidak. Itu salah satu perkara yang buat aku mula tertarik pada Freddie.

Selain tu aku juga tertarik dengan sikap Freddie yang “he is man of his words”. Sekecil-kecil perkara yang keluar dari mulut dia, dia akan tunaikan. Perkara yang aku dengar seperti bergurau dan tak ambik serius pun dia tunaikan.

Semasa on the way balik dari memancing, Freddie ada bagitau aku yang beberapa minggu lagi keluarga pakcik nya akan datang dari Borneo. Dia ada ajak aku jalan-jalan dengan keluarga Pakcik Khairul sekali nanti.

Keluarga Pakcik Khairul datang bercuti di sini selama beberapa minggu. Mereka tinggal di rumah salah seorang anak Pakcik Khairul yang tinggal di semenjung.

Suatu malam aku mendapat panggilan daripada Freddie. Dia ajak aku makan di kedai yang berdekatan rumahnya. Dia cakap bihun sup di kedai tu sedap. Aku pun layankan saja. Freddie membeli beberapa bungkus bihun sup untuk keluarga Pakcik Khairul. Freddie bawak aku ke rumah keluarga Pakcik Khairul pada malam tu.

Sebelum bertolak aku sempat tanya Freddie “awak cakap saya ni siapa dengan keluarga Pakcik Khairul?”. Dengan selamba Freddie jawab “kekasih saya” sambil tersengih-sengih. Tergamam aku. Aku senyum je dengar ayat dia tu sebab kami tak pernah declare.

Aku dilayan dengan baik oleh ahli keluarga Pakcik Khairul walaupun kadang-kadang kami bercakap macam ayam dan itik. Sepupu-sepupu Freddie semuanya cantik-cantik dan rajin sekali buat kerja-kerja dapur.

Ada terdetik dalam hati aku masa tu “Freddie ni takde ke berkenan dengan salah seorang sepupu dia tu? Semua cantik-cantik, rajin pulak tu”. Aku cuba untuk berkawan dengan sepupu-sepupu Freddie, semua ramah bersembang dengan aku kecuali sorang ni, Misha (bukan nama sebenar).

Aku perasan Misha macam kurang selesa bila aku cuba untuk bercakap dengan dia dan cuba mengelak untuk menjawab soalan-soalan aku. Antara semua sepupu Freddie, bagi aku Misha lah yang paling cantik.

Aku pun tak tahu kenapa, walaupun kami baru bersua muka tapi aku rasa selesa dan sayang pada ahli keluarga Freddie. Rasa seperti dan lama kenal.

Sehari sebelum keluarga Pakcik Khairul pulang ke Borneo, Freddie beriya sangat nak bawa aku berjumpa dengan keluarga Pakcik Khairul lagi. Aku pun tak tahu kenapa. Isteri Pakcik Khairul serta sepupu Freddie yang lain ada mintak nombor fon aku pada malam tu. Aku bagi je la tanpa berfikir panjang.

Dua hari selepas keluarga Pakcik Khairul pulang ke Borneo, aku mula perasan perubahan pada Freddie. Cara dia whatsapp aku pun dah lain dan kali terakhir kami video call aku nampak air muka Freddie macam dah menyampah dengan aku dan dia nak cepat-cepat letak fon.

Dia cuma bagitau dia on the way ke rumah kawan dan terus matikan video call tanpa sebarang “bye”. Sangat berbeza dengan sebelum ni, nada pun dah lain. Semasa video call tu aku dapat tengok muka dia menyampah dengan aku. Dia cakap akan video call aku semula malam nanti.

Ini kali pertama Freddie tidak mengotakan kata-katanya. Aku tunggu hingga lewat malam tak ada sebarang mesej atau call dari dia.

Bila aku mesej tanya, dia cakap malam ni tak call sebab dia belum balik masih di rumah kawan. Sebelum ni dia akan video call aku tak kisah la kat mana pun dia ada. Bukan aku yang mintak, tapi dia yang nak video call aku.

Keesokan harinya Freddie langsung tak tengok mesej-mesej aku. Aku tak call dia pada siang hari sebab dia dah beberapa minggu tak cukup tidur, letih dan tak berapa sihat. Mungkin dia nak rehat sebab haritu dia cuti. Sampai malam mesej-mesej aku masih belum “bluetick”.

Aku mula rasa risau sebab aku tahu dia ada penyakit. Aku risau kalau dia masuk hospital lagi. Aku cuba call dua kali pada waktu malam tapi tak ada respond. Keesokan harinya aku cuba call Freddie lagi. Dia angkat tapi terus aku kena marah.

Dia marah aku call dia, dia cakap “tengah sibuk ni, serabut lah” terus dia letak fon. Sepanjang perkenalan Freddie tak pernah marah aku. Aku pernah tanya dia “awak kalau marah macam mana?”. Dia tak pernah betul-betul bagitau aku dia marah macam mana. Tapi haritu persoalan aku terjawab.

Aku dah rasa lain macam dah masa ni. Freddie dah menunjukkan simptom-simptom nak jauhkan diri dari aku. Aku mesej dia, cakap aku nak jumpa dia, “we need to talk”. Aku cakap aku tunggu dia balik kerja. Dia cakap tak payah tunggu sebab dia balik lambat malam tu.

Aku memang dah rasa macam dia nak larikan diri dari aku macam tu je. Aku mula tanya dia melalui mesej, kalau dia perlukan masa bagitau. Aku boleh bagi dia masa. Dia tak jawab soalan aku.

Malam tu dia memang tak balik rumah langsung. Aku tunggu dekat lobi rumah dia sampai 4 pagi. Keesokannya dia cakap dia tidur rumah kawan lepas kerja sebab dia penat sangat. Aku berfikir sendiri, “sampai tahap tu kau sanggup buat Freddie semata-mata taknak jumpa aku”.

Aku tanya lagi “awak nak break up dengan saya ke?”. Dalam banyak-banyak text aku, soalan ni yang dia pilih untuk jawab. Dia cakap dia nak break up sebab dia rasa stress dengan hubungan ni dan dia tak bersedia untuk ada apa-apa hubungan dengan aku lagi.

Dia cakap aku tak ada apa-apa salah. Cuma dia yang tak ready. Sangat pelik, dah buat segala planning kearah hubungan yang halal tiba-tiba boleh keluar ayat tak ready.

Disebabkan sebelum ni aku ada pengalaman dipermainkan tentang perkahwinan aku mula overthinking yang mungkin Freddie pun buat perkara yang sama pada aku.

Masa tu aku rasa very devasted. Kenapa teruk sangat dia nak game aku ni, sampai ke tahap memperkenalkan aku pada keluarga, atuk, makcik, pakcik dan kawan-kawan dia. Apa salah aku? Puas aku cari dimana salah nya. Tak jumpa. Everything is in good condition. Tiba-tiba saja, tak ada angin tak ada ribut berubah 360 darjah.

Sebulan macam-macam cara aku cuba untuk move on tapi masih gagal. Aku doa mintak petunjuk pada Allah, aku nak tahu apa punca dia tiba-tiba berubah dan adakah dia serious untuk berkahwin dengan aku atau dia hanya nak mempermainkan aku.

Selepas sebulan aku dapat berhubung dengan Makcik Zura. Makcik Zura terkejut bila aku bagitau yang aku dan Freddie dah berpisah. Freddie tak bagitau siapa-siapa pun yang kami dah berpisah. Makcik Zura pun sangat pelik dengan sikap Freddie kali ni.

Kebiasaannya Freddie akan ceritakan segalanya pada Makcik Zura, tapi kali ni dia senyap je. Aku dah tak nampak lagi gambar profile Freddie pada Whatsapp sejak kami berpisah. Tapi sesekali dia tengok status aku. Aku pernah cuba untuk mesej Freddie, tapi dia cuma bluetick saja.

Aku cuba dapatkan kepastian daripada Makcik Zura, adakah Freddie betul-betul serious nak berkahwin dengan aku? Makcik Zura bagitau aku yang sebenarnya Freddie dah mintak Makcik Zura untuk wakilkan dirinya berjumpa dengan ibu bapa aku.

Tapi disebabkan Freddie masih ada mak ayah, jadi Makcik Zura minta Freddie bercakap dengan ibu bapanya dahulu. Mengikut perancangan, Freddie akan datang jumpa parent aku dulu, selepas tu baru Freddie akan bawa aku untuk jumpa parent dia pulak. Sekiranya kedua-dua belah pihak bersetuju kami akan berkahwin.

Beberapa bulan berlalu, aku dapat tahu yang Freddie sebenarnya terkena sihir pemisah. Ada salah seorang sepupu Freddie yang ada hati pada Freddie cuba untuk pisahkan kami.

Baru-baru ni Freddie ditegur oleh atuknya “kalau tak serious untuk memperisterikan, jangan main-main dengan anak orang”. Aku tak tahu apa punca ayat ni boleh keluar dari mulut atuk Freddie. Mungkin dia dah bagitau atuk yang kami dah berpisah.

Tahniah Misha, awak dah berjaya pisahkan kami. Cuma aku risau sebab Freddie tak bagitau family dia yang kami dah berpisah. Setiap kali Freddie upload status keluar makan dengan sosok tubuh wanita tanpa muka, family dia fikir itu aku. Aku risau kalau sepupu dia cuba untuk hantar sihir lagi pada kami (aku dan Freddie).

Sekarang sihir tu dah buang tapi “hati kau keras Royy!”. Freddie langsung dah tak peduli pada aku lagi. Status pun dah tak tengok. Social media aku semua dia dah buang. Aku tak tahu adakah ini sisa kesan sihir pemisah atau memang Freddie sendiri yang dah tak nak pada aku.

Adakah perasaan orang yang terkena sihir pemisah ni akan kembali sayang semula kepada pasangan selepas sihir tu dibuang? atau perasaan sayang tu terus hilang buat selamanya? Aku tak tahu.

Ini kali pertama aku diuji dengan sihir. Banyak onak dan duri yang aku tempuh dalam perjalanan aku mencari jodoh. Sehingga aku tertanya-tanya, seberapa hebatkah seseorang yang telah ditakdirkan untuk aku sehingga aku dipersiapkan dengan bermacam-macam ujian berat yang tak masuk akal ni.

Aku tak tahu sama ada hubungan ni masih boleh diperbaiki lagi atau telah sampai titik nokhtah nya. Masih ada kah usaha yang boleh aku buat supaya Freddie kembali? Buat masa ni hati aku memang tak dapat terima orang lain lagi.

Kepada Misha, kalau Freddie adalah jodoh awak, jagalah dia dengan baik. Bahagiakan dia, beri dia kasih sayang dan kegembiraan yang dah lama dia tak dapat rasakan daripada keluarga dia.

Tetaplah bersama dia dalam keadaan susah ataupun senang. Jagalah dia dengan penuh sabar sekiranya penyakit dia dah semakin teruk suatu hari nanti.

Kalau awak tak sanggup untuk hidup senang dan susah bersama Freddie, seperti mana awak pernah bertekad untuk membelakangi Allah semata-mata untuk pisahkan kami, berilah ruang dan peluang untuk Freddie merasa tenang dan bahagia dengan siapa pun pilihan dia nanti.

Saya sebagai orang luar pun ada rasa simpati dengan jalan hidup Freddie dan inginkan yang terbaik untuk dia, seharusnya awak yang ada pertalian darah dengan Freddie menginginkan yang lebih baik lagi buat dia.

– Tulip (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *